Kurator Berita : Unit Integriti

BANGI, 11 Oktober 2018- Bertemakan "Integriti Tonggak Kecemerlangan Tadbir Urus Organisasi”, Jakim sekali lagi dalam usaha memartabatkan budaya integriti dalam sistem tadbir urus telah menganjurkan Konvensyen Integriti dan Tadbir Urus Islam yang buat pertama kalinya diadakan bertempat di Dewan Datuk Mohd. Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi.

 

 

Konvensyen yang julung kali diadakan ini dianjurkan oleh Unit Integriti JAKIM dengan kerjasama ILIM telah dihadiri seramai lebih 300 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Majlis Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Mufti Negeri-negeri, agensi-agensi agama di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kementerian dan agensi kerajaan di sekitar Putrajaya.

 

Program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk usaha pembudayaan integriti dalam tadbir urus perkhidmatan hal ehwal Islam selain menggalakkan semangat bertanggungjawab untuk menegakkan prinsip integriti dan memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

 

Pengisian program ini dimulakan dengan Ucaptama oleh YBhg. Dato’ Shamsun Baharin bin Mohd. Jamil,Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), SPRM dengan tajuk “Integriti dan Tadbir Urus Dalam Perkhidmatan Awam di Malaysia”. Kemudiannya disusuli dengan slot pembentangan oleh YBhg. Prof Dr. Arfah Salleh dengan tajuk “Tadbir Urus Insan (Human Governance) : Cabaran Ke Arah Memperkasa Integriti dan Tadbir Urus Islam”. Konvensyen ini diakhiri dengan slot forum bertajuk “Integriti dan Kebolehpercayaan Penentu Tadbir Urus Cemerlang : Satu Perkongsian. Forum ini menampilkan tiga orang panel iaitu YBhg. Tan Sri Ahmad Phesal bin Haji Talib, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan YBrs. Tuan Zulkifli bin Abdullah, Timbalan Ketua Audit Negara, Jabatan Audit Negara.

 

Majlis perasmian konvensyen ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohamad Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Haji Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan), YBrs. Puan Hajah Hakimah binti Mohd. Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) dan YBhg. Dato’ Haji Makhzan bin Mahyuddin serta Pengarah-pengarah Bahagian di JAKIM.

 

Setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga penganjuran program ini akan menjadi satu lonjakan ke arah mempertingkatkan tadbir urus hal ehwal Islam yang berintegriti dan berkualiti tinggi.

KV1

Ucaptama yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Shamsun Baharin bin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pengarah Pencegahan SPRM

 

KV2

YBhg. Datuk Haji Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM , YBhg. Dato’ Haji Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan dan YBrs Puan Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Pengarah Dasar berdiri menyanyikan lagu Negaraku

 

KV3

YBhg. Datuk Ketua Pengarah menyampaikan ucapan perasmia

 

KV4

Para peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan yang hadir bagi menjayakan konvensyen ini.

 

KV5

 

KV6

Gandingan panel dalam sesi forum pada sebelah petang iaitu YBhg. Tan Sri Ahmad Phesal bin Haji Talib, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan YBrs. Tuan Zulkifli bin Abdullah, Timbalan Ketua Audit Negara, Jabatan Audit Negara.