Senarai Hadith
| Bil | Hadith | Tarikh |
|---|---|---|
| 241 |
Balasan Kesabaran
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Allah berfirman dalam hadis Qudsi yang bermaksud, “tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya di dunia, kemudian dia mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan (orang itu akan mendapat balasan) syurga.”
|
Mar 08, 2012 |
| 242 |
Kesabaran Ditakrif pada Insiden Pertama
Daripada Anas RA katanya, “Pada suatu hari Rasulullah melalui seorang wanita yang sedang menangis di tepi kubur lalu baginda bersabda : “Bertaqwalah kamu kepada Allah Azza wa Jalla dan bersabarlah.” Perempuan itu menjawab, “Pergilah, kerana engkau tidak menerima musibah sebagaimana yang aku alami sekarang.” Perempuan itu tidak mengetahui bahawa yang di hadapannya itu ialah Rasulullah SAW. Kemudian perempuan itu diberitahu bahawa lelaki itu ialah Rasulullah SAW lantas dia segera pergi ke rumah Rasulullah dan didapati tiada penjaga pintu di situ, lalu dia berkata (kepada Rasulullah SAW), “Sesungguhnya tadi aku tidak mengenali engkau wahai Rasulullah.” Maka Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya kesabaran itu hanyalah pada insiden (pertembungan) pertama.
|
Mar 07, 2012 |
| 243 |
Sabar Menghadapi Ujian Kesakitan Atau Kematian
Daripada Anas RA katanya, “Tatkala Nabi SAW sedang sakit tenat, Fatimah RA berkata, “Alangkah menderitanya ayahku.” (Di masa itu Nabi Muhammad SAW mendengar) lalu baginda bersabda, “Ayah tidak menempuh kesusahan lagi selepas hari ini.” Kemudian setelah wafat Rasulullah SAW Fatimah RA berkata, “Oh ayah” dia telah menyahut panggilan tuhannya, “Oh ayah! Syurga Firdauslah tempatnya”, “Oh ayah! Kepada Jibril kami khabarkan.” Apabila Rasulullah SAW telah dimakamkan Fatimah RA berkata, wahai Anas, adakah senang hati kamu menimbus tanah ke atas Rasulullah SAW?”
|
Mar 06, 2012 |
| 244 |
Solat Sunat Tahiyyatul masjid
Daripada Abu Qatadah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila salah seorang daripada kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia selesai sembahyang sunat (Tahiyyatul masjid) sebanyak dua rakaat”.
|
Mar 04, 2012 |
| 245 |
Lestarikan Kemerdekaan Dengan Perpaduan
Dari Amir bin Saad dari bapanya RA katanya: Pada suatu hari Rasululah SAW datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu'awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda. Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda: Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. |
Mar 03, 2012 |
| 246 |
Bohong Sunat
Dari Ummu Kalsum binti ˜Uqbah RA sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.." |
Mar 01, 2012 |
| 247 |
Orang Yang Mati Syahid
Daripada Abi Akwar Said bin Zaid Amru bin Nufel RA (beliau adalah salah seorang antara sepuluh orang yang disaksikan akan memasuki syurga) katanya,: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid." |
Feb 29, 2012 |
| 248 |
Jauhilah Perbuatan Aniaya
Daripada Ibn Mas’ud RA, sesungguhnya nabi SAW telah bersabda: “Tiada seorang yang dibunuh secara zalim melainkan dikenakan habuan daripada dosa pembunuhan orang itu ke atas Nabi Allah Adam yang pertama (Qabil) kerana beliaulah manusia pertama yang melakukan pembunuhan”. |
Feb 29, 2012 |
| 249 |
Ikan dan belalang bukan bangkai
Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Dihalalkan untuk kamu dua bangkai dan dua darah; Dua bangkai itu ialah ikan dan belalang dan dua darah itu ialah hati dan limpa." |
Feb 28, 2012 |
| 250 |
Bawang putih dan bau mulut
Abu Ayyub RA meriwayatkan katanya: Adalah Rasulullah SAW apabila baginda didatangkan makanan maka baginda memakan sebahagiannya dan yang lebihnya dikirim kepada ku. Pada suatu hari baginda mengirimkan kepada ku makanan yang lebih yang tidak pun dimakan sebahagiannya kerana padanya ada bawang putih. Saya bertanya kepada beliau: Apakah ia haram? Baginda bersabda: Tidak. Tetapi aku tidak menyukainya kerana baunya. Abu Ayyub berkata: Sesungguhnya saya tidak menyukai apa yang anda tidak menyukainya. |
Feb 27, 2012 |
| 251 |
Separuh pahala
Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila seorang wanita menafkahkan sebahagian dari hasil usaha suaminya tanpa izin suaminya maka bagi suaminya separuh pahala." |
Feb 26, 2012 |
| 252 |
Kebersihan dan kesucian dalam Islam
Dari Abu Malik Al-Asya’ari RA katanya : Rasulullah SAW bersabda “Bersuci membersihkan diri (zahir dan batin) adalah setengah daripada iman..” |
Feb 25, 2012 |
| 253 |
Bersyukur Sifat Orang Mukmin
Daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan RA katanya sabda Rasulullah SAW, “Sungguh menakjubkan urusan (pekerjaan) seorang Mukmin (yang sempurna imannya) semua yang berlaku ke atas dirinya adalah baik belaka. Ini tidak akan terjadi kecuali bagi seorang Mukmin iaitu jika beroleh kesenangan, dia bersyukur dan syukur itu lebih baik baginya dan jika dia ditimpakan kesusahan dia bersabar dan sabar itu lebih baik baginya.”
|
Feb 24, 2012 |
| 254 |
Kaya Jiwa Elakkan Diri Meminta-minta
Daripada Abu Said Saad bin Malik bin Sinan al-Khidri RA katanya, “Ada beberapa orang sahabat di kalangan Ansar telah meminta (sedekah) kepada Rasulullah SAW. (Ansar ialah penduduk asal Madinah yang menerima kedatangan Rasulullah dan membantunya.) Maka diberi oleh Rasulullah SAW. Kemudian mereka meminta lagi dan diberi lagi oleh Rasulullah SAW sehingga habis apa yang ada padanya.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Apa jua kebaikan yang ada di sisiku tidak akan kusembunyikan daripada kamu. Sesiapa yang hendak menjauhkan diri daripada kekejian (meminta-minta) dijauhkan Allah daripada kekejian itu, sesiapa yang inginkan kaya jiwanya dikayakan Allah dan sesiapa yang sabar menghadapi penderitaan diberi kesabaran oleh Allah. Dan tiada pernah seseorang itu diberi kurniaan yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.”
|
Feb 23, 2012 |
| 255 |
Terhapus Semua Dosa Apabila Memeluk Islam
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT suka kepada dua orang lelaki yang seorang telah membunuh yang lain. Kedua-duanya masuk syurga. Orang ini berperang di jalan Allah lalu dibunuh, kemudian yang membunuh itu bertaubat lalu dia memeluk Islam (dan pergi berperang) dan mati sebagai mati syahid.”
|
Feb 21, 2012 |
| 256 |
Ingat Mati Melemah Hawa Nafsu
Daripada Abdullah bin Abbas dan Anas bin Malik RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Andai kata seseorang anak Adam telah mempunyai satu lembah emas nescaya dia ingin pula hendak mempunyai dua lembah. Dia tidak akan puas dengan harta dunia sehingga akhir hayatnya (mulutnya dipenuhi tanah) dan Allah Taala menerima taubat hamba-Nya yang benar-benar bertaubat.” |
Feb 20, 2012 |
| 257 |
Peluang Bertaubat Terbuka Luas
Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Ash’ari RA, daripada Nabi SAW sabdanya : “Sesungguhnya Allah Taala membentangkan tangan-Nya (sebagai kemurahan-Nya menerima taubat) pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang telah melakukan dosa pada waktu siang, dan membentangkan tangannya (kemurahannya untuk menerima taubat) pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah terbitnya matahari dari sebelah barat.”
|
Feb 19, 2012 |
| 258 |
Allah Gembira Menerima Taubat Hamba
Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik al-Ansari RA – khadam Rasulullah SAW – menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah lebih gembira menerima taubat seorang hamba-Nya daripada kegembiraan seseorang yang dengan tidak disangka-sangkanya menemui kembali untanya yang telah hilang.”
Menurut riwayat Muslim, “Sesungguhnya Allah lebih gembira menerima taubat hamba-Nya ketika dia bertaubat kepada-Nya, daripada kegembiraan seseorang yang mengendarai binatang tunggangannya, kemudian binatang tunggangan itu hilang di padang yang luas, sedangkan di atas binatang itu bekalan makanan dan minumannya hingga dia rasa berputus asa daripada menemuinya kembali. Lalu dia berteduh di bawah sepohon kayu dengan perasaan putus asa daripada mendapatkannya kembali. Dalam keadaan itu, tiba-tiba muncul di sisinya binatang tunggangannya yang hilang tadi dan dengan segera dia memegang talinya seraya berkata dengan penuh gembira, “Ya Allah, Engkaulah hambaku dan aku tuhanmu,” dia tersalah sebut kerana terlalu gembira. (Sebenarnya apa yang hendak disebut ialah Engkaulah tuhanku dan aku hambamu).
|
Feb 18, 2012 |
| 259 |
Kelebihan Bersuci
Daripada Abu Malik al-Harith bin Asim RA katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: “Bersuci itu separuh daripada iman, ucapan alhamdulillah memenuhi neraca, subhanallah serta alhamdulillah keduanya memenuhi di antara langit dan bumi, sembahyang adalah cahaya, sedekah pula adalah bukti iman, sabar itu sebagai sinaran, al-Quran itu sebagai bukti untukmu (penolongmu jika dilaksanakan perintah-Nya) atau atasmu (membinasakanmu jika diabaikan perintah-Nya) dan setiap manusia berpagi-pagi menjual dirinya sama ada membebaskannya daripada azab atau membinasakannya (dengan maksiat).
|
Feb 17, 2012 |
| 260 |
Keutamaan Taubat
Daripada Abu Hurairah RA katanya : “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Demi Allah sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya di dalam sehari lebih daripada 70 kali.”
|
Feb 16, 2012 |







