Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Bahagian Kemajuan Islam, JAKIM telah berjaya menganjurkan Wacana Pendidikan Islam Ke 11 Tahun 2016 pada 15 dan 16 November 2016 yang berlangsung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi.

          Majlis perasmian pada 15 November 2016 telah disempurnakan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis ini juga turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM dan YBhg. Prof Dato’ Dr Noor Aziah bt Mohd Awal, Timbalan Naib Canselor Wakil Rasmi Naib Canselor UKM.

          Sebanyak 130 kertas penyelidikan dan kajian telah dibentang dalam pembentangan selari di lima bilik seminar oleh para penyelidik dan pensyarah universiti-universiti awam di Malaysia. Manakala peserta wacana terdiri dari 300 orang pensyarah, pelajar pasca siswazah, pegawai pendidikan JAIN Negeri-Negeri dan tetamu jemputan khas dari JAKIM dan UKM.

         Dalam Majlis Perasmian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengharapkan Wacana Pendidikan Islam ini dijadikan forum perbincangan bagi semua pihak yang terlibat dengan Pendidikan Islam, Bahasa Arab dan bidang-bidang lain dalam konteks acuan Islam di institusi-institusi pendidikan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, majlis-majlis agama negeri, jabatan-jabatan agama Islam negeri, institusi pendidikan kerajaan-kerajaan negeri, universiti-universiti, kolej-kolej, maktab-maktab, sekolah-sekolah dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia.

           Ia juga mewujudkan platform wacana kepada para pendidik yang berkaitan pendidikan Islam pada semua peringkat dalam Malaysia bagi membolehkan para cendekiawan dalam bidang pendidikan menyumbang idea dalam konteks acuan Islam serta menyebarkan dapatan-dapatan kajian ilmiah berkaitan  isu-isu pendidikan Islam yang memberi impak terhadap masyarakat ke arah memantapkan gagasan transformasi sistem pendidikan acuan Islam di Malaysia yang memberi impak terhadap transformasi masyarakat.

           Wacana ini juga diharapkan dapat memperluas kerjasama dan jaringan antara institusi dan individu dalam aspek akademik dan khidmat masyarakat, selain membuka ruang kerjasama dalam menjalankan penyelidikan merentas kepakaran dan institusi dalam pembangunan pendidikan acuan Islam sekaligus memberi impak terhadap transformasi masyarakat.

               Jawatankuasa Induk Wacana Pendidikan Islam dengan di pengerusikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr Aderi bin Che Noh, Ketua Jaringan Industri Dan Masyarakat UKM telah menetapkan tema Wacana Pendidikan Islam kali ini iaitu ”Pendidikan Islam Membangunkan Ummah Wasatiyyah” bersesuaian dengan resepi baharu abad ini dalam menangani persoalan dan isu terkini berkaitan dengan pendidikan khususnya dalam Pendidikan Islam.

 

wc13

 

wc12

 

wc14

 

wc15

 

 wc8

 

wc2

 

wc9