Kurator Berita : Bahagian Dakwah
PROGRAM RAMAH MESRA DAN EKSPEDISI MAHASISWA RAHMAH DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI SUNGAI MAS, SG LEMBING, KUANTAN PAHANG
 
KUANTAN, PAHANG ( 14 DAN 15 FEBRUARI 2020 ) – JAKIM melalui Bahagian Dakwah telah berjaya menganjurkan Program Ramah Mesra dan Ekspedisi Mahasiswa Rahmah di Perkampungan Orang Asli Sg Mas, Sg Lembing, Kuantan Pahang pada 14 dan 15 Februari 2020. Program telah dilaksanakan dengan kerjasama strategik daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan serta Mahasiswa Universitas Islam Negeri Sumatera Utara (UINSU), Indonesia dan beberapa rakan strategik lain seperti JAKOA dan Kolej Universiti PICOMS. Program ini melibatkan penyertaan daripada 45 orang mahasiswa UINSU sebagai platform untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka mengurus dan merancang program di lapangan serta menyantuni masyarakat Orang Asli.
 
Objektif penganjuran program ini adalah untuk menyantuni masyarakat Orang Asli bagi menyampaikan keindahan Islam yang bersifat RAHMAH kepada seluruh lapisan masyarakat, tidak terkecuali masyarakat Orang Asli. Melalui program ini juga dilihat dapat menyalur dan memberikan perkhidmatan secara tepat dan bersasar kepada masyarakat Orang Asli melalui kaunter-kaunter pameran dan perkhidmatan seperti kaunter JKM, khidmat nasihat Syariah, dan kaunter KWSP. Program ini juga turut diadakan ziarah rahmah yang melibatkan 45 orang Mahasiswa UINSU dan Penggerak Masyarakat Orang Asli Zon Pahang Timur. Ziarah rahmah telah berjaya menyantuni 177 buah keluarga di kampung ini. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah iaitu YBhg Tuan Haji Aziz bin Haji Mohamad.
 
Program selama 2 hari ini turut memuatkan aktiviti Explorace Rahmah, Sukaneka, Malam Kebudayaan Islam, kejohanan futsal dan gotong royong mengecat Surau KOA Sg Mas. Semoga dengan penganjuran program seumpama ini dapat memberi keakraban dan hubungan silaturrahim yang erat antara Orang Asli dengan agensi- agensi kerajaan dan NGO, di samping dapat menyampaikan dakwah bil hal kepada masyarakat Orang Asli.
 
 
Program Ramah Mesra Perkampungan Orang Asli Sungai Mas 1
 
Program Ramah Mesra Perkampungan Orang Asli Sungai Mas 2