Kurator Berita : Bahagian Dakwah
PROGRAM JELAJAH RAHMAH DAN SEMARAK KASIH MASYARAKAT ORANG ASLI KELANTAN
 
Pada 16 hingga 18 Julai yang lalu, Bahagian Dakwah Jakim dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah mengadakan satu program yang dinamakan Jelajah Rahmah dan Semarak Kasih Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan. Misi kali ini memilih 2 buah Kampung Orang Asli di Gua Musang iaitu Kampung Orang Asli Aring 5 dan Kampung Orang Asli Kuala Koh sebagai lokasi untuk menyantuni masyarakatnya. Antara tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkkan penghayatan Islam melalui kelas bimbingan fardu ain dan solat jemaah sepanjang program.
 
Kesemua penduduk di kedua-dua kampung ini beragama Islam. Program ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) negeri Kelantan. Antara pengisian yang disusun sepanjang program adalah kelas bimbingan fardu ain, sukaneka, ziarah mahabbah, penyampaian sumbangan, gotong royong dan persembahan kebudayaan. Masyarakat kampung memberikan komitmen yang baik sepanjang program diadakan. Program ini dirasmikan oleh YBhg Us Aziz bin Mohammad, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM.
 
Seusai program di Kampung Orang Asli Aring 5, perjalanan diteruskan lagi ke Kampung Orang Asli Kuala Koh. Perjalanan yang panjang dan penuh dengan cabaran tidak mematahkan semangat YBhg Pengarah untuk menitipkan kata-kata semangat dan menyampaikan sumbangan di rumah mangsa tragedi demam campak yang menyebabkan kematian beramai-ramai baru-baru ini. Pengisian diteruskan dengan mengadakan tahlil ringkas di perkuburan besar, iaitu tempat persemadian mangsa tragedi.

Semoga program seumpama ini bukan sahaja dapat menyantuni masyarakat Orang Asli, malah dapat menyuntik semangat para PMOA dalam meneruskan usaha dakwah menyebar luas agama Islam hingga ke pelosok kampung.
 
Jelajah Rahmah Dan Semarak Kasih Orang Asli Kelantan 1
 
Jelajah Rahmah Dan Semarak Kasih Orang Asli Kelantan 2
 
Jelajah Rahmah Dan Semarak Kasih Orang Asli Kelantan 3