Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 15 Oktober – Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Kursus Pengurusan Kewangan Berlandaskan Syariah secara atas talian (online) kepada pegawai Hal Ehwal Islam dan skim perkhidmatan yang lain dari pelbagai agensi Kerajaan. Kursus ini dilaksanakan selama 3 hari iaitu pada 13 hingga 15 Oktober 2020.

Kursus ini diadakan bertujuan memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman peserta tentang pengurusan kewangan secara betul dan berkesan berlandaskan syariat Islam. Peserta telah diberi pendedahan dan pemahaman secara mendalam bermula dengan menjelaskan aplikasi maqasid syariyyah selari dalam pengurusan kewangan dan kehidupan manusia. Seterusnya peserta diberi penjelasan dan pemahaman mengenai perbandingan antara pengurusan kewangan Islam dan pengurusan kewangan konvensioal. Slot seterusnya ialah cabaran perbankan Islam masakini. Topik Pengurusan kewangan patuh syariah, perbelanjaan dan pengurusan hutang yang berkesan antara topik yang dinantikan oleh para peserta. Penceramah telah mengupas topik ini secara mendalam lebih-lebih lagi keadaan sekarang orang ramai menghadapi masalah kewangan akibat kesan daripada wabak pandemik covid19. Slot seterusnya pada hari terakhir mengupas berkaitan pengurusan harta pusaka (faraid), wasiat dan hibah.

Kursus selama 3 hari secara online ini telah dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berpengalaman dan praktis dalam ilmu kewangan Islam iaitu Dr Syaryanti binti Hussin dan Dr. Faisol bin Ibrahim dari USIM, Dr. Mohd Zamro bin Muda dari UKM dan Tuan Ismail bin Taib dari Bank Islam Malaysia Berhad. Para penceramah bukan sahaja menyampaikan ceramah bahkan berkongsi ilmu dan pengalaman dalam pengurusan kewangan. Seramai 43 orang peserta telah menyertai secara atas talian yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri, Pejabat Agama Islam Daerah, termasuklah kakitangan daripada skim perkhidmatan yang lain daripada kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Semoga kursus ini berjaya memberikan impak yang besar kepada para peserta daripada sudut pemahaman dan kemahiran dalam mengurus dan mengendalikan kewangan peribadi dan keluarga.