Senarai Tema Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan

 TEMA-TEMA RASMI BAGI MAJLIS RASMI JAKIM
 
TAHUN
TEMA
1391/1971
  Islam Dalam Zaman Sains & Teknologi
1392/1972
  Peranan Islam Dalam Pembangunan Masyarakat Moden
1393/1973
  Islam Dan Pembangunan Ekonomi
1394/1974
  Akhlak Asas Perpaduan
1395/1975
  Kemakmuran Menerusi Lunas-lunas Islam
1396/1976
  Masyarakat Progresif Mengikut Islam
1397/1977
  Al-Quran Sumber Kekuatan Ummah
1398/1978
  Nilai Dan Displin Hidup Menurut al-Quran
1399/1979
  Ilmu dan Akal Asas Keimanan
1400/1980
  Kukuhkan Perpaduan Menurut Islam
1401/1981
  Kejayaan Dunia Akhirat Menurut Islam
1402/1982
  Displin Dan Kesungguhan Bekerja Dalam Islam
1403/1983
  Kebersihan Asas Kesempurnaan Iman
1404/1984
  Berilmu Berusaha Tuntutan al-Quran
1405/1985
  Perpaduan Asas Keutuhan Ummah
1406/1986
  Berjimat Berkat, Membazir Mudharat
1407/1987
  Umat Tegas Islam Teguh
1408/1988
  Kemajuan Dan Keagungan Ummah
1409/1989
  Bersatu Memajukan Ummah
1410/1990
  Bersatu Teguh
1411/1991
  Berjihad Menuju Kejayaan
1412/1992
  Berjihad Ke Arah Keagungan
1413/1993
  Wawasan Memajukan Ummah
1414/1994
  Wawasan Menyatukan Ummah
1415/1995
  Al-Quran Membina Akhlak Mulia
1416/1996
  Umat Berkualiti Penggerak Wawasan
1417/1997
  Budaya Murni Teras Kejayaan
1418/1998
  Akhlak Mulia Umat Sejahtera
1420/1999
  Perpaduan Ummah Membawa Kejayaan
1421/2000
  Bersyukur Tanda Keteguhan Iman
1422/2001
  Perpaduan Pemangkin Pembangunan Ummah
1423/2002
  Bersama Hayati Keindahan Islam
1424/2003
  Bersama Hayati Keindahan Islam
1425/2004
  Negara Maju Matlamat Kita
1426/2005
  Islam Hadhari Menjana Kemajuan Ummah
1427/2006
  Keunggulan Ilmu Teras Kegemilangan Ummah
1428/2007
 Insan Cemerlang Ummah Terbilang
1429/2008
 Menjana Ummah Gemilang
1430/2009  Wahdah Pemangkin Khaira Ummah
1431/2009  Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah
1432/2010  1 Malaysia 1 Ummah
 
Ulasan Tema 2010:
 
1 MALAYSIA 1 UMMAH
 
1Malaysia adalah kesinambungan aspirasi kepimpinan terdahulu dalam membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju. Aspek utama yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia ialah penghayatan sikap  hormat-menghormati serta memberi dan menerima antara satu sama lain, bertepatan dengan visi negara, iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu dan mempunyai semangat cintakan negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. 1Malaysia juga mencerminkan kehidupan rakyat yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa. Ini juga memberi erti bahawa prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar, sama-sama menikmati kemajuan dan kemakmuran, dan tiada sesiapa pun dipinggirkan daripada arus pembangunan negara. 
 
Ummah”  adalah satu kata daripada bahasa Arabyang bererti "bangsa". Perkataan ini berasal dari kata “amma-yaummu”, yang boleh bermakna "menuju", "menumpu", atau "meneladani". Daripada akar kata yang sama, terbentuk juga: “um”, yang bererti "ibu", dan “imam”, yang bererti "pemimpin"; kerana  kedua-duanya  menjadi  teladan, tumpuan pandangan, dan harapan anggota masyarakat. Pakar bahasa Al-Quran, Ar-Raghib (w.  508  H/1108  M)  dalam  bukunya Al-Mufradat  fi  Gharib  Al-Qur'an, menjelaskan bahawa kata ini didefinisikan  sebagai  semua  kelompok  yang  dihimpun   oleh sesuatu,  seperti  agama,  waktu,  atau tempat yang sama, baik penghimpunannya secara terpaksa mahupun atas kehendak mereka. Ali  Syariati  dalam bukunya Al-Ummah wa Al-Imamah menyebut bahawa keistimewaan perkataan “ummah” disamaertikan dengan perkataan  nation  atau qabilah  (suku).  Beliau  mendefinisikan kata umat – dalam konteks sosiologis - sebagai "himpunan manusiawi yang  seluruh anggotanya  bersama-sama  menuju  satu arah, bahu-membahu, dan bergerak secara dinamis di bawah kepemimpinan bersama." Secara tegas al-Quran dan  hadis  tidak  membatasi  pengertian umat hanya pada kelompok manusia.
 
Bersatu adalah antara petanda dan ciri-ciri umat Islam. Umat yang menyembah Allah SWT,  Tuhan yang Esa. Ummah menjadi satu kerana arah tuju adalah satu. Dengan ini, kesatuan menjadi mudah untuk umat Islam. Justeru, bersatu adalah petanda awal yang jelas bagi kewujudan umat Islam. Ini dapat dijelaskan dengan melayari sejarah-sejarah para anbia’ dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah kepada umat manusia. Jika diimbas kembali sejarah perjalanan hidup Rasulullah SAW terutama setibanya baginda di Madinah al-Munawarah, langkah pertama yang diambil oleh baginda ialah mewujudkan jalinan ukhuwah Islamiah di kalangan Muhajirin dan Ansar sehingga terbentuk sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu mendukung sebuah pemerintahan Islam yang dipimpin oleh baginda.  Dengan terbentuk kesatuan Islam yang jitu, umat Islam mula menempa kejayaan demi kejayaan hingga mencatatkan detik kegemilangan yang memberangsangkan. Catatan sejarah ini jelas menunjukkan betapa pentingnya perpaduan dan kesatuan umat Islam dalam sesebuah negara yang berdaulat.
 
Kesatuan ummah antara ciri-cirinya tidak merujuk pada perbezaan warna kulit, bangsa, keturunan, negara, masa atau tempat, sebaliknya melalui kesatuan akidah bagi seluruh masyarakat Islam. Bahkan ia menjadi salah satu daripada tiga syarat sebelum diiktiraf sebagai umat terbaik. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:
 
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
 (Surah Ali Imran: 110) 
 
Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan berkata bahawa bukanlah namanya masyarakat Islam jika ketaksuban kepada bangsa, keturunan dan kenegerian mendahului ukhuwah Islamiah. Dengan lain perkataan, persaudaraan yang mendominasi ummah akan merentasi semua kelompok masyarakat hatta yang berbeza agama pun ada hak dalam hubungan keinsanan terhadap mereka. Bukanlah namanya kesatuan ummah andai ada manusia yang terlalu tinggi darjatnya enggan bersaudara dengan orang lain, begitu juga yang terlalu rendah darjatnya malu bersaudara dengan orang yang lebih tinggi daripadanya. Janganlah harta, jawatan, keturunan, kedudukan dalam masyarakat dijadikan pemisah hubungan antara satu sama lain.
 
Apabila kesatuan ummah mempunyai kepercayaan dan prinsip bersaudara yang sama, maka tiada sebab untuk berlakunya krisis sosial, kecemburuan melampau, dengki khianat, kasta dan sebagainya. Semuanya sentiasa tergolong dalam ahli masyarakat yang sama dan mempunyai pemikiran yang sama, iaitu satu ummah yang bersaudara walaupun wujud perbezaan warna kulit, bahasa, kewarganegaraan, masa atau tempat.
 
Kesatuan ummah Islam dalam negara yang merdeka ialah penyatuan sesebuah komuniti masyarakat terhadap semua prinsip, kepercayaan dan nilai. Ia merupakan asas yang amat bererti kepada sebuah kehidupan sesama manusia daripada semua perkara lain. Andai kefahaman ini dapat dibentuk, setiap individu sedia berkorban apa sahaja termasuk nyawa mereka untuk melindungi dan memeliharanya. Tiada yang dapat menyatukan ummah melainkan persaudaraan kerana persaudaraan membuang dendam serta sikap pentingkan diri sendiri. Tidak akan perkasa ummah sekiranya setiap individu tiada rasa sayang kepada saudaranya yang lain, tiada kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara.
 
Konsep 1 Malaysia 1 Ummah meminta pengorbanan daripada setiap rakyat negara ini untuk sama-sama saling bantu-membantu antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit, budaya, keturunan dan adat resam. Setiap rakyat harus hidup sebagai satu ummah atau satu keluarga tanpa rasa terpinggir atau dipinggirkan dalam usaha menuju negara maju berpendapatan tinggi. Kita mempunyai satu visi untuk melahirkan 1 Malaysia 1 Ummah yang mampu membimbing umat manusia seluruhnya kepada kesejahteraan, kedamaian, ketenteraman dan keadilan sejagat berpaksikan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Ummah yang bersatu mewujudkan jamaah, mengukuhkan ikatan dalam kehidupan dan  menjadikan Islam teguh di mata dunia.