Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

“Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf dan menghargai peranan guru-guru agama dalam membimbing dan membentuk sikap murni dalam kalangan ummah serta menyumbang kepada keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negeri Sabah”. Begitulah antara petikan ucapan Ketua Menteri Sabah, YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman semasa menyampaikan ucapan perasmian sempena Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2018, di hadapan lebih 1200 orang peserta yang terdiri daripada imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir seluruh negeri Sabah. Dalam amanatnya, YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman turut mengingatkan rakyat agar sentiasa berhati-hati dengan cubaan golongan tertentu yang sering menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk menggugat keharmonian negara, yang mana isu-isu ini sekiranya tidak ditangani dengan baik dan berhikmah, boleh membawa kepada perbalahan dan konflik yang berpanjangan dalam kalangan rakyat.

Hadir bersama pada majlis yang berlangsung pada tanggal 19 Februari 2018 di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS Kota Kinabalu Sabah ini ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, YB Datuk Haji Mohd Ariffin bin Mohd Arif, dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jakim, Encik Masri bin Razali. Menerusi ucapan alu-aluannya, YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi telah mengumumkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah Bagi Tahun 2018, yang berjumlah RM47,502,648.00 bagi bayaran imbuhan imam, elaun guru Takmir dan guru KAFA, manakala RM7,380,000.00 bagi bayaran khas one-off imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA. Komitmen ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Terdahulu, para hadirin telah dihidangkan dengan sesi perkongsian ilmu mengenai Manhaj Pengurusan Islam: Ke Arah Kelestarian Ummah yang disampaikan oleh Sohibul Samahah Datuk Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Negeri Melaka, dan Bid’ah Menurut Ahli Sunnah Waj Jama’ah oleh Sohibul Fadhilah Ustaz Hamdani bin Omar, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah.

Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2018 berakhir dengan penuh makna dan gemilangnya apabila mock cheque peruntukan Kerajaan Persekutuan dan peruntukan one-off imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA tahun 2018 telah diserahkan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki kepada YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa bin Haji Aman.

 

MMU Sabah 2018 1

MMU Sabah 2018 2

MMU Sabah 2018 3

MMU Sabah 2018 4

MMU Sabah 2018 5