Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Kepentingan hubungan dua hala antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Malaysia dalam melaksanakan fungsi masing-masing terus dipupuk dalam suasana segar dan mesra serta rasa kebersamaan yang tulus antara satu sama lain. Ini terbukti menerusi kunjungan hormat Ketua Pengarah Jakim, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad pada 26 Januari 2018 lalu, yang disambut dengan penuh keikhlasan dan takzimnya oleh pihak tuan rumah.

Secara khususnya kerjasama antara Jakim dengan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Malaysia adalah melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diurussetiakan oleh Jakim dan Majlis Raja-Raja yang diurussetiakan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Malaysia. MKI yang ditubuhkan secara rasmi melalui perkenan dan restu Majlis Raja-Raja pada tanggal 1 Julai 1969, berperanan memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja, Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri, dalam perkara mengenai undang-undang Islam, pentadbiran Islam dan pendidikan agama Islam. Ia bagi tujuan menyelaras dan menggalakkan persamaan dalam tiga bidang tersebut, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan 7 MKI.

Justeru, bagi memastikan fungsi MKI sebagai sebuah badan tertinggi dalam menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia terus dapat dilaksanakan secara optimum tanpa menyentuh bidang kuasa negeri-negeri, tidak dapat tidak jalinan kerjasama antara Jakim dengan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Malaysia mesti terus dipatri kukuh. Pada sesi kunjung hormat ini, pelbagai perkara telah dibincangkan secara terperinci dalam suasana penuh ceria dan muhibah, termasuk mengenai persediaan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tahun 2018. Perbincangan bertambah menarik apabila YBhg. Tan Sri Syed Danial sudi berkongsi serba sedikit mengenai salasilah institusi beraja di Malaysia yang sejak sekian lama karar bersemayam di takhta istana dengan penuh kedaulatannya, dan menjadi payung kepada penyatuan sekalian rakyat jelata. Turut serta dalam sesi kunjung hormat yang diselaraskan oleh Bahagian Kemajuan Islam (BKI) ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin bin Ibrahim dan Pengarah BKI, Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff.

 

PEJ MRR 1

PEJ MRR 2