Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 31 Oktober 2018 - Dalam usaha mempelbagai langkah menyelesaikan permasalahan sosial yang melanda umat Islam di negara ini, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia baru-baru ini menganjurkanSeminar Kaunseling dan Pengurusan Keluarga dengan tema “Sejahtera Keluarga”.

Program yang berlangsung di Auditorium As-Syafii, ILIM Bangi itu merupakan salah satu pendekatan baharu dalam bidang kaunseling yang lebih holistik dan Islamik dengan berasaskan konsep, falsafah, prinsip, fungsi dan etika syariah, kaunseling syarie dalam pengurusan keluarga.

Seramai 200 peserta yang terdiri daripada pegawai runding cara, pegawai khidmat nasihat yang bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Pusat Pembangunan Keluarga Islam dan Pusat Pembangunan Sosial dan pelbagai Agensi Kerajaan lain telah mengikuti seminar ini.

Terdapat tiga slot utama perkongsian sepanjang seminar ini berlangsung yang disampaikan oleh Ustaz Wan Aminuddin Wan Abdullah dengan tajuk “ Kenali Stres yang Mengancam Keluarga Anda”, Dr. Arik Sanusi Yeop Johari : “Perkahwinan Bawah Umur ; Isu dan Kesan” dan Puan Fadhlina Siddiq dengan tajuk “Pengurusan Keluarga Berkualiti Menjana Kecemerlangan Organisasi”.

Diharapkan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh daripada seminar ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta di samping idea-idea dapat dikongsi bersama untuk ditransformasikan bagi melahirkan masyarakat yang memiliki dan menguasai ilmu pengetahuan dan akhlak yang mulia ke arah membentuk sebuah tamadun bangsa.

sejahtera3

sejahtera2

sejahtera1

sejahtera4

sejahtera5

sejahtera6