Allah Melipatgandakan Pahala Bagi Orang Yang Berpuasa

Tarikh: 
Sep 05, 2008
Riwayat: 
(Al-Bukhari dan Muslim)
Kategori: 
Ibadah
Hadith: 

Rasulullah s.a.w. bersabda: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla Berfirman: Melainkan puasa, kerana ianya untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu¬Ě. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau Misk. (minyak wangi kasturi).

Huraian Hadith: 

1. Antara keistimewaan puasa ramadhan ialah Allah akan menggandakan pahala bagi orang-orang yang berpuasa melebihi dari amalan-amalan lain sehingga Allah sendiri yang akan menentukan kadar pahala itu di akhirat.
2. Puasa adalah merupakan ibadat yang paling hampir dengan Allah iaitu bagi mereka yang mengikhlaskan diri kepada Allah. Ini kerana puasa merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya.
3. Dua kegembiraan yang dikurniakan oleh Allah kepada hambanya yang berpuasa;
i) Gembira ketika berbuka puasa dengan hidangan yang lazat apatah lagi semasa perut sedang lapar dan dahaga.
ii) Gembira kerana akan dapat menemui dan melihat Allah di dalam syurga kelak. Dan inilah nikmat yang agung yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman.