LOGO JAKIM OUTLINE
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
BAJET 2021 : MEMARTABATKAN SYIAR ISLAM

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia pada hari ini di Parlimen dengan tema Belanjawan 2021 : Teguh Kita, Menang Bersama.
 
2. Dalam keadaaan negara sedang menghadapi pandemik COVID-19, Kerajaan masih lagi mampu mengemukakan satu belanjawan yang mantap dan mampu memacu kemajuan negara menjelang tahun 2021 di mana sektor ekonomi yang paling banyak terkesan dengan penularan COVID-19.
 
3. JAKIM amat menghargai sentuhan Belanjawan 2021 yang jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan.
 
4. JAKIM juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan yang terus memberi pengiktirafan terhadap usaha memartabatkan syiar Islam dengan memperuntukkan sebanyak 1.4 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri. Peruntukkan ini meningkat sebanyak 100 juta ringgit berbanding tahun 2020. Seperti biasa, peruntukkan ini akan turut dinikmati bersama pihak pengurusan hal ehwal Islam di negeri-negeri apabila ia akan memberi manfaat kepada 4000 orang Guru Takmir, 35,000 orang Guru KAFA, 14,373 orang Imam dan 15,766 orang bilal,noja/siak/marbut.
 
5. Sebagai contoh, Guru Takmir akan menerima kenaikkan kadar elaun daripada 800 kepada 900 ringgit sebulan. Manakala para Imam, Bilal, Siak, Noja, Merbut, Guru Takmir dan Guru KAFA akan turut menerima bayaran khas one-off sebanyak 500 ringgit.
 
6. Selain itu, daripada peruntukkan 1.4 bilion bajet pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam pada tahun ini juga akan memberi tumpuan bagi memperkasakan pengurusan wakaf melalui Yayasan Waqaf Malaysia melalui pembangunan Pelan Induk Wakaf Nasional dengan kerjasama agensi- agensi Kerajaan Persekutuan, GLC dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
 
7. JAKIM juga merasa syukur atas inisiatif pihak kerajaan dengan menyediakan caruman penuh di bawah Skim bencana Pekerjaan PERKESO kepada Guru Takmir, Imam, Bilal, Siak, Noja dan Merbut.
 
8. JAKIM juga menghargai pengumuman inisiatif Pendidikan Islam dan Pembelajaran Sepanjang Hayat kepada 15 ribu pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.
 
9. Secara keseluruhannya, JAKIM berpandangan pengumuman Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan pada hari ini adalah belanjawan yang memenuhi tuntutan prinsip Maqasid Syariah yang menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta dalam keadaan negara sedang berhadapan pandemik COVID-19.
 
Sekian, terima kasih.
 
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
 
 
Saya yang menjalankan amanah,

DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
20 Rabiulawal 1442H
6 November 2020M