Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah

JAKIM selaku badan penyelaras di peringkat pusat telah membuka satu lagi lambaran baru bagi memperkukuhkan Agensi Penguatkuasaan Syariah di negeri-negeri seluruh Malaysia dengan pelaksanaan projek rintis penempatan pegawai PDRM di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula 1 Mei 2016 sehingga 30 April 2017. Majlis Penyerahan Pegawai PDRM ke JAIS telah diadakan pada 28 April 2016 di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dihadiri oleh YDH. Dato’ Sri Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Pengurusan Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Haris bin Kasim, Pengarah JAIS, YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM dan Yang Berusaha Tuan Haji Aziz bin Haji Mohamad, Pengarah Bahagian Penyelarasan Undang-Undang (BPUU) JAKIM.

Penempatan Pegawai PDRM di JAIS ini bertujuan untuk membantu Pihak Berkuasa Agama Negeri dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan undang-undang Syariah terutamanya berkaitan ajaran sesat dan menyeleweng serta golongan ekstrimis. Justeru, pengalaman yang disalurkan oleh anggota polis kepada agensi agama dalam strategi melaksanakan kerja-kerja yang sistematik dan berkesan amat diperlukan. Sokongan dan khidmat profesionalisme daripada anggota PDRM bagi membantu jentera organisasi penguatkuasaan Syariah dalam mengendalikan kes-kes syariah adalah amat kritikal dan tepat pada masanya.

Dalam masa yang sama juga, penempatan Pegawai PDRM di JAIS adalah selari dengan peruntukan Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah Negeri-negeri yang memperuntukkan bahawa selain Pegawai Penguatkuasa Agama, Pegawai Polis yang berpangkat tidak kurang daripada Inspektor dan ke atas juga diberikan kuasa untuk menangkap pesalah syariah. Oleh yang demikian, kerjasama strategi lautan biru (blue ocean strategy) antara PDRM dan JAIS diharapkan dapat diperkukuh dan diperluaskan ke negeri-negeri lain pada masa akan datang.

Dalam tempoh setahun penempatan polis secara cader-post di Bahagian Penguatkuasaan di Jabatan Agama Islam Selangor akan dipantau dari segi impak dan akan dinilai keberkesanannya dari semasa ke semasa. Pihak JAKIM selaku penyelaras yakin dan percaya bahawa pegawai polis bersama penguatkuasa agama berupaya menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada anggota polis dalam undang-undang Syariah dengan baik sebagai salah satu agenda transformasi sistem penyampaian perkhidmatan dan membantu keberkesanan tugas penguatkuasaan undang-undang Syariah di seluruh Malaysia.

penyerahan polis jais 2016 7

 

penyerahan polis jais 2016 1

 Ketibaan YBhg. Dato' Ketua Pengarah JAKIM di JAIS

penyerahan polis jais 2016 2

 Majlis Penyerahan Pegawai PDRM kepada JAIS

penyerahan polis jais 2016 3

 Antara tetamu jemputan yang hadir

penyerahan polis jais 2016 4

 Ucapan oleh YBhg. Dato' Haris bin Kasim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

penyerahan polis jais 2016 5

 Ucapan Perasmian Majlis Penyerahan oleh YBhg. Dato' Ketua Pengarah JAKIM

penyerahan polis jais 2016 6

 Simbolik penyerahan Pegawai PDRM antara YDH. Dato' Sri Zulkifli bin Abdullah, Pengarah Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman dengan YBhg. Dato' Haris bin Kasim, Pengarah JAIS disaksikan oleh YBhg. Dato' Ketua Pengarah JAKIM dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

 

penyerahan polis jais 2016 8

 Sidang Media YBhg. Dato' Ketua Pengarah JAKIM

penyerahan polis jais 2016 9

 Tetamu jemputan bergambar bersama VIP

penyerahan polis jais 2016 10

Yang Berusaha Tuan Haji Aziz bin Haji Mohamad, Pengarah BPUU JAKIM dan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama (KPPA) JAIS bergambar bersama 3 orang pegawai PDRM yang akan ditempatkan di JAIS

Jurufoto : Encik Zuhairi bin Johari