6 Mac 2018 – Nadwah Murabbi Ummah Peringkat Negeri Perlis pada tahun ini disambut lebih meriah dan bermakna dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis untuk merasmikan majlis berkenaan. Penganjuran Nadwah Murabbi Ummah Peringkat Negeri Perlis Tahun 2018 dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), telah berlangsung dengan penuh meriah pada 6 Mac 2018 bersamaan 18 Jamadil Akhir 1439H, di Dewan 2020, Kangar, Perlis dengan kehadiran hampir 1000 orang dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Masjid-masjid, guru-guru Takmir, guru Kafa, guru sekolah agama dan tahfiz, wakil Jabatan-jabatan dan lain-lain.

Sempena Nadwah pada kali ini, Duli Yang Teramat Mulis Tuanku Raja Muda Perlis telah bertitah, bertepatan dengan cogan kata negara “Bersekutu Bertambah Mutu”, usaha murni Jakim telah memudahcarakan negeri-negeri untuk bertindak secara kolektif sebagai sebuah negara di peringkat serantau dan di persada antarabangsa. Titah Baginda lagi, sinergi dan simbiosis antara kedua-dua pihak iaitu negeri-negeri dan Persekutuan akan terus dilestarikan dengan sikap saling hormat-menghormati.

Sejajar dengan itu, YB Dato’ Dr Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga turut hadir mewakili Kerajaan Persekutuan dan menyeru bahawa agensi-agensi agama sama ada peringkat persekutuan, mahupun negeri, perlulah saling bekerjasama berganding bahu atas kapasiti dan peranan masing-masing, untuk mencurahkan khidmat bakti dengan sepenuh jiwa dan raga demi nusa, bangsa dan pertiwi yang tercinta ini.Di samping itu, YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga mewakili Kerajaan Persekutuan untuk menyampaikan dua mock check bernilai RM12,160,800.00 iaitu sebanyak RM10,318,800.00 diperuntukkan bagi bayaran imbuhan imam, guru Kafa dan guru Takmir; dan sebanyak RM1,842,000.00 diperuntukkan bagi bayaran one-off tahun 2018 kepada imam, bilal, siak/noja/merbot, guru Kafa dan guru takmir di Negeri Perlis.

Selain itu, penganjuran Nadwah pada kali ini dimeriahkan lagi dengan pengurniaan anugerah oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis iaitu Anugerah Maahad Tahfiz Terbaik Negeri Perlis berjumlah RM 1,500.00, Anugerah Sekolah Agama Rakyat Terbaik Negeri Perlis berjumlah RM 1,500.00, Anugerah Tokoh Imam Negeri Perlis saguhati berjumlah RM 500.00, Anugerah Tokoh Muazzin Contoh Negeri Perlis saguhati berjumlah RM 500.00, Anugerah Tokoh Siak Contoh Negeri Perlis saguhati berjumlah RM 500.00, Anugerah Tokoh Penjaga Kawasan Contoh Negeri Perlis saguhati berjumlah RM 500.00, Anugerah Tokoh Guru Takmir Negeri Perlis saguhati berjumlah RM 500.00, dan Anugerah Tokoh Guru KAFA Negeri Perlis saguhati berjumlah RM 500.00.

Majlis turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Khairi bin Hassan, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembangunan Sumber Manusia, YBhg. Datuk Haji Mohamammad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jakim, YBhg. Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam, Jakim, pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Jakim.

 

WhatsApp Image 2018 03 12 at 4.53.04 PM

MMU PERLIS 2018 1
 
MMU PERLIS 2018 3
 
MMU PERLIS 2018 2
 
MMU PERLIS 2018 6
 
 
 
 
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 14 Jun 2018.
Jumlah Pelawat :12202321