KOLEKSI KEMUSYKILAN AGAMA
  UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
 
Soalan:  
Jika seorang yang ingin berkahwin lebih dari satu hendaklah meminta kebenaran mahkamah.  Bagaimana sekiranya tidak melalui mahkamah, adakah sah nikahnya? 
Jawapan:  
Sah nikah sekiranya menyempurnakan syarat dan rukun nikah yang lima itu. 
 
Soalan: 
Adakah boleh berkahwin dengan seorang yang baru memeluk Islam dan belum tahu Fardhu Ain? 

Jawapan:  
Seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah dikatakan orang itu orang Islam walau pun tidak tahu Fardhu Ain dan boleh bernikah dengannya tetapi adalah lebih baik dinikahkan setelah dia tahu Fardhu Ain. 

Soalan: 
Seorang lelaki telah bercerai dengan isterinya, dan dia mahu memperisterikan saya. Bolehkah saya meminta lelaki tersebut berjanji supaya tidak merujuk kepada bekas isterinya? 

Jawapan:  
Harus dibuat janji tetapi janji itu tidak wajib ditunaikan. 

Soalan:  
Suami saya berkahwin dua tanpa pengetahuan saya. Adakah boleh saya minta cerai? 

Jawapan:  
Tidak harus minta cerai tetapi kalau tidak adil dalam giliran dan nafkah boleh diminta dan dituntut melalui mahkamah. 
 
Soalan  
Bagaimanakah hendak dihukum bagi seorang anak yang bukan Islam dijadikan anak angkat oleh orang Islam tetapi meninggal dunia sebelum ia baligh.  Adakah wajib ditanam kubur Islam juga 

Jawapan  
Menurut qaul (pendapat) yang muktamad tidak sah Islam kanak-kanak itu melainkan apabila ia dilatih sembahyang dan menunaikan fardhu-fardhu sehingga ia baligh.  Apabila ia telah baligh dan mengucap dua kalimah syahadah jadilah ia orang Islam dengan tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) antara ulama'.  Jika ia mati sebelum baligh menurut qaul (pendapat) yang muktamad tidaklah harus mayatnya itu disembahyangkan. Menurut al-Syeikh Ibn Hajar dalam kitab al-Tuhfah serta disokong oleh satu jamaah daripada ulama' mengatakan sah Islamnya sebelum baligh sesudah mumayyiz. Dalam masalah hendak mengkebumikannya di kubur orang-orang Islam adalah tidak boleh bahkan hendaklah diasingkan sedikit dari perkuburan orang Islam tetapi ulama' Muhaqqiqin dan Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "kalau anak-anak itu sampai umur sembilan tahun dan ia bersifat Islam maka boleh dimandikan, dikapankan,disembahyangkan dan dikebumikan dalam 
perkuburan orang-orang Islam". 
 
Soalan 
Apakah syarat-syarat menjadi adik beradik susuan? 

Jawapan  
Syaratnya hendaklah menyusukan sampai 3 kali kenyang tetapi untuk mengambil Ihtiat mengikut pendapat yang kuat ialah 5 kali menyusu hingga kenyang 
 
Soalan: 
Seorang isteri membuat laporan ke Pejabat Kadhi dengan tidak mengatakan bahawa ianya telah diceraikan oleh suami dan mengatakan bahawa suaminya tidak pulang dan tidak memberi nafkah kepadanya.  Adakah boleh ia membuat laporan yang tidak benar? 

Jawapan:  
Tidak harus dan kembali balik ke pejabat membetulkan laporan tersebut. 
 
Soalan: 
Saya ada mendengar dari percakapan orang katanya kalau dijatuhkan tiga talak serentak jatuh satu talak saja. Adakah benar? 

Jawapan: 
Tidak benar, talak tetap jatuh tiga 
 
Soalan:  
Adakah jatuh talak, jika suami menceraikan isteri dalam keadaan marah? 

Jawapan: 
Jatuh talak. 
 
Soalan:  
Bapa saya telah berlafaz cerai kepada ibu tiri saya lebih dari tiga kali tetapi dia masih bersekedudukan lagi dengan isterinya.  Derhakakah jika sekiranya saya membuat laporan ke Pejabat Kadhi? 

Jawapan:  
Tidak derhaka kerana tuan telah melaporkan perkara yang sebenar lebih-lebih lagi perkara yang  berkaitan dengan hukum syarak.  Seelok-eloknya tuan hendaklah memberi nasihat kepada mereka. 
 
Soalan:  
Selepas bernikah suami menghilangkan diri selama enam bulan dengan tidak memberi nafkah kepada isteri.  Adakah jatuh talak? 

Jawapan: 
Tidak jatuh talak walaupun lebih lama lagi masa menghilangkan diri kecuali ada bertaklik dalam masalah ini maka jatuh talak mengikut cara taklik.  Tetapi isteri boleh menuntut fasakh daripada pihak yang berwajib. 
 
Soalan:  
Suami saya tidak balik ke rumah, apabila kawan saya bertanya kepadanya, dia berkata "aku telah ceraikannya".  Adakah jatuh talak dengan perkataan itu? 

Jawapan:  
Jatuh talaknya kerana perkataan itu jelas menyatakan cerai. 
 
Soalan: 
Adakah boleh duduk dalam sebuah rumah selepas bercerai? 

Jawapan:  
Haram duduk satu rumah selepas bercerai maka suami hendaklah keluar dari rumah itu sehingga habis iddah bekas isterinya.  Kalau rumah itu hak suami, bekas isteri hendaklah keluar dari rumah itu setelah habis iddah. 
 
Soalan:  
Suami berkata" kepada isteri kalau kamu bayar 5 ribu kepada aku jatuh talak, isteri terus membayar.  Adakah jatuh talak? 

Jawapan:  
Jatub talak ba'in dan tidak boleh dirujuk semula. 
 
Soalan:  
Seorang lelaki berkata kepada isterinya.  "Aku berniat hendak cerai kamu setelah aku dapat tempat duduk." Adakah jatuh talak? 

Jawapan:  
Tidak jatuh talak. 
 
Soalan:  
Suami isteri Kristian.  Suami asalnya memang Kristian sedangkan isterinya baru masuk Kristian.  Apabila suami masuk Islam dan isteri tidak, adakah jatuh talak? 

Jawapan:  
Terfasakh nikahnya dengan sebab berlainan agama atau dengan sebab isteri tidak Islam bersamanya 
  
Soalan  
Apakah hukum suami yang bersumpah dengan nama Allah dan melafazkan cerai dengan sesuka hatinya? 

Jawapan  
Bersumpah dengan nama Allah tanpa sebab yang tertentu hukumnya berdosa kerana dia mempermainkan-mainkan nama Allah kecuali jika terlanjur lidahnya seperti banyak berlaku pada orang Arab khususnya pada zaman jahiliah dan permulaan Islam.  Lafaz cerai sesuka hati hukumnya jatuh talaq jika ianya dilafazkan terang. 
 
Soalan:  
Suami isteri Kristian.  Suami asalnya memang Kristian sedangkan isterinya baru masuk Kristian.  Apabila suami masuk Islam dan isteri tidak, adakah jatuh talak? 

Jawapan:  
Terfasakh nikahnya dengan sebab berlainan agama atau dengan sebab isteri tidak Islam bersamanya. 

Soalan: 
Apakah hukum suami yang bersumpah dengan nama Allah dan melafazkan cerai dengan sesuka hatinya? 

Jawapan: 
Bersumpah dengan nama Allah tanpa sebab yang tertentu hukumnya berdosa kerana dia mempermainkan-mainkan nama Allah kecuali jika terlanjur lidahnya seperti banyak berlaku pada orang Arab khususnya pada zaman jahiliah dan permulaan Islam.  Lafaz cerai sesuka hati hukumnya jatuh talaq jika ianya dilafazkan terang. 
  
Soalan: 
Apakah hukumnya suami menceraikan isterinya semasa mengandung dan setelah melahirkan anak isterinya itu berkahwin dengan lelaki lain? 

Jawapan: 
Hukumnya sah tetapi haram dan bekas isterinya itu harus berkahwin dengan lelaki lain kerana iddahnya habis dengan sebab melahirkan anak. 

Soalan  
Hukum suami melafazkan talaq secara terang dengan tiada niat 

Jawapan  
Hukumnya jatuh talaq kerana lafaz cerai tidak disyaratkan niat. 

Soalan  
Apakah yang dikatakan talaq 1,2, dan 3 
  
Jawapan  
Talaq 1 ialah melafazkan talaq dengan satu talaq. 
Talaq 2 ialah melafazkan dengan 2 talaq. 
Talaq 3 ialah melafazkan dengan 3 talaq atau lebih. 
 

Soalan:  
Seorang lelaki (suami) telah mentaklikkan isterinya begini, "kalau awak keluar dari rumah ini jatuh talak satu." Kemudian dia tarik balik takliknya, bagaimana hukumnya? 

Jawapan:  
Taklik tidak boleh dibatal. 
 
Soalan:  
Seorang perempuan berumur 19 tahun mati.  Bapa Melayu dan ibu Hindu asalnya, tidak pernah masuk Islam.  Di manakah hendak dikebumikan? 

Jawapan:  
Kalau anak itu tidak pernah mengucapkan dua kalimah syahadah maka dikuburkan di tempat Hindu.  Tidak boleh dikebumikan di kubur Islam. 
 
Soalan:  
Suami saya telah meninggal dunia dan meninggalkan tiga orang anak dan saya telah berkahwin lain.  Adakah suami baru saya ini boleh makan atau guna duit anak yatim yang ditinggalkan itu? 

Jawapan:  
Tidak boleh diambil atau makan duit anak yatim walaupun ibu kecuali termakan secara bersama seperti makan dari masakan bersama ataupun buah yang dibeli dan makan bersama dan seumpamanya. 
 
Soalan:  
Kami sudah kahwin 10 tahun dan belum mendapat anak. Adakah harus doktor mengambil air mani saya dan air mani isteri saya, dicampurkan di luar kemudian dimasuk balik ke dalam rahim isteri saya untuk tujuan mendapat anak. 

Jawapan:  
Harus dengan cara demikian dengan syarat: 
i) Perakuan oleh doktor pakar lslam dan mani yang dicampur itu adalah mani yang sah suami isteri (muhtaram). 
ii) Tidak ada cara lain untuk mendapatkan anak melainkan dengan cara cantuman luar rahim. 
 
Soalan  
Apakah hukum memelihara anak angkat yang bukan dari darah daging dan bagaimana dengan pandangan Islam? 
 
Jawapan  
Harus seseorang memelihara anak angkat yang bukan dari darah dagingnya. Cuma hendaklah diingat bahawasanya anak angkat itu hendaklah di binkan jika laki-laki dan dibintikan jika perempuan kepada ayahnya yang asal, jangan samasekali dibinkan dan dibintikan dengan bapa angkatnya. kerana itu menyalahi hukum syarak. Bagaimana sekali pun syarak tidak menggalakkan perbuatan mengambil anak angkat, kerana banyak perkara yang sukar mengawalnya umpamanya dalam masalah pergaulan di antara anak angkat dengan ibu angkat dan bapa angkat masalah menutup aurat, masalah harta pusaka dan lain-lain lagi.
 
 

 

  SISTEM MUAMALAH ISLAM
 
 
Soalan:  
Adakah boleh dijual dua barang yang sama dengan hanya berlainan dengan sebab hutang 
dan tunai? 

Jawapan:  
Boleh dengan syarat penjual dan pembeli sudah tahu harga keduanya belum aqad.  Semasa aqad 
dengan harga yang dipersetujui oleh kedua sebelum diaqad. 
 
Soalan: 
Adakah boleh buat pertukaran duit seperti duit Saudi dengan duit kita dengan cara 
berlebih kurang? 

Jawapan:  
Boleh kerana duit yang berlainan dan nilai yang berlainan. 
 
Soalan:  
Bahan-bahan perkakasan masjid yang diganti baru misalnya seperti pintu, tingkap, papan dinding dan lain-lain. Benda-benda ini masih boleh digunakan lagi. Bolehkah benda-benda ini dijual pada orang Islam atau digunakan selain dari kegunaan tempat-tempat ibadat? 
 
Jawapan :  
Jika sekiranya perkakas-perkakas masjid itu boleh digunakan pada masjid yang baru, maka hendaklah digunakan, jika tidak boleh digunakan pada masjid yang baru itu, maka terbiar begitu sahaja perkakas-perkakas itu hingga lapok dan binasa, maka bolehlah dijual dan wang itu hendaklah digunakan untuk membeli barang-barang yang dapat digunakan pada masjid yang baru itu, supaya orang-orang yang membuat wakaf atau khairat terus dapat mengecap pahala dari apa yang diwakafkan dan dikhairatkannya itu.