Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Terdapat 4 jajahan di Kelantan yang mempunyai perkampungan Orang Asli iaitu Jajahan Kecil Lojing, Jajahan Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli. Kampung Orang Asli (KOA) Mendrod yang terletak lebih kurang 85 kilometer dari bandar Gua Musang merupakan salah sebuah perkampungan Orang Asli di Kelantan. KOA ini mempunyai seramai 388 orang penduduk dan 247 orang daripadanya beragama Islam.
 
Tanggal 15-17 April 2019, Bahagian Dakwah JAKIM dengan kerjasama Yayasan Taqwa MAIWP telah memilih KOA Mendrod sebagai lokasi program. Program yang dinamakan Ziarah dan Ramah Mesra Masyarakat Orang Asli Mendrod diadakan bertujuan mendekati masyarakat setempat dan menyantuni penduduk Islam dan bukan Islam. Objektif utama program adalah penekanan aspek dakwah bilhal dan penghayatan cara hidup Islam kepada masyarakat KOA tersebut.
 
Antara pengisian sepanjang 3 hari tersebut adalah ziarah mahabbah, gotong-royong membersihkan kawasan surau dan sekitarnya, gotong-royong memasak untuk “cak rayak”, pengenalan kepada kesenian Islam dan budaya Orang Asli , kem bestari solat, kem celik al-quran, bimbingan asas fardu ain dan ceramah umum khusus kepada masyarakat KOA Mendrod dan sekitarnya.
 
Menarik dalam program ini adalah pengislaman beramai-ramai masyarakat Orang Asli yang diadakan pada hari terakhir sebelum majlis perasmian penutup. Seramai 20 orang masyarakat Asli disyahadahkan pada hari tersebut.
 
Dianggarkan seramai 350 Orang Asli hadir memeriahkan majlis selama 3 hari tersebut. Majlis penutup dirasmikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang mewakili YB Menteri, iaitu Encik Adnan bin Abdul Rahman.
 
Menyantuni Masyarakat Orang Asli Mendrod 1
 
Menyantuni Masyarakat Orang Asli Mendrod 2
 
Menyantuni Masyarakat Orang Asli Mendrod 3
 
Menyantuni Masyarakat Orang Asli Mendrod 4
 
Menyantuni Masyarakat Orang Asli Mendrod 5
 
Menyantuni Masyarakat Orang Asli Mendrod 6
 
Menyantuni Masyarakat Orang Asli Mendrod 7