Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

BANGI, 11 April 2019 – Kluster Kepakaran Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI), telah menganjurkan Kursus Latihan Kemahiran Bahasa Isyarat Kepada Pendakwah Untuk Golongan Oku Pendengaran (Tahap Asas)pada 8 hingga 11 April 2019 di Bilik Ibnu Sina, ILIM Kampus Utama.

Kursus tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta asas bahasa isyarat dan kaedah-kaedah berkomunikasi dengan golongan OKU pendengaran, menjelaskan penggunaan bahasa isyarat dalam pendidikan Islam khususnya berkaitan ibadah serta menanam kesedaran kepada peserta mengenai tanggungjawab dakwah kepada OKU pendengaran terutama aspek kewajipan fardhu ain.

Seramai 33 orang peserta terdiri dari pegawai hal ehwal Islam dan guru KAFA telah menyertai kursus tersebut dan mendapat bimbingan dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Dalam program ini, peserta telah diberi pengenalan tentang orang pekak serta mempelajari isyarat-isyarat asas seperti huruf dan nombor, ucapan, kata ganti nama, kata tanya, keluarga dan perasaan. Isyarat asas kehidupan, isyarat Islam dan huruf hijaiyyah juga turut diperkenalkan dalam kursus tersebut.

Layari Sistem Maklumat Latihan Bersepadu ILIM di itis.islam.gov.my untuk mendapatkan info lanjut mengenai latihan yang ditawarkan di kampus-kampus ILIM seluruh Malaysia.

 OKU Pendengaran