Judul: Tadabbur Kalamullah 25 Ramadhan 1441H - Al-Quran Membawa Kebenaran
Kategori: Artikel

TADABBUR KALAMULLAH 25 RAMADHAN 1441H

AL-QURAN MEMBAWA KEBENARAN

 

 

تَنزِیلُ ٱلۡكِتَـٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡعَلِیمِ

"Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui" [Surah Ghafir 2]

Ayat ini memberitahu kita bahawa al-Quran datangnya daripada Allah swt. Diturunkan oleh Allah swt. Merupakan wahyu dari Allah, bukannya dari sesiapapun. Ini menunjukkan ketulenan dan kebenaran al-Quran. Maka sepatut dan sewajibnya kita kena belajar sampai kita faham apa yang Allah swt hendak sampaikan, apa yang Allah swt mahu kita laksanakan dalam kehidupan di dunia ini. Jangan hanya sekadar baca, tetapi tidak faham kehendak Allah bahkan lebih teruk lagi apabila langsung tidak membaca dan tidak mengambil tahu tentangnya.

Allah swt mengatakan di dalam ayat yang lain bahawa diturun al-Quran kepada Rasulullah dengan membawa kebenaran. Tidak ada lagi perkataan yang benar melainkan kalam daripada Allah swt.

 

 

تَنزِیلُ ٱلۡكِتَـٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلۡعَزِیزِ ٱلۡحَكِیمِ * إِنَّاۤ أَنزَلۡنَاۤ إِلَیۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصࣰا لَّهُ ٱلدِّینَ

"Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya" [Surah az-Zumar 1-2]

Maka sesiapa yang mengikutinya, dia berada dalam keadaan yang benar. Sesiapa mengingkarinya maka dia sesat. Hal ini kerana al-Quran merupakan petunjuk kebenaran.

 

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..." [Surah al-Baqarah 185]

 

لَقَدْ أَنْزَلْنَا آيَاتٍ مُبَيِّنَاتٍ ۚ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

"Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus" [Surah an-Nuur 46]

Ketahuilah bahawa al-Quran diturunkan dari Allah swt, Tuhan Yang Maha Perkasa dan pengetahuanNya meliputi segala-galanya. Oleh itu, berikan sepenuh keutamaan kepada al-Quran dalam membaca, memahami dan mengamalkannya agar kita sentiasa berada dalam petunjukNya. Jangan sesekali mengabaikannya dan hanya sekadar dijadikan hiasan. Jadikanlah ia sebagai sumber rujukan di sepanjang kehidupan kita.