Pengertian
Wali Dan Tertibnya
Susunan
Wali
Wali
Mujbir
Perempuan
Janda
Perkahwinan
Bawah Umur
Adakah
Wali Fasik Sah Menjadi Wali?
Tiada
Persetujuan Antara Wali Yang Sedarjat
Wali
Hakim Atau Wali Raja
Sebab-Sebab
Menggunakan Wali Hakim
Pendahuluan
Perkahwinan adalah amanah Allah swt. Untuk menyempurnakan amanah Allah itu ia memerlukan lima rukun iaitu:
Wali bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Wali ini merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan. Dalil-dalil yang menunjukkan amat mustahaknya wali ialah:
Firman Allah swt:
“Janganlah kamu
menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah
terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf”
( Al-Baqarah : 232)
“Dan janganlah
kamu kahwinkan perempuan-perempuan kamu dengan lelaki musyrik (kafir) hingga
meereka beriman”.
( Al-Baqarah : 222)
Dari hadith Nabi saw:
“Dari Abi Musa r.a.
Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali”.
(Riwayat Al-Khamsah
dan An-Nasa’i)
Oleh kerana wali merupakan salah satu syarat sah nikah maka bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah:
Susunan
Wali
Susunan wali mengikut
tertib alah:
Dalam kes Ismail bin
Abdul Majid lawan Aris Fadilah dan Insun bt Abdul Majid (1990, Jld. V,
II, JH) di Mahkamah Syariah, Kuala Kangsar, Perak, Yang Arif Hakim Amran
bin Satar telah memutuskan perkahwinan yang diwalikan oleh wali ab’ad sedangkan
wali aqrab masih ada maka perkahwinan itu tidak sah.
(Wali Ab’ad : wali
yang jauh perhubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan wali).
(Wali Aqrab : Wali
yang paling dekat hubungannya dengan pengantin perempuan mengikut susunan
wali).
Fakta kesnya adalah
seperti berikut: Pengantin perempuan telah berkahwin dengan seorang pemuda
pada 6hb Mei, 1974 di Kampung Kandang Hilir, Kota Lama Kanan, Perak. Wali
yang bertindak kepada perempuan tersebut ialah saudara lelakinya kerana
bapa perempuan itu telah meninggal dunia. Pengantin perempuan itu sebenarnya
juga masih mempunyai datuk yang masih hidup dengan segar dan waras yang
tinggal di Bt. 8, Batu Laut, Kuala Langat, Selangor. Datuk itu tidak diberitahu
mengenai perkahwinan cucunya itu. Kes ini telah dibawa ke Mahkamah dan
telah diputuskan perkahwinan itu tidak sah atau batal dengan alasan:
Wali
Mujbir
Wali mujbir ertinya
wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan
yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih
dahulu. Menurut Mazhab Shafi’e, wali mujbir itu terdiri daripada bapa,
datuk dan seterusnya sampai ke atas. Manakala wali-wali lain seperti saudara
lelaki kandung sebapa, bapa saudara dan sebagainya bukan wali mujbir iaitu
tidak ada bidang kuasa memaksa perempuan berkahwin. Dalilnya ialah:
“Perempuan janda
lebih berhak pada dirinya daripada walinya dan perempuan perawan atau dara
dikahwinkan oleh bapanya”.
(Riwayat Darul-Qutni)
Hadith ini menunjukkan
bapa atau datuk mengahwinkan anak perempuan yang perawan tanpa meminta
izin anak perempuan itu terlebih dahulu adalah sah.
Dalam kes Syed Abdullah
Al-Shatiri lawan Syarifah Salmah (1959, Jld. I, II, JH), ketika menyampaikan
keputusan Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura, Yang Arif Hakim Ahmad
bin Ibrahim menyatakan, mengikut Mazhab Shafi’e, apabila seorang anak dara
dikahwinkan oleh bapanya tanpa minta izin anak dara itu terlebih dahulu,
maka adalah sah perkahwinan itu.
Fakta kes itu adalah
seperti berikut: Seorang bapa Syed Abdullah Al-Shatiri mengahwinkan
anak daranya Syarifah Salmah dengan Syed Idros bin Saggof Al-Jofri tanpa
izin anak dara itu. Bapa itu bertindak sebagai wali dan ia sendiri menikahkan
perkahwinan itu. Anak perempuan itu enggan menerima suami pilihan bapanya.
Anak perempuan itu membawa kes itu ke Mahkamah Syariah.
Mahkamah Syariah Singapura
telah mengeluarkan perintah bahawa perkahwinan itu tidak sah berdasarkan
hadith:
Pertama:
Rasululah saw bersabda:
“Janganlah kahwinkan
seseorang perempuan yang tidak anak dara (janda) sehingga kamu mendapat
kuasanya terhadap perkahwinnan itu dan janganlah kahwinkan seorang anak
dara sehingga dipinta izinnya”.
(Riwayat Al-Bukhari)
Kedua:
Rasulullah saw bersabda:
“Seseorang yang
bukan anak dara mempunyai hak yang lebih besar mengenai dirinya daripada
penjaganya. Persetujuan seorang anak dara haruslah dipinta berkenaan dengan
sesuatu mengenai dirinya dan diam membisu pada haknya itu adalah bererti
memberikan persetujuan”.
(Riwayat Muslim)
Bapa telah membuat rayuan
kepada Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura bahawa ia mengahwinkan
anak dara perempuannya tanpa izin perempuan itu atas bidang kuasanya sebagai
wali mujbir.
Menurut Ahmad Ibrahim
ketika menyampaikan keputusan Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura
itu menyatakan:
“Hadith-hadith yang
menjadi alasan Mahkamah Syariah Singapura itu sebenarnya dipertikaikan
oleh ulama mengenai makna “meminta izin anak dara” yang terdapat dalam
hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Menurut Imam
Malik, Imam Shafi’e, Imam Ahmad dan ulama-ulama dalam Mazhab Syafi’e seperti
Imam Nawawi, maksud “meminta izin anak dara” adalah sunat bagi wali mujbir
meminta izin terlebih dahulu daripada pengantin perempuan seperti mana
dengan maksud hadith yang dieriwayatkan oleh Darul-Qutni”.
Selanjutnya Ahmad Ibrahim
memetik pandangan Mazhab Syafi’e sepertimana yang terdapat dalam kitab
Minhaj Talibin, karangan Imam Nawawi:
“Seseorang bapa
boleh mengikut kehendaknya mengahwinkan anak perempuannya tanpa meminta
izinnya, tidak kira berapa umurnya dengan syarat anak itu masih anak dara.
Walau bagaimanapun adalah sunat berunding dengannya mengenai bakal suaminya
itu; dan izin rasminya ke atas perkahwinan itu adalah perlu jika dia telah
kehilangan daranya. Manakala seseorang bapa mengahwinkan anak perempuan
sewaktu anak itu masih di bawah umur, maka anak perempuan itu tidaklah
boleh diserahkan kepada suaminya sebelum dia mencapai umur akil baligh.
Jika berlaku kegagalan pada pihak bapanya, maka bapa kepada bapanya (datuknya
sebelah bapa) hendaklah menjalankan semua kuasanya. Kehilangan dara menghapuskan
hak mengahwinkan anak perempuan tanpa izinnya, dan tidaklah ada perbezaan
di dalam aspek ini bahawa kehilangan dara antara yang disebabkan oleh persetubuhan
yang halal dengan yang diakibatkan oleh persetubuhan haram. Sebaliknya
hak itu tetap tidak terjejas jika kehilangan itu berlaku tanpa persentuhan
badaniah, umpamanya akibat terjatuh ke atas tanah”.
Ketika menyampaikan keputusan Lembaga Rayuan itu juga Ahmad Ibrahim merujuk kepada buku “Mohamed Law Of Inheritance, Marriage And Right Of Women” oleh Syeikh Abdul Kadir bin Muhammad Al-Makkawi menyatakan : Seseorang bapa atau datuk mengahwinkan seorang anak dara tanpa persetujuan anak dara itu adalah sah dengan syarat:
Wali Mujbir atau wali-wali
yang lain tidak boleh mengahwinkan perempuan janda kecuali hendaklah mendapat
izin perempuan itu terlebih dahulu. Rasulullah saw telah bersabda:
“Dari Abu Hurairah
r.a. Rasulullah saw bersabda, “Perempuan janda diajak bermusyawarah tentang
urusan dirinya, kemudian jika ia diam, maka itulah izinnya, tetapi jika
ia menolak maka tiada paksa ke atasnya”.
(Riwayat Al-Khamsah
kecuali Ibnu Majah)
Dalam hadith yang lain,
Rasulullah saw telah menyatakan:
“Dari Khansa’ binti
Khadam, bahawasanya bapa Khansa’ telah mengahwinkan dia, sedang ia perempuan
janda, lalu ia tidak suka demikian itu. Kemudian ia datang kepada Rasulullah.
Lalu Rasulullah menolak perkahwinan itu”.
(Riwayat Al-Bukhari
dan Ahmad)
Ini bermakna perempuan janda mempunyai bidang kuasa menolak perkahwinan yang dibuat tanpa kebenarannya iaitu ia boleh menfasakhkan perkahwinan itu di Mahkamah Syariah.
Menurut Mazhab Empat
bahawa dalam Islam tidak ada larangan had umur untuk berkahwin. Ini bermakna
kanak-kanak kecil boleh berkahwin.
Daripada Siti Aisyah
r.a.,
“Bahawasanya Nabi
saw telah mengahwini Aisyah sedang ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal
bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun”..
(Riwayat Al-Bukhari
dan Muslim)
Hadith ini menunjukkan
bahawa dalam Islam tiada had umur larangan berkahwin. Walau bagaimanapun
menurut Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan
1984 menyatakan:
“Tiada sesuatu perkahwinan
boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu
berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang
daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya
secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.
Menurut Seksyen tersebut
perkahwinan kanak-kanak di bawah umur hendaklah terlebih dahulu mendapat
kelulusan dari Mahkamah Syariah. Peruntukan Seksyen tersebut bukanlah berlawanan
dengan pendapat Mazhab Empat. Sebenarnya kebenaran dari Mahkamah itu bertujuan
memberi peluang kepada Mahkamah untuk menyelidiki gadis itu dari segi latar
belakang, keadaan fizikal, kemampuan untuk berumahtangga dan menjaga kepentingan
kanak-kanak itu.
Adakah Wali Fasik
Sah Menjadi Wali?
Mengikut pendapat Mazhab Syafi’e dan Hambali, wali fasik tidak boleh atau tidak sah menjadi wali nikah. Ini berdasarkan sebuah hadith dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah saw bersabda,
“Tidak sah nikah
melainkan wali yang adil dan ada saksi yang adil”.
(Riwayat Ahmad)
Yang dimaksudkan dengan adil ialah seseorang itu berpegang kuat (istiqamah) kepada ajaran Islam, menunaikan kewajiban agama, mencegah dirinya melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, minum arak, menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan sebagainya serta berusaha tidak melakukan dosa-dosa kecil.
Wali bersifat adil disyaratkan kerana ia dianggap bertanggungjawab dari segi kehendak agama ketika membuat penilaian bakal suami bagi kepentingan dan maslahat perempuan yang hendak berkahwin itu. Manakala wali fasik pula, ia sendiri sudah tidak bertanggungjawab ke atas dirinya apatah lagi hendak bertanggungjawab kepada orang lain.
Untuk menentukan seseorang wali itu bersifat adil atau fasik adalah memadai dilihat dari segi zahir atau luaran sahaja ataupun memadai wali itu mastur iaitu kefasikannya tidak diketahui kerana untuk menilai kefasikan secara batin adalah susah. Walau bagaimanapun jikalau Sultan atau Raja itu fasik yang menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali maka kewalian itu tetap sah kerana kesahihannya diambilkira dari segi keperluan terhadap wali Raja.
Sebenarnya sebahagian
besar ulama-ulama Mutaakhirin dalam Mazhab Syafi’e seperti Imam Al-Ghazali,
pendapat pilihan Imam Nawawi dan sebagainya, telah mengeluarkan fatwa bahawa
sah wali fasik menjadi wali, selepas beristighfar.
Imam Al-Ghazali dalam
kitab Ihya’ Ulumuddin telah mengingatkan bahawa seseorang wali harus memerhati
dan meneliti kelakuan geraklaku calon suami, jangan sampai mengahwini saudara
perempuan dengan seorang lelaki yang buruk budi pekertinya atau lemah agamanya
ataupun yang tidak sekufu dengan kedudukannya. Sekiranya ia mengahwinkan
puterinya dengan seorang lelaki yang zalim atau fasik atau yang lemah agamanya
atau peminum arak, maka ia telah melanggar perintah agamanya dan ketika
itu ia akan terdedah kepada kemurkaan Allah swt, kerana ia telah mencuaikan
persoalan silaturrahim (perhubungan tali kerabat) dan telah memilih jalan
yang salah.
Selanjutnya Al-Ghazali menceritakan seorang ayah telah datang meminta nasihat kepada Al-Hasan, Katanya: “Telah banyak orang yang datang meminang puteriku, tetapi aku tidak tahu dengan siapa yang harusku kahwinkan dia”. Berkata Al-Hasan: “Kahwinkan puterimu itu dengan orang yang banyak taqwanya kepada Allah. Andaikata suaminya mencintainya kelak pasti ia akan dimuliakan. Tetapi jika suaminya membencinya maka tiada dianiayainya”.
Tiada Persetujuan Antara Wali Yang Sedarjat
Wali sedarjat ialah wali-wali yang mempunyai bidang kuasa yang setaraf atau sama. Misalnya bagi pengantin perempuan yang sudah tidak ada lagi bapa dan datuk, maka orang yang berhak menjadi wali mengikut tertib ialah saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan itu.
Persoalan yang timbul ialah saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan itu ramai. Siapa yang berhak menjadi wali?
Mengikut Islam kalau semua wali sedarjat itu bersependapat dan redha dengan bakal suami pilihan perempuan itu maka salah seorang boleh menjadi wali. Yang afdhalnya ialah terdiri daripada orang yang tahu hal-hal agama atau alim.
Satu isu lagi mengenai wali sedarjat ialah jika sebahagian wali sedarjat setuju bakal suami itu manakala sebahagian yang lain menentang bakal suami pilihan pengantin perempuan itu. Siapa berhak menjadi wali dalam kes seperti di atas?
Menurut Jumhur Fuqqaha (Mazhab Syafi’e, Maliki dan Hambali) jika perkahwinan itu dilakukan juga oleh wali sedarjat yang redha dengan bakal suami pilihan pengantin perempuan, maka wali sedarjat yang menentang itu berhak juga menfasakhkan perkahwinan di Mahkamah Syariah jika wali yang menentang itu ada alasan syarak.
Dalam kes tiada persefahaman antara wali-wali sedarjat ini, maka pengantin perempuan hendaklah membuat aduan di Mahkamah Syariah atas nama wali enggan di mana Mahkamah akan membuat keputusan yang adil.
Wali hakim ialah Sultan
atau Raja yang beragama Islam yang bertindak sebagai wali kepada pengantin
perempuan yang tidak mempunyai wali. Oleh kerana Sultan atau Raja ini sibuk
dengan tugas-tugas negara maka ia menyerahkannya kepada Kadhi-Kadhi atau
Pendaftar-Pendaftar Nikah untuk bertindak sebagai wali hakim.
Dalam Akta Undang-Undang
Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) Wali Hakim ditakrifkan
sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang DiPertuan Agong dalam hal Wilayah
Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu
negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari
nasab.
Sebab-Sebab Menggunakan Wali Hakim
Bagi pengantin perempuan
yang tidak mempunyai wali nasab seperti saudara baru di mana tidak ada
saudara-maranya yang memeluk Islam atau perempuan yang tidak mempunyai
wali langsung mengikut tertib wali atau anak luar nikah maka wali hakimlah
yang menjadi wali dalam perkahwinannya. Rasulullah saw bersabda:
“Sultanlah menjadi
wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali”.
(Riwayat Al-Khamsah)
Bagi pengantin perempuan yang tidak mempunyai wali maka wali hakimlah yang akan mengahwinkan pengantin perempuan itu.
Kedua: Anak Tidak Sah Taraf Atau Anak Angkat
Anak tidak sah taraf atau anak luar nikah ialah anak yang lahir atau terbentuk sebelum diadakan perkahwinan yang sah. Contohnya, jika sepasang lelaki dan perempuan bersekedudukan sama ada lama atau sekejap kemudian mengandung maka anak yang dikandung itu dianggap anak tidak sah taraf walaupun anak itu lahir dalam perkahwinan yang sah. Ini bermakna benih-benih kandungan yang terjadi sebelum kahwin dan dilahirkan dalam tempoh perkahwinan, maka anakitu tetap dianggap anak tidak sah taraf.
Oleh yang demikian, jika anak yang tidak sah taraf itu perempuan dan ia mahu berkahwin di kemudian hari, maka walinya ialah wali hakim. Begitu juga anak angkat. Jika anak angkat itu berasal dari anak tidak sah taraf, maka walinya adalah wali hakim kerana anak itu dianggap tidak mempunyai wali nasab.
Sekiranya anak angkat itu berasal dari bapa yang sah atau keluarga yang sah, maka walinya ialah berdasarkan susunan atau tertib wali yang ada, bukannya bapa angkat. Oleh itu para ibu bapa atau bapa angkat hendaklah berhati-hati tentang anak yang tidak sah taraf ini, jangan menyembunyikan keaaan sebenar.
Ketiga: Wali Yang Ada Tidak Cukup Syarat.
Dalam Islam, kalau wali aqrab tidak mempunyai cukup syarat untuk menjadi wali seperti gila, tidak sampai umur dan sebagainya maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali ab’ad mengikut tertib wali. Sekiranya satu-satunya wali yang ada itu juga tidak cukup syarat tidak ada lagi wali yang lain maka bidang kuasa wali itu berpindah kepada wali hakim.
Keempat: Wali Aqrab Menunaikan Haji Atau Umrah
Dalam kitab Minhaj Talibin
dalam bab Nikah menyatakan jika wali aqrab menunaikan haji atau umrah maka
hak walinya terlucut dan hak wali itu juga tidak berpindah kepada wali
ab’ad, tetapi hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
Demikian juga sekiranya
wali aqrab itu membuat wakalah wali sebelum membuat haji atau umrah atau
semasa ihram maka wakalah wali itu tidak sah. Rasulullah saw bersabda:
“Orang yang ihram
haji atau umrah tidak boleh mengahwinkan orang dan juga tidak boleh berkahwin”.
(Riwayat Muslim)
Oleh yang demikian,
jika seseorang perempuan yang hendak berkahwin, hendaklah menunggu sehingga
wali itu pulang dari Mekah atau dengan menggunakan wali hakim.
Para Fuqaha sependapat
bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya,
tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan
itu memenuhi kehendak syarak.
Diriwayatkan dari Ma’qil
bin Yasar, ia berkata: “Saya mempunyai saudara perempuan . Ia dipinang
ole seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan
perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak
yang boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis eddahnya. Tidak
berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya
jawab:”Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya”.
Peristiwa ini disampaikan kepda Nabi saw. Berhubung dengan peristiwa ini,
Allah swt menurunkan ayat Al-Quran :
“Apabila kamu
mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa eddahnya, maka janganlah kamu
(para wali) menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya”.
(Al-Baqarah : 232)
Kemudian Ma’qil
berkata: “Kemudian saya membayar kifarah sumpah dan perempuan itu saya
kahwinkan dengan lelaki berkenaan”.
(Riwayat Al-Bukhari
dan Abu Daud)
Dalam sebuah hadith
yang lain dinyatakan:
“Ada tiga perkara
yang tidak boleh ditanggungkan iaitu: solat bila telah datang waktunya,
jenazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya”.
(Riwayat At-Tirmizi
dan Hakim)
Oleh yang demikian,
perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan
syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita
itu.
Menurut Jumhur Fuqaha
(Syafi’e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin
perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya. Rasulullah saw bersabda:
“Kalau wali-wali
itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak
mempunyai wali”.
(Riwayat Abu Daud dan
At-Tirmizi)
Dalam kes Azizah bte
Mat lawan Mat bin Salleh (1976, Jld. II, I JH) mengenai wali enggan di
Mahkamah Kadhi Perlis, Yang Arif Kadhi Mahmood bin Lebai Man (pada masa
itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk
berkahwin dengan Mansor bin Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak
ditetapkan.
Fakta kes itu adalah
seperti berikut: Seorang perempuan telah menuntut di Mahkamah Kadhi supaya
ia dikahwinkan dengan Mansor bin Isa secara wali hakim kerana bapanya enggan
mewalikannya dalam perkahwinan itu dengan mas kahwin sebanyak RM80.00 dan
hantaran RM202.00 tunai.
Pihak bakal suami telah
mencuba beberapa kali untuk meminang perempuan tetapi dihalang oleh bapa
dengan alasan “Tunggulah dulu sehingga anak perempuannya mendapat pekerjaan”.
Bakal suami itu bekerja sebagai Pembantu Audit.
Kadhi ketika memutuskan
kes itu menyatakan :
“Berdasarkan kepada
hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewalikan nikah anaknya
kerana enggan atau berselisihfaham, maka bolehlah dinikahkan perempuan
itu dengan wali hakim atau wali Raja dengan alasan:
Pertama: Daripada Aisyah r.a. Nabi saw bersabda:
“Jika mereka berselisih
, maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali”.
(Riwayat Abu Daud,
Ahmad dan At-Tirmizi)
Kedua: Rasulullah saw bersabda:
“Kalau datang kepadamu
lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak
melakukannya nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar”.
(Riwayat At-Tirmizi)
Ini bermakna wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.
Sering timbul dalam masyarakat kita, wali aqrab kepada pengantin perempuan berada jauh atau ghaib. Ini menimbulkan masalah kepada pengantin perempuan iaitu siapa yang berhak menjadi wali?.
Mengikut Mazhab Syafi’e, kalau wali aqrab ghaib atau berada jauh dan tiada walinya maka yang menjadi wali ialah wali hakim di negerinya, bukan wali ab’ad. Ini berdasarkan wali yang ghaib atau berada jauh itu pada prinsipnya tetap berhak menjadi wali tetapi kerana sukar melaksanakan perwaliannya, maka haknya diganti oleh wali hakim.
Persoalan yang tmbul ialah apakah ukuran yang dikatakan jauh itu? Menurut Mazhab Syafi’e, ukuran jauh itu ialah dua marhalah yang mengharuskan sembahyang qasar iaitu perjalanan unta sehari semalam di padang pasir. Berdasarkan halangan dan kesukaran perjalanan itulah maka wali hakim mengambil alih tugas wali aqrab yang berada jauh itu.
Mengikut ukuran sekarang, dua marhalah itu adalah sejauh 91 km. Kalau pada masa dahulu perjalanan dua marhalah ialah sejauh satu hari satu malam perjalanan unta, maka pada masa sekarang perjalanan dua marhalah itu hanya boleh sampai dalam tempoh beberapa jam sahaja, bahkan jarak perjalanan di antara benua dan lautan seolah-olah seperti dalam satu daerah sahaja.
Oleh sebab itu, ulama sekarang berpendapat bila wali aqrab berada jauh atau ghaib meskipun tempat tinggalnya di Eropah atau Amerika, hendaklah wali aqrab itu dihubungi melalui surat supaya ia mewakilkan hak kewaliannya kepada orang lain untuk mengahwinkan pengantin perempuan atau menunggu kepulangannya (jika ia mahu pulang segera) kerana perhubungan sekarang amat mudah dan cepat.
Sekiranya wali aqrab itu ghaib atau berada jauh dan tiadak diketahui langsung alamatnya maka barulah hak kewalian itu berpindah kepada wali hakim.
Dalam kes Hashim bin Mat Isa lawan Fatimah bte Ahmad (1977, Jld. III, I JH), Yang Arif Kadhi Besar Kedah, Syeikh Ismail bin Hj. Omar (pada masa itu) memutuskan perkahwinan kahwin lari yang dibuat di Pekan Siam, Padang Besar, Thailand itu tidak sah.
Fakta kesnya adalah
seperti berikut: Kedua-dua pasangan itu warganegara Malaysia. Pengantin
perempuan tinggal bersama bapanya (wali) di Batu 5, Jalan Sanglang, Kedah.
Pengantin perempuan dan pasangannya telah berkahwin lari di Kampung Pekan
Siam, Padang Besar, Thailand. Sekembalinya ke Kedah pasangan itu mahu mendaftarkan
parkahwinannya. Permohonan itu dibuat di Mahkamah Syariah Alor Setar, Kedah.
Ketika menyampaikan keputusan permohonan pendaftaran perkahwiann itu, Yang
Arif Kadhi Besar memutuskan:
“Perkahwinan pasangan
itu tidak sah pada hukum syarak keranan jarak di antara tempat wali berada
pada masa itu dengan tempat akad nikah yang dibuat di Kampung Pekan Siam
itu tidak sampai dua marhalah dan perempuan itu diperintahkna supaya bereddah”.
Sebagai pengajaran
dari keputusan Mahkamah itu, maka adalah mustahak mana-mana perkahwiann
yang hendak dibuat di luar kariah, daerah dan negeri hendaklah terlebih
dahulu merujuk kepada Pejabat kadhi yang berdekatan dengan tempat tinggal.
Wakalah Wali (Wali Mewakilkan Kepada Orang Lain)
Dalam Islam, terdapat
satu prinsip Undang-Undang Islam yang menyatakan:
“Tiap-tiap sesuatu
yang boleh seseorang melaksanakan dengan sendirinya, bolehlah ia mewakilkan
sesuatu itu kepada orang lain”.
Menurut prinsip tersebut, telah sepakat Fuqaha bahawa setiap akad yang dapat dilakukan oleh seseorang yang mempunyai bidang kuasa, maka akad itu boleh juga ia mewakilkan kepada orang lain misalnya dalam akad nikah, jualbeli, cerai, sewa menyewa, tuntutan hak dan akad yang lain.
Dalam hal akad nikah ini, apabila seseorang wali aqrab itu berada jauh, tidak dapat hadir pada majlis akad nikah atau wali itu boleh hadir tetapi ia tidak mampu untuk menjalankan akad nikah itu, maka wali itu bolehlah mewakilkan kepada orang lain yang mempunyai kelayakan syar’ie.
Begitu juga bagi bakal suami. Kalau ia tidak dapat hadir pada majlis akad nikah kerana ia sedang belajar di luar negeri, maka ia bolehlah mewakilkan kepada orang lain yang mempunyai kelayakan syar’ie bagi menerima ijab (menjawab) nikah itu. Walau bagaimanapun bagi perempuan (bakal isteri) ia tidak ada bidang kuasa mewakilkan kepada orang lain untuk megahwinkannya kerana haknya ada di tangan walinya.
Menurut Jumhur Fuqaha, syarat-syarat sah orang yang boleh menjadi wakil wali ialah:
Wakil wajib melaksanakan
wakalah menurut apa yang telah ditentukan oleh orang yang memberi wakil.
Misalnya seorang berwakil kepadanya untuk mengahwinkan perempuan itu dengan
si A, maka wajiblah kahwinkan perempuan itu dengan si A.
Kalau wakil itu mengahwinkan
peempuan itu dengan si B, maka perkahwinan itu tidak sah.
Mengikut amalan di
Malaysia, selalunya wakalah wali dibuat di hadapan Kadhi atau Pendaftar
Perkahwinan dengan disaksikan oleh dua orang saksi.
Sebelum melakukan walkalah
wali, adalah mustahak wali itu mengkaji latar belakang orang yang hendak
menereima wakil itu.
Penutup
Demikianlah bidang kuasa
wali adalah amat penting dalam perkahwinan kerana ia menentukan sah atau
tidak sesuatu perkahwinan. Oleh itu, setiap ibu bapa dan pengantin perempuan
sebelum melakukan sesuatu perkahwinan hendaklah meyemak dahulu siapa yang
berhak menjadi wali mengikut tertib dan susunan wali. Sekiranya para ibu
bapa dan penjaga tidak mengetahui tentang wali maka hendaklah merujuk kepada
mana-mana Pejabat Kadhi, Imam atau orang alim untuk mendapat penjelasan.