CALON GURU KAFA DIUJI

6 - 7 April 2011, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah telah mengadakan sesi temuduga pengambilan Guru Kelas al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) bagi tahun 2011 yang berpusat di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Jalan UMS, Kota Kinabalu. Sesi temuduga ini meliputi Bahagian Pantai Barat Selatan yang terdiri daripada daerah Kota Kinabalu, Penampang, Menggatal, Papar, Tuaran dan Tamparuli . Seramai 230 orang calon telah menduduki ujian bertulis dan sesi temuduga bagi mengenal pasti kelayakan untuk dilantik sebagai guru KAFA di daerah masing-masing.

 Selain daripada itu, JAKIM Cawangan Sabah turut mengadakan sesi temuduga di 6 lokasi lain termasuk Bahagian Pedalaman Atas, Bahagian Kudat ,Bahagian Sandakan dan Tawau. Sesi temuduga yang berlanjutan sehingga 2 minggu ini menapis 871 orang calon yang memenuhi syarat kelayakan untuk menghadiri sesi temuduga sebelum dilantik ke jawatan guru KAFA . Sesi temuduga kali ini yang dibuat secara lisan dan bertulis melibatkan seramai 24 orang panel penemuduga yang terdiri daripada pegawai JAKIM dan 8 orang urus setia dari Unit KAFA Ibu Pejabat JAKIM Kota Kinabalu.

 Sesi ujian dan temuduga ini adalah merupakan syarat bagi melantik guru KAFA selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan KAFA yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Keupayaan dan kemampuan guru yang akan dilantik bukan sahaja mengukur kepada pencapaian akademik tetapi turut mengambil kira keupayaan syakhsiah diri dan ketrampilan berkomunikasi serta penguasaan Al-Quran secara komprehensif. Usaha peningkatan kualiti pendidikan Islam menerusi kelas KAFA akan terus dipelihara dengan menampilkan bakal pendidik yang lebih berkualiti untuk mendidik anak-anak masyarakat Islam di negeri ini. 

Menunggu giliran bagi sesi temuduga.

Sesi temuduga di PLD Keningau.

Sesi temuduga di Kota Kinabalu.

Sesi ujian bertulis di Kota Kinabalu.

Sesi ujian bertulis di PLD Kudat.

Urusetia sesi temuduga.