Darul Quran Anjur Kursus Pemantapan Al-Quran Sempena Cuti Sekolah

Darul Quran JAKIM buat julung kalinya mengadakan Kursus Pemantapan dan Pengukuhan Bacaan Al-Quran sempena cuti persekolahan baru-baru ini.

<?xml:namespace prefix = o ns = "urn:schemas-microsoft-com:office:office" />

Menurut Pengarah Program, Ustaz Mat Lazim Hassan, kursus tersebut diadakan bagi meningkatkan mutu bacaan Al-Quran di kalangan remaja terutamanya pelajar-pelajar di peringkat menengah sekitar Hulu Selangor di samping dapat mengisi masa lapang pelajar dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Seramai 41 orang peserta peringkat menengah bawah telah mengikuti kursus tersebut yang diadakan pada 30 dan 31 Mei lalu manakala 53 orang peserta peringkat menengah atas telah mengikuti kursus dengan jayanya pada 5 dan 6 Jun 2006. Dalam kursus singkat ini, proses pengajaran dan pembelajaran disampaikan oleh para pensyarah Darul Quran sendiri di samping aktiviti bengkel yang dapat menarik minat para peserta.

Pihak pentadbiran Darul Quran telah mendapat maklumbalas daripada ibu bapa peserta yang memberikan reaksi positif terhadap program seumpama ini dan berharap ia dapat diteruskan di masa yang akan datang.

Pihak pentadbiran Darul Quran juga merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada para peserta dan ibu bapa yang memberi komitmen kepada program ini. Begitu juga kepada Unit Akademik dan Jabatan Pengajian Al-Quran yang berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik untuk manfaat masyarakat umum.