Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Persediaan menjelang peperiksaan sangat penting dan harus dititikberatkan oleh pelajar. Pelajar yang telah lama bersedia merupakan pelajar yang beruntung manakala pelajar yang lalai hingga ke saat akhir peperiksaan merupakan pelajar yang berada dalam kerugian. Oleh itu, amat penting memanfaatkan masa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Asr ayat 1- 3 yang bermaksud:

 

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan tentang kebenaran dan berpesan-pesan tentang kesabaran."

 

Pada 26 hingga 29 September 2016, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Bengkel Kecemerlangan Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Zon Sabah bertempat di Stadium Likas Kota Kinabalu. Ia bagi mempersiapkan calon-calon STAM sebelum mereka ke medan peperangan sebenar iaitu “Peperiksaan STAM 2016”. Pada bengkel ini seramai 100 pelajar STAM terlibat dari 5 buah sekolah di seluruh Sabah iaitu SMAN Toh Puan Hajah Rahmah Kinarut, SMAN Pantai Manis Papar, SMAN Tambunan, SMA Islamiah Tawau dan SMA Al- Irsyadiah Marakau Ranau.

 

Bengkel ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh tiga orang guru pakar STAM yang berpengalaman luas dalam subjek-subjek STAM. Mereka ialah Tuan Mohamed Hassanuddin bin Mohammed Sodin dari Jabatan Agama Islam Pahang, Tuan Shirozi bin Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan Puan Suhana binti Abdullah dari Jabatan Agama Islam Johor.

 

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM pada 29 September 2016. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa pembangunan modal insan perlu dirancang teliti dengan mengambil kaedah menyeluruh dan bersepadu. Segala bakat dan potensi para pelajar dapat dibangunkan dengan efektif. Kita tidak mahu melahirkan ulat buku yang hanya cemerlang dari segi akademik semata-mata, sebaliknya generasi yang seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual, patriotik dan tidak bersikap individualistik malah mampu memainkan peranan dan bertindak sebagai agen ummah.

 

Di samping itu juga, beliau turut mengingatkan kepada para pelajar STAM Sabah bahawa kejayaan bukan sahaja dapat diukur melalui peperiksaan tetapi ia diukur secara holistik. Kejayaan dalam apa jua perkara tidak hadir secara bersendirian tetapi mesti disokong oleh pengorbanan dan usaha yang berterusan.

 

Setiap pelajar mengidam-idamkan kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan. Pelajar sebeginilah yang dikatakan pelajar yang berwawasan dan bercita-cita tinggi. Mereka mempunyai impian yang besar, matlamat dan hala tuju yang jauh untuk memasuki institusi pengajian tinggi yang terbuka luas samada dalam dan luar negara dan STAM terbukti terus gah sebagai tiket ke menara gading.

 

Oleh itu, menjadi kewajipan setiap pelajar untuk berusaha untuk memburu kecemerlangan dalam peperiksaan. Sesungguhnya kejayaan ada di mana-mana bak kata pepatah, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."

Bengkel STAM Sabah19

 Sesi bergambar kenangan bersama para peserta.

Bengkel STAM Sabah5

Bengkel STAM Sabah7

Bengkel STAM Sabah16

Bengkel STAM Sabah17

Bengkel STAM Sabah15

Sesi Ceramah

Bengkel STAM Sabah12

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM