AnsarullahAssalamualaikum Wrh. Wbt.

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta sahabat Baginda.

Menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia dalam bidang Pendidikan Islam merupakan salah satu fungsi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diurussetiakan oleh JAKIM. Justeru, penyusunan semula JAKIM pada 1 Disember 2018 dengan mengembalikan Bahagian Pendidikan sebagai entitinya yang tersendiri amat bertepatan dengan fungsi JAKIM dalam memastikan aspek penyelarasan Pendidikan Islam dapat diurus dengan lebih berfokus dan berkesan. Dari segi operasinya, Bahagian Pendidikan bertanggungjawab melaksanakan operasi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) merangkumi aspek pengurusan KAFA dan pengurusan Sekolah Agama.

Sejak pelaksanaannya pada tahun 1990, sumbangan KAFA dalam membentuk kemenjadian murid yang seimbang duniawi dan ukhrawi sememangnya tidak dapat dinafikan. Justeru, bagi memastikan program KAFA kekal relevan serta dapat memenuhi keperluan semasa, JAKIM dengan kerjasama Agensi Pelaksana KAFA Negeri sentiasa melakukan penambahbaikan yang berterusan. Antaranya dari aspek pemakaian kurikulum KAFA dan buku teks KAFA yang seragam mengikut kohort mulai tahun 2020 dan latihan keguruan dengan melatih Guru-guru KAFA sebagai pembimbing kepada Guru-guru KAFA yang lain melalui Kursus Pemetaan Guru KAFA sebagai Jurulatih Daerah. Selain itu, KAFA turut mengorak langkah dengan membuka peluang untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) mengikuti Program KAFA melalui pembangunan Kurikulum KAFA MBK dan melatih Guru-guru KAFA terpilih mengikuti Kursus Kejurulatihan Guru Pendidikan Khas KAFA.

Dari aspek pengurusan Sekolah Agama, Bahagian Pendidikan berperanan melaksanakan fungsi LEPAI dalam menyelaras pendidikan agama Islam di seluruh Malaysia merangkumi Sekolah Agama Negeri (SAN), Sekolah Agama Rakyat (SAR), tahfiz dan pondok swasta yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN). Dalam konteks ini, Bahagian Pendidikan berperanan melaksanakan penyelarasan dengan negeri-negeri berdasarkan syor atau nasihat yang dikemukakan oleh LEPAI dalam hal ehwal berkaitan pengurusan Sekolah Agama, tahfiz dan pondok tanpa menyentuh bidang kuasa negeri. Selain itu, Bahagian Pendidikan turut berperanan mengurus pembiayaan dan bantuan kewangan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada institusi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan LEPAI. Hal ini selaras dengan fungsi LEPAI dalam menyalurkan bantuan, pemberian atau subsidi untuk faedah institusi-institusi berkenaan.


Dalam mendepani era globalisasi yang semakin mencabar dan kompleks, pembangunan modal insan yang berkait rapat dengan aspek Pendidikan Islam terus menjadi salah satu agenda utama Kerajaan dalam melahirkan generasi pelapis yang berwibawa. Disinilah peranan kita sebagai umat Islam untuk sama-sama menyumbang ke arah merealisasikan citra masa hadapan negara berteraskan maqasid syariah dalam usaha membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju, makmur dan dinamik untuk dekad-dekad yang mendatang.


Sekian, wassalam.

MOHAMAD ZAMRI BIN MOHAMED SHAPIK
Pengarah
Bahagian Pendidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

November 2022