Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 14 Februari 2019 – Mengambil intipati daripada keputusan Persidangan Ketua-Ketua Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia pada September 2018 lalu, Institut Latihan Islam Malaysia telah mengambil inisiatif melaksanakan Kursus Bahasa Isyarat Asas bagi siri pertama pada tahun ini dengan memfokuskan kepada kumpulan pendakwah yang terdiri daripada pegawai hal ehwal Islam seluruh Malaysia.

Kursus yang diseliakan oleh Kluster Kepakaran Pengurusan Hal Ehwal Islam ini diadakan bagi mempersiapkan pegawai JAKIM menguasai bahasa tersebut demi membantu golongan OKU Pendengaran dalam urusan agama seharian lebih-lebih lagi melibatkan fardhu ain.

Kursus Bahasa Isyarat ini ditawarkan sebanyak 3 siri di mana pegawai yang menjalani kursus ini perlu mengikuti kesemua siri yang ditawarkan bagi melengkapkan modul pembelajaran yang diperkenalkan. Siri pertama telah dilaksanakan pada 11 hingga 14 Februari bagi mempelajari asas komunikasi bahasa Isyarat serta kaedah-kaedah berkomunikasi yang berkesan bagi memudahkan pendakwah memahami dan mendekati golongan pekak.

Satu cabaran baharu dinikmati oleh peserta kursus ini apabila belajar berisyarat secara langsung dan bersemuka dengan orang pekak sendiri iaitu Puan Sariah binti Ibrahim dan Encik Amin Zuhaili bin Mansor dari Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan dibantu oleh Fasilitator ILIM, Encik Mohamad Zaid bin Hamdan. Ini merupakan pengalaman yang pasti tidak akan mudah dilupakan.

Sepanjang penubuhan institut latihan ini, ILIM telah memperkenalkan kursus komunikasi tanpa suara sejak tahun 2009 dan keberkesanannya dilihat dengan penglibatan serta permintaan yang tinggi oleh pelbagai pihak saban tahun. Diharapkan dengan usaha ini ILIM mampu melahirkan pendakwah yang mampu membimbing golongan pekak mengenali Islam dengan lebih mendalam.

KomunikasiTanpaSuara2

KomunikasiTanpaSuara1

KomunikasiTanpaSuara3

KomunikasiTanpaSuara4