Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

BANGI, 8 Mac 2019 – 171 perjawatan Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM telah diisi berbanding 182 perjawatan diperuntukkan di Jabatan Penjara seluruh Malaysia. Ini memperlihatkan kepentingan keberadaan pegawai-pegawai agama di jabatan tersebut bukanlah sesuatu yang dipandang enteng. Malah pewujudan skim pengurusan dan professional, gred S52 di Ibu Pejabat Penjara Malaysia merupakan satu inisiatif pengurusan tertinggi Jabatan Penjara Malaysia bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di jabatan tersebut tersusun dengan lebih sistematik.

ILIM hari ini menerima kunjungan daripada delegasi Bahagian Agama dan Kaunseling Ibu Pejabat Penjara Malaysia diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Penolong Kanan Komisoner Tuan Nik Robidin bin Ab. Rahman disertai Pengusa Penjara, Tuan Marzuki Amri bin Bidi dan diiringi Ustaz Syed Nasrullah bin Syed Hamid dan Ustaz Abdullah bin Hashim, masing-masing merupakan pegawai kader JAKIM yang berkhidmat di jabatan tersebut.

Dalam sesi kunjungan ini, ILIM menyambut baik hasrat Jabatan Penjara Malaysia menerusi Bahagian Agama dan Kaunseling untuk memberikan latihan kepada pegawai dan kakitangan jabatan tersebut khususnya kepada pegawai kader JAKIM di jabatan tersebut. ILIM bersetuju untuk memperkenalkan kursus khas berkaitan Kefahaman Ideologi, Pengukuhan Psikologi meliputi Kaunseling dan ‘Ilaj Syarie, Smart Insani serta Pengukuhan Akidah.

Dalam pembinaan modul, ILIM telah dimaklumkan bahawa pegawai kader JAKIM telah berjaya membangunkan serta memperkenalkan beberapa modul seperti Halaqah, Warga Emas, Banduan Khas serta Pembantu Guru Agama yang perlu dimurnikan dan ditambah baik dari semasa ke semasa. ILIM juga positif dalam merealisasikan hasrat Jabatan Penjara untuk bekerjasama membangun beberapa lagi modul yang akan dikenal pasti mengikut keperluan skop tugas pegawai bagi memastikan pegawai-pegawai kader JAKIM di jabatan tersebut kompeten dalam melaksankan tugasan.

Pujian harus diberikan kepada kader jakim di jabatan tersebut apabila telah berjaya memperkenalkan modul Re-Learning dimana para banduan lepasan penjara ditempatkan di masjid tempat bermastautin bagi memastikan mereka ini berkhidmat dengan baik selepas menjalani pengislahan. Namun cabarannya, stigma dan penerimaan rakyat terhadap banduan ini harus diperbetulkan kerana sokongan rakyat sangat diperlukan bagi memastikan golongan ini terus berada di landasan yang betul

Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Penjara Malaysia juga berjaya memperkenalkan Sijil Kemahiran Tahfiz kepada 20 orang banduan. Ternyata dengan bimbingan yang baik, mereka berjaya melahirkan 10 orang banduan yang berjaya menyempurnakan KPI hafazan yang ditetapkan sebanyak 10 juzuk. Ini merupakan titik permulaan yang baik dan harus dicontohi oleh semua.

Bina Kompetensi Pegawai Kader JAKIM 1