jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
YB MENTERI
DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
BERKENAAN
 
KONVENSYEN PONDOK PERINGKAT KEBANGSAAN 2019
_____________________________________________________________
 
1. Sejarah telah mencatatkan bahawa institusi pondok sebagai institusi pendidikan Islam tertua di rantau ini telah berjaya melahirkan begitu ramai tokoh dan para cendekiawan Islam. Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan dalam mendepani arus pemodenan, institusi pondok terus berkembang dan kekal relevan sebagai salah sebuah gedung ilmu Islam tersohor yang menawarkan secara inklusif pengajian ilmu turath dalam bidang usuluddin, syariah, sejarah Islam dan sebagainya.
 
2. Bagi tujuan memartabatkan pengajian pondok seiring dengan pendidikan arus perdana, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Pondok Peringkat Kebangsaan 2019 pada 28 Februari 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan. Konvensyen ini menghimpunkan para ulamak, tokoh-tokoh ilmuan dan pengusaha institusi pendidikan pondok dari seluruh negara.
 
3. Penganjuran konvensyen ini selari dengan fungsi LEPAI yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja, iaitu bagi memberi nasihat dan menyelaras pendidikan agama Islam, latihan perguruan dan menambah baik kualiti pendidikan di sekolah-sekolah agama negeri dan sekolah-sekolah agama rakyat termasuk institusi pondok di seluruh negara. Justeru itu, konvensyen pada hari ini merupakan salah satu inisiatif untuk mencapai hasrat Raja-Raja Melayu menerusi LEPAI.
4. Kerajaan menyedari wujudnya kecenderungan dan minat yang mendalam dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi pendidikan dalam aliran agama termasuk institusi pondok. Lantaran itu, pelbagai usaha telah diambil untuk melaksanakan pendidikan aliran agama yang lebih tersusun dan sistematik. Antaranya menerusi kaedah mengintegrasikan pendidikan tahfiz dan pondok dalam pendidikan arus perdana bagi membuka ruang dan peluang yang lebih yang luas ke arah memperkasa pendidikan Islam.
 
5. Seyogia itu, kesempatan yang ada ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pengusaha institusi pondok untuk memperkasa sistem pengajian masing-masing agar selari dengan keperluan dan realiti semasa. Ini kerana kesediaan untuk menerima arus perubahan perlu dilakukan secara bersepadu, merangkumi aspek pelaksanaan kurikulum yang seragam, menambah baik kaedah pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kemudahan prasarana dan mewujudkan persekitaran yang kondusif, termasuk dari aspek pengurusan institusi berkenaan yang mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.
 
6. Sejajar dengan pendekatan RAHMAH yang membawa nilai-nilai positif dengan maksud Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat, sebagaimana yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada hari ini, ia wajar diterap dan dibudayakan dalam sistem pendidikan pada hari ini. Inilah juga pendekatan Islam sebagai agama yang membawa rahmat bagi sekalian alam, yang membawa keamanan dan kemakmuran kepada masyarakat keseluruhannya, pentadbiran yang berasaskan Maqasid Syariah dan menampilkan model Malaysia yang praktikal dengan adat dan resam budaya setempat, tanpa meninggalkan asas-asas Islam. RAHMAH bertujuan untuk melahirkan pewaris negara yang bertanggungjawab, berdaya saing, berkualiti, mempunyai sifat patriotik dan berakhlak mulia.
 
7. Menyentuh dari aspek bantuan kewangan kepada institusi pendidikan Islam di bawah LEPAI, Kerajaan sentiasa memberi perhatian serius dan berusaha menaik taraf kemudahan infrastruktur institusi berkenaan. Pada tahun 2019, Kerajaan telah meluluskan peruntukan seperti berikut :-
 
i.  RM25 juta untuk penambahbaikan infrastruktur institusi pondok;
ii. RM50 juta untuk penambahbaikan infrastruktur institusi tahfiz;
iii. RM2.25 juta untuk insentif pendaftaran institusi tahfiz;
iv. RM4 juta untuk latihan keguruan; dan
v. RM5.55 juta untuk bantuan perkapita murid tahfiz.
 
8. Untuk makluman hadirin sekelian, pada hari ini juga turut diadakan penyampaian kepada enam (6) buah pondok di Negeri Selangor yang berjumlah berjumlah RM600,000.00. Ini membuktikan bahawa Kerajaan sentiasa menjaga institusi Islam di negara ini khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan insan sejajar dengan harapan YAB Perdana Menteri yang mahu ajaran Islam sebenar berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis yang soheh dapat diamalkan di negara ini.
 
9. Semoga menerusi penganjuran Konvensyen Pondok Peringkat Kebangsaan 2019 pada hari ini, hasrat memperkasa kurikulum dan tadbir urus sistem pengajian pondok agar selari dengan pendidikan arus perdana dapat dilaksanakan. Sebagai perancangan jangka panjang, LEPAI ke arah membangunkan sistem pengajian pondok moden model Malaysia yang diiktiraf sehingga ke persada antarabangsa.
 
10. Sehubungan itu, dipohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat liputan tentang Konvensyen Pondok Peringkat Kebangsaan 2019 ini.
 
Sekian, terima kasih.
 
YB DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
23 Jamadilakhir 1440H
28 Februari 2019M