Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

“Gerakan Islam Liberal di Malaysia tidak harus dipandang ringan.  Ini kerana ia bukanlah bersifat ancaman akidah semata-mata, malah turut berkait rapat dengan nilai-nilai akhlak dan identiti Islam itu sendiri. Oleh itu, perkara ini mesti diambil perhatian secara serius, bagi mengekang penyebaran fahaman ini dalam kalangan umat Islam”.  

 

Begitulah antara penegasan yang diberikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) semasa mempengerusikan Mesyuarat MKI kali ke-63 pada 10 April 2017, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

   

Selari dengan fungsi MKI yang menjadi platform tertinggi ke arah usaha-usaha penyelarasan hal ehwal Islam antara Persekutuan dan Negeri, turut dibincangkan dalam Mesyuarat MKI pada kali ini ialah mengenai langkah-langkah bersepadu antara Jakim, JAIN dan agensi-agensi berkaitan bagi membendung fenomena LGBT di Malaysia, yang dilihat semakin berani dan agresif dalam menuntut hak-hak mereka, walaupun jelas bertentangan dengan prinsip syarak.  Selain itu, MKI kali ke-63 juga telah meluluskan draf Garis Panduan Umum Tabdir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s) yang akan menjadi panduan kepada institusi Islam dalam menentukan penanda aras dan membuat penambahbaikan secara berterusan, dari aspek pengurusan dan amalan tadbir urusnya.  Ahli-ahli MKI turut diberikan taklimat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai peranan serta inisiatif SKMM dalam menangani isu kesalahan jenayah berkaitan Islam di alam siber, yang menuntut kerjasama padu secara berterusan antara JAIN, Jakim dengan SKMM.

 

Mesyuarat MKI pada kali ini telah dihadiri oleh YB Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim merangkap Setiausaha MKI, YAB Menteri-Menteri Besar dan Ahli-ahli Dilantik MKI.  Hadir bersama YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara, YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negei (JAIN).

 

1LW 0004

 

1LW 0017

 

1LW 0021

 

1LW 0022

 

1LW 0024 copy

 

mki633