Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
SEPANG – (RABU) 23 SEPTEMBER 2020
 
21-23 September 2020 melakar sejarah dengan pelaksanaan Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia yang bertempat di Sama-sama Hotel Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Multaqa ini diadakan sebagai satu wadah perbincangan dan percambahan minda dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Ia juga adalah bertujuan untuk memperkukuh kerjasama dan kesepakatan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri di negara ini.
 
Multaqa selama tiga hari ini dihidangkan dengan pembentangan dua kertas kerja oleh dua orang ilmuan yang tidak asing dalam institusi kefatwaaan. Kertas kerja bertajuk Tadbir Urus Institusi Kefatwaan Kontemporari telah dibentang oleh YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Haji Husin dan YBhg. Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman pula membentang kertas kerja bertajuk Peranan Jawatankuasa Fatwa dalam Menyelaraskan Fatwa antara Negeri.
 
Majlis Perasmian Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfur-Lah. Baginda Paduka Seri Sultan Perak sebelum itu telah menyempurnakan Titah Utama Diraja dengan tajuk Ke Arah Memartabatkan Institusi Fatwa. Besar harapan KDYMM Tuanku supaya institusi kefatwaan mempelbagai kaedah dan pendekatan dalam menangani cabaran dunia semasa demi menjamin institusi kefatwaan kekal dihormati sebagai sumber rujukan agama yang berwibawa. Baginda juga turut berharap supaya Ashabus Samahah Mufti dan alim ulama dapat membantu Raja Pemerintah menyempurnakan peranan dan amanah sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.
 
Multaqa selama 3 hari ini telah dihadiri oleh 120 orang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri dan Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).
 
Multaqa kali ini mencapai 10 resolusi, antaranya ialah:
 
1. Kerajaan hendaklah mewujudkan Pusat Penyelidikan Fatwa dan Kajian Hukum Kontemporari di peringkat pusat bagi menjadi platform rujukan di peringkat global. Pusat ini akan berfungsi sebagai pusat kecemerlangan (centre of excellent) dalam menjalankan kajian dan penyelidikan merangkumi semua bidang untuk kemaslahatan umat Islam di negara ini dan di peringkat antarabangsa.
 
MULTAQA JAWATANKUASA FATWA SELURUH MALAYSIA 1
 
MULTAQA JAWATANKUASA FATWA SELURUH MALAYSIA 2
 
MULTAQA JAWATANKUASA FATWA SELURUH MALAYSIA 3
 
MULTAQA JAWATANKUASA FATWA SELURUH MALAYSIA 4
 
MULTAQA JAWATANKUASA FATWA SELURUH MALAYSIA 5