Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V pada tahun ini telah ditetapkan pada 9 September 2018. Bertepatan dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Agama Negara, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah mengadakan program-program keagamaan seperti berikut:
 
1. Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin Dan Doa Selamat
 
Hari Keputeraan YDPA 2018 1
 
Hari Keputeraan YDPA 2018 2
 
 
Sambutan dimulakan pada 6 September 2018 (Khamis) dengan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin Dan Doa Selamat Sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V Tahun 2018 telah diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Majlis telah diserikan dengan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Duta-Duta, Timbalan-timbalan Menteri dan ketua-ketua jabatan. Majlis ini turut disertai oleh anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia (700 orang), Polis Diraja Malaysia (480 orang) dan pelajar tahfiz (400 orang). Majlis ini dimulakan dengan solat hajat yang diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Zakariah Isa selaku Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, diikuti dengan bacaan yasin dan doa selamat.
 
2. Siaran Langsung Solat Jumaat dan Khutbah Khas
 
Hari Keputeraan YDPA 2018 3
 
Seterusnya pada 7 September 2018 (Jumaat), siaran langsung Solat Jumaat dan Khutbah Khas Sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V Tahun 2018 telah diadakan di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara Kuala Lumpur. Imam dan khatib bagi khutbah khas ini adalah YBhg. Datuk Haji Abdul Manaf Haji Mat, Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya dengan khutbah yang bertajuk “Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong: Asas Kestabilan dan Kemakmuran Negara“.
 
 
3. Forum Perdana Diraja
 
Hari Keputeraan YDPA 2018 4
 
Hari Keputeraan YDPA 2018 5
 
Pada 13 September 2018 (Khamis) pula, Forum Perdana Diraja Sempena Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V Tahun 2018 telah diadakan di Istana Negara. Majlis ini diserikan dengan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V, YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Timbalan-timbalan Menteri dan ketua-ketua jabatan dengan anggaran kehadiran jemputan seramai 800 orang. Forum bertajuk “Keagungan al-Fateh” ini dimoderatorkan oleh al-Fadhil Ustaz Haji Zakaria Othman dan panel-panelnya adalah YBhg. Dato’ Haji Badli Shah Alauddin, YBhg. Dato’ Dr. Izhar Ariff Mohd. Kashim dan al-Fadhil Ustaz Haji Roslan Mohamed.