Judul: Tadabbur Kalamullah 3 Syawal 1441H - Kukuhkan Hubungan Dengan Allah Dan Sesama Manusia
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 3 SYAWAL 1441H
KUKUHKAN HUBUNGAN DENGAN ALLAH DAN SESAMA MANUSIA

 

 

وَٱلَّذِینَ یَصِلُونَ مَاۤ أَمَرَ ٱللَّهُ بِهِۦۤ أَن یُوصَلَ وَیَخۡشَوۡنَ رَبَّهُمۡ وَیَخَافُونَ سُوۤءَ ٱلۡحِسَابِ

 
"Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat)"
[Surah ar-Ra'd 21]
 
Allah swt memerintahkan kita menghubungkan apa yang disuruh kita hubungkan dan jangan pisahkan. Antaranya hubungan kita dengan Allah dan RasulNya, dengan keluarga dan kaum kerabat, dengan jiran dan seluruh masyarakat. Hablum minallah (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas (hubungan sesama makhluk).

 

ضُرِبَتۡ عَلَیۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَیۡنَ مَا ثُقِفُوۤا۟ إِلَّا بِحَبۡلࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبۡلࣲ مِّنَ ٱلنَّاسِ

 
"Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah (hubungan dengan Allah) dan adanya sebab dari manusia (hubungan sesama manusia)..."
[Surah Aali Imran 112]
 

Ayat ini menunjukkan bahawa hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia adalah dua sisi mata wang yang tidak boleh dipisahkan. Inilah nilai keperibadian mukmin yang sempurna. Oleh itu, untuk membina hubungan kita dengan Allah, kita mempunyai kewajipan untuk menunaikan hak-hak Allah, iaitu:

1. Mentauhidkan dan tidak menyekutukanNya dengan yang lain.

2. Menjalankan syariat Allah selagi nyawa dikandung badan seperti solat, puasa, zakat, haji, sedekah, membersihkan hati, jihad dan sebagainya.

3. Bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

4. Hidup sentiasa bergantung kepada Allah.

5. Sentiasa berdoa dan berzikir mengharapkan bantuan dan pertolongan Allah.

Sayidina Abdullah Ibnu Mas’ud r.a pernah berkata:

مَا دُمْتَ فِي صَلاةٍ فَأَنْتَ تَقْرَعُ بَابَ الْمَلِكِ ، وَمَنْ يَقْرَعْ بَابَ الْمَلِكِ يُفْتَحْ لَهُ

 
“Engkau tengah mengetuk pintu Sang Raja (Allah Tuhan sekelian alam) di sepanjang solat. Dan setiap orang yang mengetuk pintuNya, nescaya akan dibukakan baginya jalan keluar” (Lihat: Sifat as-Shafwah)
 
Antara perkara hablum minannas yang dituntut untuk dihubungkan ialah silaturrahim sesama manusia. Antara insan yang perlu dihubung dan jangan sesekali terputus ialah:

1. Dengan kedua ibubapa.

2. Dengan kaum kerabat dan sanak saudara.

3. Dengan jiran tetangga.

4. Dengan masyarakat setempat.

5. Dengan golongan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan.

4. Dengan didahulukan orang Islam, kemudian sesama manusia berlainan agama.

5. Dengan makhluk Allah yang lain.

Daripada Sayidina Abdullah bin 'Amru r.a, Nabi saw bersabda:

لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنَّ الْوَاصِلَ الَّذِي إِذَا انْقَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

 
"Tidaklah seseorang itu digelar al-Wasil (penyambung silaturrahim) apabila dia bersifat al-Mukafi`i (orang yang menyambung silaturrahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi al-Wasil itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturrahim, beliau segera menyambungkannya"
(HR Ahmad, al-Bukhari dan at-Tirmizi)
 
Ketahuilah, Islam agama yang mementingkan hubungan silaturrahim. Antara bentuk-bentuk silaturrahim yang disyariatkan adalah:
 
1. Saling mengasihi dan memuliakan.
2. Memberi maaf kepada orang yang berbuat zalim kepada kita.
3. Memberi kepada orang yang memberi dan yang tidak mahu memberi kepada kita.
4. Mewujudkan perpaduan, kedamaian dan hubungan baik sesama manusia dan makhluk Allah swt yang lain.
5. Menderma untuk hal ehwal kebajikan sesama manusia.
 
Takutlah kemurkaan dan azab Allah serta kesengsaraan di hari kiamat bagi sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah dan sesama manusia. Kukuhkan hubungan kita dengan Allah dan berkasih sayang sepenuh jiwa sesama manusia. Moga kebahagiaan dan kedamaian berterusan di sepanjang hidup kita. Aamiiin.