Latar Belakang

 

Sejarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sarawak bermula dengan pengujudan sebuah Unit Latihan dan Dakwah (INDAH) di bawah Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Sarawak pada 11 September 1978. Unit berkenaan dipelopori oleh empat orang pegawai iaitu tiga pegawai INDAH Tuan Haji Wan Razab bin Wan Embong (selaku Ketua Penolong Pengarah, turut bertanggungjawab mengetuai Unit INDAH, Sabah), Encik Alwi bin Jusoh dan Tuan Haji Isa bin Ismail dan seorang Pegawai Penyelidikan Islam (PPI) yang menjalankan tugas-tugas penyelidikan, Encik Husin bin Ahmad ditempatkan di Bangunan Majlis Islam Sarawak, Kuching.

Pada tahun 1984, berikutan dengan penyusunan semula Bahagian Agama JPM, jawatan ketua INDAH di Sarawak telah dinaikkan tarafnya. Pentadbiran Unit INDAH Sarawak dan Sabah dipisahkan dan masing-masing mempunyai pentadbirannya sendiri serta dikenali sebagai Unit Dakwah Sarawak dan Sabah. Berikutan dengan itu jumlah pegawai dan kakitangan turut bertambah dan aktiviti Dakwah di Sarawak diperkembangkan dengan penubuhan tiga unit iaitu Unit Sibu merangkumi Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit sementara Unit Miri merangkumi Bahagian Miri serta Bintulu dan Unit Lawas merangkumi Bahagian Limbang.

Pada tahun 1987, Bahagian Agama, JPM ditukar kepada Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), JPM. Bermula pada 1 Januari 1997, BAHEIS Cawangan Sarawak telah dinaikkan taraf menjadi JAKIM, Cawangan Sarawak seiring dengan kenaikan taraf BAHEIS, JPM kepada JAKIM.

 

Pejabat JAKIM Cawangan Sarawak dulu hingga sekarang

 

 

Pejabat Terawal, Bangunan Majlis Islam Sarawak (1978-1984 )

 

Pada peringkat permulaaan pegawai INDAH dan pegawai Pusat Penyelidikan Islam telah ditempatkan di Bangunan Majlis Islam, Jalan Haji Kassim, Kuching dari tahun 1978-1984.

 

Pejabat Kedua Tingkat 4, Bangunan Mahkamah Syariah (1984-2002 )

 

 

Pejabat Ketiga, Tingkat Bawah Bangunan Mahkamah Syariah (2002-2004)

 

Setelah itu berpindah pula ke Tingkat 4, Bangunan Mahkamah Syariah, Jalan Satok Kuching dari tahun 1984 hingga 2002. Kemudian dari tahun 2002 hingga 2004 JAKIM Cawangan Sarawak beroperasi di Tingkat Bawah Bangunan Mahkamah Syariah, Jalan Satok Kuching.

 

 

 

Pejabat Keempat, Bangunan Tabung Zakat dan Fitrah (2004-Mei 2006)

 

Bagi menjamin keselesaan semua pegawai dan kakitangan, JAKIM Cawangan Sarawak berpindah pula ke Bangunan Tabung Zakat dan Fitrah, Jalan Haji Taha, Kuching dari 2004 hingga Mei 2006.

 

 

Pejabat Kelima, Bangunan Baitulmal (Rumah Orang Ulu) (Jun 2006-April 2008)

 

Namun disebabkan kemajuan pesat Bandaraya Kuching, Bangunan Tabung Zakat dan Fitrah akan dirobohkan dan JAKIM Cawangan Sarawak berpindah pula ke Bangunan Baitulmal (Rumah Orang Ulu), Lot 127, Seksyen 8, Jalan Satok, Kuching dari Jun 2006 hingga April 2008.

 

Pejabat Keenam, Bangunan Baitulmal (Mechunma), (Mei 2008 sehingga sekarang)

 

JAKIM Cawangan Sarawak sekali lagi perlu berpindah kerana Kerajaan Negeri melalui Tabung Baitulmal Sarawak merancang untuk membina Kompleks Islam Sarawak setinggi 17 tingkat di kawasan pejabat sedia ada dan pada Mei 2008 hingga sekarang pejabat JAKIM Cawangan Sarawak adalah di Bangunan Baitulmal (Mechunma) Lot 146, Seksyen 8, Jalan Haji Taha, Kuching.

Walaupun pejabat JAKIM Cawangan Sarawak kerap berpindah tempat namun pada hakikatnya kedudukannya masih strategik dan berhampiran dengan agensi Islam Negeri. Ini menunjukkan bahawa hubungan antara JAKIM Cawangan Sarawak dan agensi Islam negeri amat erat dan kukuh.

Peranan dan Fungsi JAKIM Cawangan Sarawak

JAKIM Cawangan Sarawak dari tahun 1978 sehingga kini banyak membantu agensi agama Islam negeri seperti Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dalam dalam meningkatkan syiar Islam dan dakwah di Bumi Kenyalang. Selain daripada itu, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’S) seperti Harakah Islamiah (HIKMAH), Urusetia Saudara Kita (USK) dan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Sarawak turut bekerjasama dengan JAKIM Cawangan Sarawak dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.

Secara umumnya sehingga sekarang, JAKIM Cawangan Sarawak dibahagikan kepada lima unit utama; iaitu Pengurusan dan Keurusetiaan, Dakwah, Penyelidikan, Pusat Latihan Sarawak dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak.

Setiap bahagian memainkan peranan yang cukup besar dalam memperkembangkan syiar Islam dan dakwah. Unit Pengurusan dan Keurusetiaan di samping menjalankan tugas-tugas pentadbiran, perkhidmatan, kewangan dan pembangunan, ia juga turut mengadakan dan menganjurkan program Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam (PIPA) berbentuk ceramah dan seminar penjawat awam agensi negeri serta persekutuan di Sarawak. Begitu juga forum ehwal Islam untuk masyarakat awam.

Manakala Unit Dakwah pula lebih menumpukan program dakwah kepada masyarakat awam dan saudara kita di sebelas bahagian Sarawak. Oleh kerana itu, Unit Dakwah telah membahagikan operasinya kepada unit-unit kecil seperti Unit Kuching/ Samarahan, Unit Sri Aman/ Betong/ Sarikei, Unit Sibu/ Kapit/Mukah, Unit Miri/ Bintulu/ Limbang/ Lawas dan Unit Hadhari. Antara aktiviti utama yang yang sering dilaksanakan adalah seperti program ceramah agama, seminar, dakwah bil hal, sambutan hari kebesaran Islam dan kelas pengajian.

Sementara itu, Unit Penyelidikan melaksanakan pemantauan dan penyelidikan ajaran sesat, ancaman agama lain, isu-isu semasa dan pengawalan akidah serta bahan-bahan penerbitan yang terdapat di negeri Sarawak.

Di samping unit-unit tersebut di atas, JAKIM Cawangan Sarawak mempunyai dua pusat latihan iaitu Pusat Latihan Sarawak yang mengadakan kursus-kursus berkala dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak yang menjalankan program pengajian secara berbentuk diploma dan persijilan bagi kumpulan sasar yang telah ditentukan.

Cabaran Utama JAKIM Cawangan Sarawak

Dari segi cabaran, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani oleh JAKIM Cawangan Sarawak dalam membantu agensi Islam negeri, antaranya seperti berikut:

Hubungan antara agama di Sarawak yang perlu diperkukuhkan lagi supaya masyarakat bukan Islam memahami masyarakat Islam dengan sebaik mungkin.

Masalah kekangan perbelanjaan untuk membangunkan umat Islam melalui aktiviti-aktiviti keagamaan seperti penganjuran majlis tilawah al-Quran, kelas-kelas agama meliputi fardhu ain serta kifayah dan dakwah bil hal kepada golongan Saudara Kita.

Tahap pemahaman masyarakat terhadap Islam, ilmu serta kefahaman dan isu-isu agama yang turut ditangani oleh JAKIM Cawangan Sarawak dalam membantu agensi Islam negeri.

Selain itu, cabaran-cabaran lain seperti:

Keadaan geografi, keadaan muka bumi Sarawak yang mempunyai banyak sungai yang berliku-liku, jeram-jeram yang menyukarkan perjalanan pendakwah untuk menuju ke destinasi yang diingini.

Kebudayaan, masyarakat Sarawak mempunyai pelbagai etnik dan bangsa. Cabaran paling utama bagi seseorang pendakwah ialah beliau mestilah mempunyai kemahiran yang cukup tinggi dalam pelbagai bahasa etnik, loghat, adat resam dan tradisi kepercayaan

Cabaran Dakwah Terhadap Saudara Kita Di Sarawak

Antara cabaran dakwah terhadap golongan Saudara Kita bolehlah diungkapkan seperti berikut:

Dari segi penyampaian ilmu kepada golongan ini perlulah mempunyai metotologi yang paling berkesan. Mengukuhkan kelas-kelas fardu ain dan program hari-hari kebesaran Islam. Saudara Kita sentiasa memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari semasa ke semasa dan perlu tinggal bersama-sama mereka.

Saudara Kita juga perlu sentiasa diziarahi dan mengadakan aktiviti-aktiviti dakwah bil hal seperti acara sukaneka, pertandingan bercerita, pertandingan azan, pertandingan melukis dan pemberian barang-barang keperluan harian.

Haluan Masa Depan JAKIM Cawangan Sarawak

 Peranan utama JAKIM Cawangan Sarawak adalah membantu pihak berkuasa agama negeri. Sehubungan itu, hubungan kerjasama dengan agensi Islam di Sarawak khususnya dakwah Islamiah akan diperkukuhkan dari masa ke semasa.

Selain itu juga, pembentukan program-program bersepadu bagi membangun masyarakat Islam akan diperkasakan lagi supaya hasrat kerajaan untuk menjadikan modal insan sebagai agenda utama terlaksana.

Bagi mengeratkan semangat bekerja di kalangan warga agensi Islam, JAKIM Cawangan Sarawak akan sentiasa bekerjasama dan mematuhi kehendak pihak berkuasa agama negeri. Ini adalah melalui penyelarasan aktiviti antara agensi-agensi Islam di Sarawak yang diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak.

JAKIM Cawangan Sarawak juga akan sentiasa memikir mengenai kombinasi konsep latihan dakwah dan realiti sasaran dakwah (mad’u) di Sarawak. Ini adalah melahirkan keperluan latihan dakwah di negeri Sarawak yang mungkin unik berbanding dengan keperluan di tempat lain. Selain dari keperluan untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran asas berdakwah, keperluan latihan di Sarawak memerlukan penguasaan aspek kemahiran berkomunikasi silang budaya. Ia juga memerlukan ketabahan selain dari kesediaan pendakwah untuk hidup bersama dalam kelompok masyarakat yang mereka ingin seru.