Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 26 Julai 2018 - Persoalan berkaitan makanan halal termasuk isu agama adalah sensitif dan tidak boleh dipermainkan.  Malah umat Islam perlu membuat penelitian dan pertimbangan yang sewajarnya sebelum memakan sesuatu produk dan bukan sekadar untuk kenyang begitu sahaja.  Apa yang lebih penting untuk dipertimbangkan adakah ia halal di sisi syarak hingga seseorang terlepas daripada pertanggungjawaban pada hari kemudian.

Justeru itu, Kluster Ekonomi Islam dan Pengurusan Halal, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Pemahaman Syarak Berkaitan Halal di bawah Pelan Opearsi Latihan (POL) JAKIM kepada Pegawai Hal Ehwal Islam Gred 41-44.

Kursus ini bertujuan memberi penjelasan tentang asas-asas utama syariah dan fiqh berkaitan pemakanan halal menurut Islam, meningkatkan pengetahuan mengenai asas-asas penentuan halal dan haram dalam Islam serta mengenalpasti isu-isu semasa berkaitan halal dan haram dalam pemakanan.

Skop industri halal di Malaysia sangat luas sehingga merangkumi makanan, produk bukan makanan termasuk farmaseutikal, produk kesihatan, peralatan perubatan, kosmetik dan produk dandanan diri dan perkhidmatan termasuklah segala aktiviti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran, media cetak dan elektronik serta perjalanan dan pelancongan.  Kursus ini menampilkan penceramah berpengalaman dari Bahagian Hab Halal JAKIM, Johari bin Ab Latiff, Pensyarah Universiti Malaya, Dr. Sa'adan Man, Universiti Malaya dan Dr. Lokman Abd Rahman dari Bahagian Pengurusan Istinbat JAKIM.

Peserta juga telah dibawa melawat ke Malaysia Halal Analysis Centre, Bandar Enstek, Nilai bagi melihat dengan lebih dekat proses penyelidikan produk-produk halal di makmal tersebut.

Melalui kursus ini diharapkan agar skop halal dalam Islam dapat difahami dengan meluas merangkumi pelbagai cabang kehidupan manusia. Pemahaman umat Islam dalam soal halal dan haram tidak disempitkan kepada produk makanan sahaja, malah hendaklah diperluaskan kepada pelbagai perkara yang diperintahkan oleh syariat.

syarak halal1

syarak halal2

syarak halal3

syarak halal4