Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

4 Januari 2019- Ph.D bukanlah suatu ijazah yang mudah diperoleh. Ia melalui satu proses pembelajaran dan penyelidikan yang tinggi mutunya sesuai dengan status ketinggian ijazah tersebut. Prof. Dr. Kamil Ibrahim dalam bukunya Ph.D Kecil Tapi Signifikan, UPENA, UiTM (2005) ada menyatakan bahawa Ph.D merupakan suatu proses yang unik. Ramai yang cuba mendapatkannya, namun belum pasti kesemuanya sampai ke garis penamat. Mereka yang berjaya pula melalui pelbagai halangan dan rintangan yang bukan calag-calang onaknya. Ia merupakan suatu proses yang cukup perit dan meletihkan serta menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) sebagai pusat latihan Islam berpandangan penghargaan perlu diberikan kepada kumpulan tersebut atas kecemerlangan mereka dalam membina kepakaran masing-masing dan apresiasi ini diterjemahkan menerusi Majlis Penyampaian Amanat Ketua Pengarah yang telah diadakan di Kompleks Islam Putrajaya pada hari ini.

Pertemuan yang sarat dengan mesej ini mengharapkan agar kumpulan ini dapat berganding bahu bersama pengurusan tertinggi untuk mentransformasi Jabatan sebagai pemacu pembangunan modal insan, juga mempertingkatkan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan JAKIM sebagai agensi yang menerajui pengurusan hal ehwal Islam.

Dalam amanatnya, Ketua Pengarah JAKIM mengharapkan agar para pemegang Ph.D dapat meningkatkan produktiviti dalam penghasilan kerja, juga menggalakkan supaya kumpulan ini bergerak aktif dalam memberi sumbangan kepada negara, Jabatan mahu pun peringkat antarabangsa mengikut bidang kepakaran masing-masing. Beliau menekankan tentang betapa peri pentingnya penyelidikan-penyelidikan ilmiah dan menggalakkan supaya diperbanyakkan penyelidikan secara kolaborasi dengan agensi-agensi di bawah penyelarasan JAKIM bagi menghasilkan impak yang tinggi kepada Jabatan dan ia perlu dibudayakan terutama melibatkan 9 bidang teras perkhidmatan hal ehwal Islam.

Beliau juga berharap agar kumpulan ini dapat meneroka ilmu yang lebih luas mencakupi aspek perundingan dan konsultasi bagi memahami falsafah-falsafah tertentu, juga berharap agar kumpulan ini dapat membantu memberi suntikan motivasi kepada pegawai-pegawai JAKIM yang sedang melanjutkan pelajaran sama ada di peringkat Ijazah Sarjana atau Ph.D.

Sesungguhnya kumpulan ini bolehlah dianggap sebagai inspirasi dan contoh ikutan dalam membina dan mengekalkan kompetensi.

Majlis amanat ini turut dihadiri oleh barisan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah dan Pengarah Kanan ILIM.

Sehingga kini, JAKIM telah melahirkan 22 orang pemegang Ph.D yang merupakan penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Semoga permata berharga ini mampu menggembeling misi dan visi Jabatan khususnya dalam agenda pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam sehingga di peringkat global.

PHD1

PHD2

PHD3

PHD4