Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Alhamdulillah, bersyukur kepada Ilahi kerana saya diberi kesempatan untuk merakamkan ucapan dalam laman web bahagian ini. Sebenarnya saluran internet ini sangat penting sebagai pengenalan kepada masyarakat untuk mengetahui dan mengenali Bahagian Penyiaran, JAKIM dengan lebih dekat.

Bahagian Penyiaran adalah salah satu bahagian di JAKIM yang dianggap penting kerana berperanan sebagai medium penyiaran untuk menyampaikan mesej JAKIM dan menyebarkan dakwah kepada masyarakat di negara ini menerusi media penyiaran elektronik dan media sosial.

Bahagian Penyiaran bertanggungjawab untuk menerbitkan rancangan-rancangan agama yang disiarkan menerusi saluran TV dan Radio RTM sejak 1994 lagi. Setakat ini kita bukan sahaja menerbitkan rancangan harian dan mingguan di TV dan Radio tetapi bahagian ini turut menerbitkan siaran secara langsung / live bagi program-program utama JAKIM seperti Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada setiap tahun.

Sehingga kini, rancangan-rancangan TV terbitan Bahagian Penyiaran telah mendapat rating bilangan penonton yang tinggi dan baik seperti Forum Perdana Ehwal Islam, Myhalal, Anda Musykil, Fikrah, Tilawah Interaktif dan beberapa lagi. Manakala rancangan agama radio pula disiarkan di radio utama RTM seperti Nasional FM, Klasik FM dan stesen radio pelbagai bahasa iaitu Asyik FM, Ai FM, Minnal FM dan Traxx FM.

Bahagian Penyiaran mempunyai stesen radio sendiri apabila Salam FM ditubuhkan pada 15 Februari 2009. Salam FM bersiaran pada setiap hari dari jam 11 malam hingga 8 pagi menerusi frekuensi 91.1 FM dengan menyiarkan sepenuhnya rancangan-rancangan agama terbitan JAKIM. Penubuhan Salam FM merupakan satu kejayaan kepada bahagian ini dalam merealisasikan penyebaran dakwah kepada masyarakat dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Seterusnya misi penyebaran dakwah melalui media penyiaran JAKIM terus berkembang apabila Unit Media Digital Interaktif (MDI) diwujudkan di Bahagian Penyiaran. Unit MDI dipertanggungjawabkan untuk membuat siaran live streaming bagi program TV dan Radio serta program-program dakwah anjuran bahagian-bahagian di JAKIM menerusi jaringan media sosial seperti facebook. Fungsi MDI membolehkan dakwah disebarkan dengan lebih cepat dan lebih meluas.

Saya berdoa agar Bahagian Penyiaran terus maju dalam misinya menyebarkan dakwah dan membantu JAKIM untuk memberi kefahaman dan penghayatan nilai-nilai Islam kepada seluruh masyarakat di negara ini dan umat Islam seluruhnya.

Sekian.


Pengarah
Bahagian Penyiaran
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia