Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Berlangsung dalam suasana segar dan penuh keceriaan, Bahagian Kemajuan Islam Jakim meneruskan lagi agenda penghayatan aspirasi tadbir urus berteraskan Syariah menerusi Sembang ‘Teh Tarik GTU-s’ Bersama Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, pada tanggal 8 Mac 2018 yang lalu. Jika sebelum ini, siri ‘Teh Tarik GTU-s’ melibatkan agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, majlis pada kali ini menemukan kelainannya apabila ia melibatkan para pegawai gred 44 dan ke atas di bawah Sektor Dasar.

Sudah pasti penganjuran majlis yang diurussetiakan oleh Bahagian Kemajuan Islam ini adalah hasil cetusan idea dan aspirasi daripada YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim sendiri, selaku pemegang teraju kepada Sektor Dasar yang menjadi tunjang kepada perancangan hala tuju dan pembangunan dasar hal ehwal Islam di Jakim khususnya dan negara amnya. Justeru, beliau mahu setiap pegawai di bawah Sektor Dasar terutamanya, sentiasa berusaha menghayati dan membudayakan tadbir urus berteraskan Syariah sebagaimana yang terkandung dalam Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s), yang menjadi kitab rujukan utama bagi semua agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perkongsian dari minda kritis seorang ketua dan pemikir seperti YBhg. Datuk Mohamad Nordin, nyata menjadi moment berharga kepada semua hadirin. Beliau menegaskan, nilai-nilai tadbir urus berteraskan Syariah sememangnya telah dipraktikkan di bahagian-bahagian di Jakim sejak sekian lama. Namun ia seharusnya tidak terhenti disitu, malah usaha-usaha pengukuhan secara berterusan harus dilaksanakan, meski secara bertahap dan beransur-ansur serta menempuh perjalanan yang panjang lagi berliku. Apa yang utama, keberhasilan di penghujungnya bila mana GTU-s diaplikasikan sepenuhnya dalam kalangan warga kerja Jakim dalam setiap peringkat.

Majlis santai ini turut diisi dengan pembentangan dan kupasan menarik oleh dua orang pegawai terpilih mengenai dua daripada lima prinsip utama tadbir urus Syariah dalam amalan kerja seharian iaitu prinsip al-Amanah dan al-Hikmah. Hadir bersama pada Sembang ‘Teh Tarik GTU-s’ pada kali ini ialah Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, Pengarah-pengarah bahagian dan pegawai-pegawai kanan di bawah Sektor Dasar Jakim.

 

Sembang Teh Tarik Gtus 2018 1
 
 
 
Sembang Teh Tarik Gtus 2018 2
 
Sembang Teh Tarik Gtus 2018 3
 
Sembang Teh Tarik Gtus 2018 4
 
Sembang Teh Tarik Gtus 2018 5
 
Sembang Teh Tarik Gtus 2018 6