Ruj. Kami : JAKIM/(2.00)/8/3 Jld. 4
Tarikh : 1 Jun 2010
 
jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
 
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
 
”SOLAT HAJAT UNTUK MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA”

 

1.                 Pertamanya, Pihak Jakim dan rakyat Malaysia seluruhnya merafa’kan kesyukuran kehadrat Ilahi atas keselamatan dan kepulangan 12 relawan rakyat Malaysia yang telah dibebaskan semalam. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas doa dan solat hajat yang telah diadakan oleh rakyat Malaysia dan atas inisiatif masjid dan surau Jabatan Agama Islam seluruh negeri.

2.                 Suka saya cadangkan agar umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia amnya dapat meneruskan solat hajat kepada relawan misi bantuan kemanusiaan antarabangsa yang masih berada dalam tawanan@tahanan regim Israel selamat dibebaskan serta penderitaan rakyat Gaza berakhir. Dalam masa yang sama marilah kita mendoakan kapat terakhir iaitu kapal utama tajaan Perdana Global Peace Organisation (PGPO), MV Rachel Corrie dapat meneruskan perjalanan mereka ke Gaza dalam mencapai misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin dengan jayanya.

3.                 Kita juga patut menghargai komitmen YB Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan pihak Wisma Putra yang telah melaksanakan arahan YAB Perdana Menteri dengan pantas. Ini termasuklah bantuan dari negara Jordan yang telah memudahkan misi membawa pulang relawan kita yang telah ditahan oleh regim Israel.

4.                 Sehubungan itu, bagi meneruskan doa sokongan moral rakyat Malaysia kepada saudara-saudara kita, saya menyeru sekali lagi agar seluruh umat Islam di Malaysia melalui seluruh masjid dan surau dapat sama-sama mengadakan Solat Hajat pada malam ini, 3 Jun 2010 serta selepas solat Jumaat pada 4 Jun 2010.

5.                 Oleh itu, sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat. Atas kerjasama dan keprihatinan pihak media dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

 

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Saya yang menurut perintah,

 

DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ