Senarai Hadith

Bil Hadith Tarikh
501 Panduan Bagi Orang-orang Yang Ditimpa Bencana
Dari Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a bahawa keduanya telah masuk melawat seorang sakit, lalu mereka bertanya kepadanya: "Bagaimana keadaanmu pagi ini?" Ia menjawab: "Aku berada dalam keadaan baik." Syaddad berkata kepadanya: "Bergembiralah engkau dengan perkara-perkara yang menghapuskan dosa-dosa dan menggugurkan kesalahan, kerana aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan", dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: "Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat".
Sep 17, 2011
502 Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur
Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiga perkara akan menurut orang mati ke kuburnya, kemudian dua daripadanya akan balik dan tinggal satu bersama-samanya - ia akan diturut oleh keluarganya, hartanya dan amalnya, kemudian keluarganya dan hartanya akan balik, dan tinggallah amalnya bersama-sama dengannya."
Sep 16, 2011
503 Kepentingan Mengingati Mati
Dari Abu Sa'id r.a katanya: (Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w masuk ke tempat sembahyangnya, lalu dilihatnya beberapa orang sedang gelak ketawa, Baginda s.a.w pun menegur mereka dengan bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya kalau kamu banyak menyebut dan mengingati perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan tentulah peringatan mengenainya akan menghalang kamu daripada melakukan apa yang aku lihat ini, maka hendaklah kamu selalu mengingati dan menyebut perkara yang memusnah dan menghilangkan perasaan kesenangan, iaitulah maut, kerana sesungguhnya pada tiap-tiap hari kubur menyeru, katanya: "Akulah rumah dagang, akulah rumah yang sunyi sepi, akulah rumah yang penuh dengan tanah, akulah rumah yang penuh dengan ulat". Maka apabila hamba Allah yang mukmin dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Dipersilakan dengan segala hormatnya! Ketahuilah sebenarnya adalah engkau - kepada ku - sekasih-kasih orang yang berjalan atas ku, oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepadaku pada hari ini, maka engkau akan melihat layananku kepadamu'; Kubur itu pun menjadi lapang baginya seluas mata memandang, serta dibukakan baginya sebuah pintu ke Syurga, (lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan udaranya, serta ia dapat mencium dari baunya yang semerbak harum dan merasa senang hati dari segala yang dilihatnya dalam Syurga itu). Dan sebaliknya apabila oarang yang berdosa atau orang kafir dikebumikan, berkatalah kubur kepadanya: "Tidak layak engkau disambut dan dipersilakan; ketahuilah sebenarnya engkau - kepada ku - adalah sebenci-benci orang yang berjalan atasku; oleh itu apabila engkau sampai kepadaku dan diserahkan urusanmu kepada aku pada hari ini, maka engkau akan melihat apa yang aku buat kepadamu". Nabi s.a.w bersabda lagi: "Kubur itupun mengepitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w , (sambil bersabda menerangkan yang demikian, lalu Baginda s.a.w) memasukkan jari-jari sebelah tangannya dicelah jari-jari yang sebelah lagi, kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan dilepaskan kepada orang itu tujuh puluh ekor ular besar yang kalaulah seekor di antaranya menghembuskan nafasnya di bumi nescaya tidak akan tumbuh sesuatu pun dari tumbuh-tumbuhan atau tanaman selagi dunia ini masih wujud, kemudian ular-ular itu akan mematuk-matuknya dan meluka-lukakannya sehingga ia dibawa untuk dihisab (dan menerima balasan)". Kata rawi hadis ini: Nabi s.a.w bersabda lagi: "Bahawa sesungguhnya kubur itu adalah sebuah taman dari taman-taman Syurga atau sebuah gaung-gaung Neraka".
Sep 15, 2011
504 Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal
Dari Aisyah r.a katanya: "Aku melihat Nabi s.a.w semasa Baginda hampir wafat dan disisinya sebuah bijana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bijana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau Sakratul maut (yang sedang aku hadapi)".
Sep 14, 2011
505 Keutamaan Ilmu Dalam Memberikan Fatwa
Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."
Sep 13, 2011
506 Antara Bisikan Malaikat Dan Syaitan
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berdoa bagi saudara Islamnya dengan tidak setahu saudaranya yang tersebut, berkatalah Malaikat yang ditugaskan untuk itu: "Aamin, dan engkau pula akan beroleh seperti itu juga."
Sep 12, 2011
507 Ganjaran Orang Yang Memberikan Ilmu
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: "Tulislah juga untuknya amal-amal salih yang biasa ia lakukan;" kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu - bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya."
Sep 11, 2011
508 Membersihkan Tauhid Dari Sebarang Syirik
Rasullah s.a.w bersabda: " Sesiapa mati dalam keadaan ia melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah dia ke dalam neraka."
Sep 10, 2011
509 Keberkatan Hari Jumaat
Nabi s.a w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan dua Malaikat untuk menulis segala apa yang dilakukan atau dituturkan oleh seseorang hamba-Nya (satu disebelah kanannya dan yang satu lagi disebelah kirinya); kemudian apabila orang itu mati.maka Tuhan perintahkan kedua Malaikat itu dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu berdua tinggal tetap di kubur hamba-Ku itu serta hendaklah kamu mengucapkan tasbih, tahmid dan takbir hingga ke hari qiamat dan hendaklah kamu menulis pahalanya untuk hamba-Ku itu." Dan pada satu Athar, ada disebutkan bahawa kedua Malaikat itu melaknat si mati hingga ke hari Kiamat - jika ia seoarang kafir.
Sep 09, 2011
510 Menjauhi Syirik Dalam Segala Bentuknya
Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah, maka sesungguhnya ia telah melakukan syirik terhadap Allah."
Sep 08, 2011
511 Sebab-sebab batal wudhu'
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW pernah bersabda: Solat orang yang berhadas (keluar air kencing, membuang air besar dan kentut) tidak diterima (Allah) sebelum dia berwudhu. Seorang yang berasal dari Hadramaut bertanya kepada Abu Hurairah: Apakah hadas itu? Abu Hurairah menjawab: Hadas itu ertinya angin yang keluar dari lubang anus.
Aug 31, 2011
512 Haram berkahwin dengan saudara sesusu
Diriwayatkan oleh Abdullah Mulaika r.a: Uqbah bin Harith r.a berkata bahawa ia menikahi anak perempuan Abi Ihab bin Aziz. Tidak lama kemudian seorang perempuan menemuinya dan berkata :Akulah yang menyusui Uqbah dan perempuan yang dinikahinya. Uqbah berkata kepadanya : Aku tidak tahu kamu telah menyusui ku dan kamu tidak mengatakannya kepada ku. Kemudian dia pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah dan bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu. Rasulullah SAW menjawab: Bagaimana kamu boleh (memperisterikannya) padahal telah dikatakan kepada mu (bahawa ia saudara sesusu mu) ? Kemudian Uqbah menceraikan isterinya dan kemudian isterinya berkahwin dengan orang lain.
Aug 30, 2011
513 Mengekalkan Adab Yang Mulia
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:Sesungguhnya Allah S.W.T sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah S.W.T, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan (Yarhamukallah). Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya.
Aug 29, 2011
514 Berkumur sebelum solat
Diriwayatkan daripada Suwaid bin al-Nu'man r.a: Pada tahun terjadinya perang Khaibar aku pergi bersama Rasulullah SAW hingga kami tiba di Shahba, sebuah tempat dekat Khaibar, tempat Rasulullah SAW mengerjakan solat Asar dan meminta makanan. Tidak ada makanan lain kecuali sawiq. Nabi SAW menyuruh mencucinya terlebih dahulu. Kami semua memakannya dan tidak lama kemudian Nabi SAW berdiri untuk solat Maghrib, berkumur-kumur dan kami mengerjakan hal yang sama lalu mengerjakan solat dengan tidak mengulang wudhu'.
Aug 24, 2011
515 Menahan Marah
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w. Berwasiatlah kepadaku, Lalu Nabi s.a.w menjawab: Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah. Orang itu mengulangi permintaan beberapa kali, Nabi s.a.w menjawab:Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.
Aug 23, 2011
516 Kedudukan tangan ketika sujud
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Malik bin Buhaina r.a, ketika nabi Muhammad SAW mengerjakan solat, nabi memisahkan (merenggangkan) tangannya dari tubuhnya (dengan lebar) hingga ternampak ketiaknya yang putih.
Aug 22, 2011
517 Saat-Saat Doa Paling Mustajab
Dari Ibnu Abbas r.a katanya:Rasulullah s.a.w membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.
Aug 21, 2011
518 Hebatnya Penghuni Syurga
Dari Abu Hurairah r.a:Rasulullah SAW bersabda:Golongan yang pertama sekali masuk syurga wajahnya adalah seperti bulan purnama. Dan orang yang masuk sesudah itu seperti bintang yang sangat terang cahayanya. Hati mereka sebagai hati satu orang (bersatu) tidak pernah berselisih dan benci-membenci antara sesama mereka. Tiap-tiap seorang di antara mereka mempunyai dua orang isteri. Masing-masing di antara kedua isteri itu tampak sumsum betisnya dari belakang dagingnya kerana sangat indahnya.
Aug 20, 2011
519 Imam Menghadap Makmum Setelah Selesai Solat
Musa bin Ismail menyampaikan kepada kami, daripada Jarir bin Hazam, daripada Abu Raja', daripada Samurah bin Jundab katanya:'Apabila nabi s.a.w selesai menunaikan solat, baginda menghadap mukakanya kepada kami."
Aug 19, 2011
520 Perlantikan Telah Ditakdirkan
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
Allah tidak mengutuskan seseorang Nabi melainkan ia pernah menternak kambing, lalu para sahabat bertanya, (adakah termasuk) Baginda? Jawab Baginda, ia aku juga seorang yang pernah menternak kambing, dengan upahnya yang sedikit daripada penduduk Mekah.
Aug 18, 2011