Brotherhood Muslim Camping (Bro-MC '12)

 
Akademi Islam, Universiti Malaya dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaya dan Bahagian Dakwah, JAKIM telah mengadakan Brotherhood Muslim Camping 2012 yang berlangsung pada 21 & 22 Januari 2012 di Lopo Blue River, Hulu Langat, Selangor.
 
Program ini bersempena dengan cuti semester awal tahun 2012 yang melibatkan 150 orang peserta daripada pelajar tahun satu, semua fakulti. Program tahunan ini bermatlamat untuk memberi kefahaman dan penghayatan Islam yang sebenar kepada mahasiswa disamping menerapkan nilai-nilai akhlak individu Muslim.
 
Ustaz Jamali Mohd. Adnan, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah menyatakan bahawa objektif program ini antaranya meningkatkan kefahaman Islam kepada golongan elit seperti mahasiswa dalam melahirkan mahasiswa Islam yang berilmu, berakhlak dan bertaqwa serta mampu menjadi Front Liner dakwah di Malaysia.
 
“Mahasiswa adalah golongan pemimpin masa hadapan (future leader) yang harus diberi bimbingan serta menyerlahkan potensi diri mereka untuk diangkat menjadi peminpin seterusnya bersedia membimbing masyarakat di luar kampus”, katanya.
 
Program yang diatur berkonsepkan gabungan modul indoor dan ourdoor. Para peserta diberi pengisian ilmu oleh 2 orang Imam Muda iaitu Imam Muda Fakhrul yang bertajuk Islam Is The Way of Life dan Imam Muda Hassan yang bertajuk Aku Terima Jalannya (Islam). Disamping itu, Ust Mohd Hariri Mohamad Daud dari bahagian Dakwah JAKIM turut menyampaikan pengisian berkaitan isu-isu aqidah dan remaja kepada para peserta.
 
Selain itu, para peserta mengikuti aktiviti outdoor yang melatih ketahanan fizikal dan mental disamping semangat berpasukan. Aktiviti obstacle, jungle tracking, night walk dan survival diri ternyata memberi kesan positif kepada pembinaan personaliti diri.
 
Brotherhood Muslim Camping 2012 telah dirasmikan oleh En MS Ramlee yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Malaya.