jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
 
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN

TEMPOH MASA MENJALANKAN IBADAH QURBAN
 
Sukacita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ingin memberikan maklum balas mengenai kekeliruan tempoh masa menjalankan ibadah qurban yang timbul baru-baru ini.

Menjalankan ibadah qurban iaitu menyembelih haiwan ternakan tertentu yang dikategorikan sebagai al-an’am seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing itu adalah bertujuan untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah s.w.t.
Oleh itu, hukum bagi menjalankan ibadah qurban ini adalah sunat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi : Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu”.

Menjalankan ibadah qurban adalah satu perkara yang dituntut kepada orang yang berkemampuan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah: Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. lalu berkata : “ Sesungguhnya sudah menjadi kewajibanku berkorban seekor unta dan aku orang kaya tetapi aku tidak dapat mencari unta untuk dibeli. Orang itu diperintahkan oleh Nabi s.a.w. supaya membeli tujuh ekor kambing lalu disembelihnya.”

Adapun tempoh bagi menjalankan ibadah qurban tersebut adalah bermula dari selepas solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan pada Hari Tasyrik, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ianya disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: Dari Al Bara’ bin ‘Azib r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang (Aidil Adha), maka penyembelihan itu untuk dirinya sendiri dan siapa yang menyembelih sesudah sembahyang (Aidil Adha), maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan korbannya dan telah mengikut sunnah kaum muslimin”.
 
Dari kitab Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar yang ditulis oleh Ibn ‘Abidin mengatakan bahawa “ Maka diganjari ibadah qurban yang dilaksana pada hari yang ketiga belas walaupun di sisi yang lain telah pun memasuki hari yang keempat belas” (Dar al-Kutub al-Ilmiyyah; Beirut, Jilid 3, halaman 364).

Oleh itu adalah tidak menjadi kesalahan menjalankan ibadah qurban itu pada hari 10 Zulhijjah (selepas solat sunat Aidiladha) dan 3 hari berikutnya (11, 12, dan 13 Zulhijjah) sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah 1431H itu bersamaan dengan 20 November 2010.

Oleh itu, sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat. Atas kerjasama dan keprihatinan pihak media dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih.
Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,

 

(ASIAH BINTI ALKHARIB SHAH)