Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah mengadakan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Melaka pada 4 Mac 2018 bersamaan 16 Jamadilakhir 1439H bertempat di Grand BallroomMalacca International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh Melaka.

Penganjuran program ini amat signifikan dengan situasi dan keperluan semasa dalam usaha mendekati para murabbi ummah yang berada di seluruh negeri seterusnya menjadi platform terbaik untuk para murabbi ummah berkongsi dan berinteraksi serta mendapatkan informasi yang tepat mengenai isu-isu semasa yang berkait secara langsung dengan halehwal Islam di negara kita.

Pada tahun ini, program ini berjaya menghimpunkan seramai 1300 orang murabbi ummah yang terdiri daripada imam, bilal, noja, Guru KAFA, Guru Takmir, Penyelia KAFA, Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) dan ahli jawatankuasa masjid seluruh negeri Melaka.

Para peserta yang hadir turut diberi pendedahan berkenaan isu-isu semasa menerusi slot ceramah bertajuk Fiqh Ta’ayush Dalam Mendepani Kepelbagaian Fikrah yang disampaikan oleh Dr. Musyaddad bin Hasbullah dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Majlis Perasmian telah dimulai dengan ucapan aluan daripada YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Negeri Melaka disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ir. Ts. Hj. Idris bin Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka.

Majlis tersebut disusuli dengan penyampaian dua Mock Cheque olehYB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM21,032,400.00 kepada Kerajaan Negeri Melaka untuk membayar imbuhan imam, guru KAFA dan guru takmir bagi tahun 2018. Manakala sebanyak RM3,276,000.00 diperuntukkan bagi bayaran one-off tahun 2018 kepada imam, bilal, noja, guru KAFA dan guru takmir di Negeri Melaka.Majlis diteruskan dengan penyampaian bantuan one off kepada wakil imam, bilal, noja, pengurus jenazah wanita, guru takmir dan guru KAFA mengikut parlimen.

Ternyata Majlis pada hari ini turut memberi seribu makna kepada murabbi ummah apabila Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan pemberian insentif khas sebanyak RM250.00 kepada penggali kubur dan pembantunya yang membabitkan peruntukan sebanyak RM500,000.00. Pembayaran khas ini memanfaatkan 500 orang penggali kubur dan pembantu yang akan dilaksanakan menjelang Aidilfitri tahun ini. Bantuan khas ini sekaligus mengiktiraf mereka yang diumpamakan sebagai unsung heroes yang hakikatnya banyak menabur jasa dalam pengurusan hal ehwal Islam.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju menyediakan insentif tambahan dengan nilai sama (RM250) kepada lebih 1000 murabbi ummah termasuk imam, bilal, noja, guru takmir dan guru KAFA. Pemberian ini sebagai penghargaan terhadap usaha gigih yang telah ditunjukkan oleh mereka dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Datuk Wira Hj. Othman bin Muhammad, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Roslan bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YBhg. Tan Sri Datuk Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM dan Sahibus Samahah Datuk Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka.

 

MMU MELAKA 2018 1

MMU MELAKA 2018 2

MMU MELAKA 2018 3

MMU MELAKA 2018 4