Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri telah menyempurnakan Sidang Media sempena 100 Hari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diadakan di Masjid Mahmoodiah, Presint 18 pada petang ini. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Tuan Haji Ahmad Marzuk bin Shaary, serta ketua-ketua agensi agama di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mengulas mengenai pencapaian 100 hari beliau, YB Menteri berkata, pihaknya sudah menggerakkan usaha kebajikan melalui #MusaadahCOVID19 bagi membantu masyarakat dalam memerangi pandemik di negara ini. Melalui #MusaadahCOVID19, pihak kementerian telah menyalurkan sumbangan kepada 10 kelompok sasar yang memerlukan bantuan dengan perbelanjaan RM196.3 juta sejak 18 Mac lalu, bermula dari Perlis hingga ke Sabah. Selain itu, sejumlah RM5.3 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program Pembiayaan Mikro iTekad yang bertujuan membantu memudahkan usahawan mikro B40 dan asnaf yang hilang punca pendapatan serta perniagaan yang terjejas akibat Covid-19.

YB Menteri juga menyatakan bahawa projek penghasilan kitab Tafsir al-Qur’an, Tafsir al-Bayan serta terjemahan hadith-hadith Kutub al-Sittah sedang berjalan dan akan dilancarkan selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan. Manakala mengenai kemudahan solat kepada umat Islam, pihak kementerian melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, JAWI telah bersiap sedia dengan Pelan Pengimarahan Masjid untuk menghidupkan kembali roh rumah ibadah secepat mungkin.

YB Menteri seterusnya memaklumkan bahawa satu program besar yang dinamakan program MYHaus bakal dilancarkan yang mana ianya bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan melalui dana wakaf bagi membolehkan kumpulan sasar mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa berbanding tempat kediaman terdahulu.

YB Menteri juga memaklumkan, selain penempatan pegawai Tabung Haji dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak kementerian juga akan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk penempatan pegawai SPRM bagi memastikan komitmen penuh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan seluruh agensi di bawahnya dengan mengutamakan integriti dan akauntabiliti dalam urustadbir Islam. Semua urustadbir di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi-agensi dibawahnya perlu telus dan profesional agar menepati konsep amanah dalam Islam.

Dalam majlis itu juga, turut diadakan upacara penyampaian Anugerah Khas Imam al-Ghazali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khusus bagi penjawat awam dalam agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang diterima oleh Ustazah Ruzaimah Binti Soriadi, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAWI, penyampaian bantuan kepada asnaf dan juga upacara simbolik menanam pokok dan mengecat dinding masjid sempena program gotong royong yang dijalankan di Masjid Mahmoodiah Presint 18, Putrajaya.

1

2

3

4

5

6

7

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)