Senarai Hadith

Bil Hadith Tarikh
221 Lelaki Pemimpin Rumah Tangga
Daripada  Sayidina Umar RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Tidak perlu ditanya (dipersoalkan) seseorang lelaki itu mengapa dia memukul isterinya.”
Apr 04, 2012
222 Ukuran Islam Seseorang
Daripada Abu Hurairah RA katanya sabda Rasulullah SAW, “Di antara (tanda-tanda) sebaik-baik Islam seseorang itu ialah meninggalkan apa yang tidak mendatangkan keuntungan kepada dirinya.”
Apr 03, 2012
223 Manusia yang Sebenar-benar Bijak
Daripada Abu Yaala Syaddad bin Aus RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Orang yang bijak itu ialah mereka yang mengambil berat tentang dirinya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang lemah itu ialah mereka yang menurutkan hawa nafsunya sedangkan dia bercita-cita untuk menjadi hamba Allah yang diredhai.”
Apr 02, 2012
224 Cemburu Allah Terhadap Manusia Yang Berbuat Perkara Haram

Daripada  Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah Taala cemburu (tidak suka) dan cemburu Allah Taala itu ialah terhadap orang yang akan mengerjakan apa yang diharamkan Allah ke atasnya.”

Mar 30, 2012
225 Elak Diri Memandang Remeh Perbuatan Dosa
Daripada Anas RA katanya, “Sesungguhnya kamu mengerjakan perbuatan yang pada pandangan kamu ia lebih halus daripada rambut pada hal kami pada zaman Rasulullah SAW mengira perbuatan itu di antara perkara-perkara yang mencelakakan  (dosa besar).”
Mar 29, 2012
226 Amal Baik Menghapus Dosa

Daripada Abu Dzar Jundub bin Janadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal RA, daripada  Rasulullah SAW, telah bersabda, “Bertaqwalah kamu kepada Allah bila dan di mana saja kamu berada, susulkanlah kejahatan dengan kebaikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan akhlak yang mulia.”

Mar 28, 2012
227 Puasa Menghindari Api Neraka
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun lamanya.
Mar 27, 2012
228 Khiyar Majlis
Daripada Abu Khalid Hakim bin Hizam RA (yang telah menganut Islam pada tahun pembukaan Makkah. Bapanya daripada golongan bangsawan Quraisy pada zaman jahiliah dan pada zaman Islam) katanya, bersabda Rasulullah SAW, “Penjual dan pembeli berhak memilih sama ada hendak meneruskan pembelian atau jualan atau tidak selagi mereka belum berpisah. Jika mereka bersikap benar dan jujur (dengan memberitahu jika ada keaiban atau kecacatan pada barang yang dijual dan harga) nescaya diberkati Allah tentang jual beli mereka. Tetapi jika didapati penipuan dan dusta maka hilanglah berkat jual beli mereka.”
Mar 25, 2012
229 Bercita-cita Syahid di Jalan Allah
Daripada Abu Sabit, ada orang yang memanggilnya Abu Said dan ada pula yang memanggilnya Abu al-Walid iaitu Sahal bin Hanif salah seorang yang menyertai perang Badar (bersama Rasulullah SAW), “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda, sesiapa yang memohon kepada Allah mati syahid dengan bersungguh-sungguh, nescaya Allah akan samakan tarafnya dengan orang yang mati syahid walaupun dia mati di tempat tidur.” 
Mar 24, 2012
230 Mentauhidkan Allah SWT
Daripada  Abu Sufian ya`ni Sahri ibni Harbin RA dalam ceritanya yang panjang lebar berhubung dengan kisah Hirqal (Raja Rom). Tanya Hirqal, “Apa yang diperintahkan kepada kamu (ya`ni Nabi SAW)?” Jawab Abu Sufian : Dia (ya`ni Nabi) berkata “Sembahlah Allah Yang Esa dan jangan menyekutukannya (Allah) dengan sesuatu apa pun. Tinggalkan semua ajaran nenek moyang kamu dan dia (Nabi) menyuruh kami bersembahyang, bercakap benar, memelihara diri daripada kemungkaran dan menghubungkan silatul rahim.”
Mar 23, 2012
231 Elakkan Syubhat
Daripada Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abu Talib RA katanya, “Aku hafaz daripada Rasulullah SAW katanya: “Tinggalkanlah perkara yang engkau ragui dan ambil perkara yang engkau tidak ragui kerana sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan dusta itu adalah keraguan.” 
Mar 22, 2012
232 Sifat Benar Membawa Ke Syurga
Daripada  Ibnu Mas`ud (Abdullah) RA daripada Nabi SAW bersabda, sesungguhnya kebenaran itu membawa kepada kebaikan (taat) dan kebaikan itu pula membawa ke syurga. Seseorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai orang yang bersifat benar. Dan bahawa kedustaan membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa ke neraka. Dan sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga ditulis (dihukum) di sisi Allah sebagai orang yang bersifat dusta.”
Mar 21, 2012
233 Perbuatan Mungkar Berleluasa Di Akhir Zaman
Daripada Ibnu Mas`ud RA bahawa  Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya akan berlaku (secara berleluasa) sepeninggalanku nanti sifat mementingkan diri dan perbuatan mungkar”. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah apakah pesananmu kepada kami”, Sabda Rasulullah SAW, “Tunaikan kewajipan kamu dan mintalah kepada Allah untuk mendapatkan hak kamu.”
Mar 20, 2012
234 Hidup Suatu Ujian
Daripada  Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW, “Malapetaka itu akan terus menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan, menimpa dirinya, anaknya ataupun hartanya sehingga dia menemui Allah Taala dalam keadaan bersih daripada segala kesalahan.”
Mar 19, 2012
235 Tegahan Marah
Daripada  Abu Hurairah RA, bahawa seseorang telah berkata kepada Nabi SAW, “Nasihatilah aku”, Lalu Nabi SAW bersabda, “Jangan marah”, maka berulang-ulang orang itu meminta dinasihati, jawab Nabi “Jangan marah.”
Mar 18, 2012
236 Ganjaran Menahan Marah
Daripada Muaz bin Anas RA bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang menahan kemarahannya sedangkan dia mampu bertindak menurut perasaan marahnya maka Allah akan menyerunya di hari kiamat di hadapan khalayak ramai (sebagai suatu penghormatan) sehingga Allah memberi pilihan kepadanya bidadari yang dia suka.”
Mar 17, 2012
237 Bacaan Taawuz Mereda Marah
Daripada Sulaiman bin Sard RA katanya, “Pada suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi SAW sedang dua orang lelaki sedang bermaki-makian di antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda”, “Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa marahnya jika dia kata (baca), “Auzubillahi minas syaitanir rajim (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam) hilanglah marahnya.” Maka mereka pun berkata kepada (orang yang merah mukanya) bahawasanya Nabi SAW bersabda : Berlindunglah dengan Allah daripada syaitan yang direjam. 
Mar 16, 2012
238 Bersabar dan Berdoa Menghadapi Penyakit
Daripada Ata’ bin Abu Rabah menerangkan bahawa Ibnu Abbas RA berkata, “Adakah engkau suka melihat seorang perempuan daripada ahli syurga?” Aku menjawab: Bahkan “Tunjukkanlah”. Ibnu Abbas RA berkata, itulah dia wanita yang hitam yang pada suatu hari telah datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata, “Ya Rasulullah, Aku berpenyakit gila babi hingga terbuka aurat. Doakanlah semoga Allah menyembuhkan penyakit aku”. Dijawab oleh Nabi SAW, “Jika mahu engkau hendaklah bersabar dan bagimu syurga, sebaliknya jika engkau mahu aku akan berdoa kepada Allah semoga dia menyembuhkan engkau”. Dijawab oleh wanita itu, “Aku akan bersabar. Jika begitu doakanlah kepada Allah supaya aku tidak terbuka aurat “. Rasulullah SAW lalu mendoakan untuknya sebagaimana dikehendakinya.
Mar 15, 2012
239 Menahan Marah Kekuatan Muslim Sejati
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah ukuran kekuatan seseorang itu dengan menewaskan lawan tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menahan hawa nafsunya ketika marah.”
Mar 14, 2012
240 Ujian Musibah Tanda Hamba Dikasihi Allah
Daripada Anas RA katanya, telah bersabda Rasulullah SAW, “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hambanya, disegerakan bagi hamba itu balasan sewaktu di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hambanya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya di hari kiamat. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah dan siapa yang tidak redha maka dia akan menerima kemurkaan Allah.”
Mar 13, 2012