Judul: Tadabbur Kalamullah 4 Syawal 1441H - Allah Tuhanku Dan Tuhan Kamu
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 4 SYAWAL 1441H
ALLAH TUHANKU DAN TUHAN KAMU
 
 
إِنَّ ٱللَّهَ رَبِّی وَرَبُّكُمۡ فَٱعۡبُدُوهُۚ هَـٰذَا صِرَ ٰمُّسۡتَقِیمࣱ
 
"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus". [Surah Aali Imran 51]
 
Menurut Syeikh as-Sa'di dalam tafsirnya: "Inilah dakwah Nabi Isa Alaihissalam, yakni sama seperti para nabi dan rasul selainnya, sama-sama mengajak manusia mentauhidkan Allah. Namun kaumnya mendustakan baginda dan tidak mahu beriman. Dalam ayat ini terdapat bantahan terhadap orang-orang Nasrani yang meyakini triniti (kepercayaan bahawa Tuhan itu satu tapi ada tiga- Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Ruhul Qudus) dan bahawa yang demikian bukanlah ajaran Nabi Isa Alaihissalam. (Ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa) iaitu beribadah kepada Allah, bertaqwa kepadaNya dan mentaati RasulNya yakni jalan yang menghubungkan kepada Allah, menghubungkan kepada syurgaNya, sedangkan jalan selain ini menghubungkan ke neraka".
 
Allah swt Tuhan sekelian alam, tiada tuhan selainNya. Sesiapa yang mengatakan ada tuhan lain selainnya atau mengatakan tuhan itu tiga, mereka telah lari dari landasan yang lurus dan berada dalam kesesatan yang nyata.
 
"Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya)"
[Surah an-Nisa' 171]
 
Bahkan mereka juga tergolong dari kalangan orang kafir dan bakal memperolehi azab yang tidak terperi dahsyatnya.
[Rujuk Surah al-Ma'idah 73]
 
Ka’ab al-Ahbar rahimahullah mengatakan: "Malaikat akan murka, api neraka akan panas menyala ketika mereka menyuarakan apa yang mereka katakan".
 
Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata: “Tidak ada sembahan yang berhak disembah selain Allah, tidak ada sekutu bagiNya, tidak ada yang serupa denganNya. Allah tidaklah memiliki anak dan isteri. Tidak ada yang semisal denganNya. Allah itu al-Ahad as-Shomad (Maha Esa dan semua makhluk bergantung padaNya). Pada segala sesuatu terdapat ayat (tanda kekuasaan Allah), itu semua menunjukkan Allah itu Esa".
 
Berhati-hatilah, barangkali kita telah terselamat daripada melakukan perkara yang membawa kepada syirik dan kekafiran secara terang-terangan seperti mengatakan Allah itu tiga, Nabi Isa anak Allah, menyembah berhala/tokong atau apa sahaja yang menyamakannya dengan Allah swt. Tetapi adakah dengan tidak menyekutukan Allah secara terang itu, kita tidak melakukan syirik kepadaNya?
 
Perbuatan syirik bermaksud sesuatu perbuatan yang menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain sama ada makhluk bernyawa atau sebaliknya menyamai bagi Allah swt. Contoh kesyirikan dan rosaknya syahadah ialah:
 
1. Meragui atau menafikan kewujudan dan keagungan Allah.
2. Memuja nasib dan mempercayai sesuatu objek mempunyai keramat tertentu.
3. Perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu sehingga menyembahnya.
4. Menghalalkan perkara haram dan sebaliknya.
5. Mengaku keluar daripada Islam.
6. Perbuatan riak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara dengan mengharap pujian serta balasan manusia.
 
Jalan yang lurus menuju ke Syurga ialah dengan beriman hanya kepada Allah, meyakini para rasul adalah utusanNya, tidak mengatakan sesuatu tentangNya melainkan yang benar dan beribadah hanya kepadaNya tanpa mensyirikanNya.