Senarai Hadith

Bil Hadith Tarikh
1 Memberi Sedekah Kepada Yang Memerlukan
 
Daripada Abdullah bin Amru RA, bahawasanya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang terbaik dalam Islam?” Baginda bersabda, “Memberi makan makanan dan memberi salam kepada orang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenali”.
 
 
Apr 01, 2015
2 Contoh Pemimpin Yang Baik
 
Daripada  Aswad bin Yazid katanya, ditanyakan kepada Aisyah RA, “Apakah yang dilakukan oleh Nabi SAW dirumahnya?” Aisyah menjawab “Beliau membuat tugas keluarganya, iaitu membantu kerja keluarganya, lalu apabila masuk waktu sembahyang Baginda pun keluar untuk bersembahyang.”
 
 
Mar 31, 2015
3 Menahan Diri Menghadapi Perkara Yang Menyakitkan Hati
 
Daripada  Abu Hurairah RA bahawasanya seorang lelaki bertanya, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang aku hubungi mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepada aku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi bertindak jahat terhadapku”. Lalu Baginda bersabda, “Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau suapkan mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada dalam keadaan yang demikian itu.”
 
 
Mar 26, 2015
4 Larangan Bersifat Bakhil
 
Daripada  Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Takutlah kamu daripada melakukan perbuatan zalim kerana sesungguhnya kezaliman akan membawa kegelapan pada hari kiamat dan takutkanlah kamu daripada bersifat bakhil kerana sesungguhnya perbuatan tersebut membinasakan umat-umat yang sebelum kamu, sifat bakhil mendorong mereka pertumpahan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang haram.”
 
 
Mar 19, 2015
5 Kesempurnaan Iman
 
 
Daripada  Ibn Umar RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Agama Islam itu dibina di atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada tuhan lain melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu adalah rasul dan pesuruh Allah, mendirikan sembahyang fardhu, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Makkah al-Mukarramah dan berpuasa pada bulan ramadhan”.
 
 
Mar 18, 2015
6 Malu : Contoh Sifat Rasulullah SAW
 
Daripada  Abu Said al-Khudri RA katanya, “Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu mengatasi malunya seorang perawan di dalam bilik tidur bersama suaminya yang belum dikenalinya, apabila Baginda melihat sesuatu yang dibenci kami akan nampak muka Baginda berubah”.
 
 
Mar 12, 2015
7 Amalan Yang Terbaik Dalam Islam
 
Daripada  Abdullah bin Amru  bin al-‘As RA, bahawasanya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang terbaik dalam Islam?” Baginda bersabda, “Memberi makan makanan dan memberi salam kepada orang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenali”.
 
 
Mar 11, 2015
8 Sikap Sederhana Dalam Berpakaian
 
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Pada hari kiamat nanti Allah tidak akan melihat (dengan pandangan rahmat) orang yang memakai pakaian labuh hingga meleret ke tanah dengan tujuan bermegah-megah.”
 
 
Mar 10, 2015
9 Sifat Lemah Lembut : Lambang Keperibadian Muslim
 
Daripada Aisyah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya sifat lemah-lembut tidak terdapat pada sesuatu melainkan ia menambah keelokan, dan tidak dicabut pada sesuatu perkara melainkan sebagai celaan padanya.
 
 
Mar 06, 2015
10 Sedekah Bukan Dengan Harta
 
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah bersabda, “Bercakap dengan perkataan yang baik merupakan sedekah.”
 
Mar 05, 2015
11 Menutup Mulut Ketika Menguap
 
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang di antara kamu menguap, maka hendaklah ia meletakkan tangannya ke mulut kerana sesungguhnya syaitan akan masuk ke mulut sekiranya tidak di tutup ketika menguap.”
 
 
Mar 04, 2015
12 Marah yang Dicela
 
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya seorang lelaki berkata Nabi SAW, “Berilah pesanan kepadaku”, lalu Nabi SAW menjawab, “Janganlah engkau menjadi seorang pemarah”, orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi SAW menjawab, “Pada setiap kalinya, janganlah engkau menjadi seorang pemarah.”
 
 
Mar 03, 2015
13 Menjaga Rahsia
 
Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya seburuk-buruk manusia disisi Allah Taala dari segi kedudukan pada hari kiamat ialah suami yang menyebarkan rahsia isterinya selepas disetubuhinya.”
 
 
Mar 02, 2015
14 Mimpi yang Baik
 
Daripada Abu Hurairah RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada yang tinggal daripada kenabian melainkan membawa berita-berita yang menggembirakan”. Para sahabat bertanya, “Apakah pembawa berita yang gembira itu?” lalu Baginda pun bersabda, “iaitu mimpi yang baik (yang benar)”.
 
 
Feb 27, 2015
15 Kelebihan Mempelajari al-Qur'an
 
Daripada Uthman bin Affan RA katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang paling baik lagi mulia disisi Allah Taala di antara kamu semua ialah orang yang belajar al-Qur’an kemudian dia mengajarkan kepada orang lain”.
 
 
Feb 24, 2015
16 Adab Memberi Salam
 
Daripada Usamah RA bahawa Nabi SAW berjalan melalui sesuatu majlis, yang di dalam majlis itu bercampur antara orang Islam, orang musyrik yang menyembah berhala dan orang-orang yahudi lalu Nabi SAW memberi salam kepada mereka.
 
 
Feb 18, 2015
17 Nasihat dari Rasulullah SAW
 
Daripada Jarir bin Abdillah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda kepadaku semasa Haji Wida’: “Minta orang ramai diam”, kemudian Baginda bersabda, “Janganlah kamu sekelian menjadi kafir selepas peninggalanku nanti dan janganlah kamu sekelian bermusuhan sesama kaum muslimin.”
 
 
Feb 17, 2015
18 Antara Kebajikan dan Dosa
 
Daripada an-Nawas bin Sam’an RA katanya, aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai kebajikan dan dosa, lalu Baginda menjawab, “Kebajikan itu ialah akhlak yang mulia. Manakala dosa itu ialah perbuatan yang diragui dalam hati kamu dan engkau tidak suka diketahui oleh orang lain.”
 
 
Feb 13, 2015
19 Komunikasi Yang Baik
 
Daripada Anas RA bahawasanya Rasulullah SAW apabila bercakap sesuatu percakapan yang baik Baginda akan mengulanginya sebanyak tiga kali sehingga percakapan itu dapat difahami. Apabila Baginda pergi menemui satu-satu kaum, Baginda memberi salam kepada mereka sebanyak tiga kali.
 
 
Feb 12, 2015
20 Mengeratkan Silaturrahim
 
Daripada Abu Hurairah RA juga, bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik-baik atau mendiamkan diri”.
 
 
Feb 11, 2015