Senarai Hadith

Bil Hadith Tarikh
81 Berbakti Kepada Ibu Bapa
Daripada Abu Hurairah RA juga daripada Nabi SAW sabdanya, “Hinalah kemudian, hinalah kemudian, hinalah (bagi) mereka yang sempat hidup bersama dengan salah seorang daripada ibu bapanya atau kedua-duanya sekali ketika mereka tua sedangkan dia tidak dapat masuk syurga” (dengan sebab itu)”. 
Dec 11, 2012
82 Pengorbanan Ibu Bapa Tidak Ternilai
Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Tidak terbalas jasa seorang anak terhadap orang tuanya melainkan apabila dia mendapati orang tuanya menjadi hamba, lalu dibeli dan dimerdekakannya”. 
Dec 10, 2012
83 3 Perkara Yang Disukai Allah
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud RA katanya, “Aku bertanya kepada nabi SAW, apakah amalan yang paling Allah suka?” Jawab Nabi SAW, “Mengerjakan sembahyang dalam waktunya”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawabnya, berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa”. Aku bertanya lagi, “Kemudian apa?” Jawabnya, “Jihad untuk menegakkan agama Allah”. 
Dec 06, 2012
84 Sebaik-baik Sahabat dan Jiran
Daripada ‘Abdullah R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik sahabat disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan sahabatnya dan sebaik-baik jiran disisi Allah ialah yang terbaik hubungannya dengan jiran tetanggannya”.
Dec 05, 2012
85 Eratkan Hubungan Silaturahim Sesama Jiran
Daripada ‘Aisyah R.Ha katanya, “Aku bertanya, wahai Rasulullah SAW, “Aku mempunyai dua jiran tetangga yang berdekatan maka yang mana satukah boleh aku berikannya hadiah?“ Jawab Rasulullah, “Berikan (hadiah itu) kepada jiran yang paling dekat pintu rumahmu”. 
Dec 04, 2012
86 Berkata Baik Atau Lebih Baik Diam
Daripada Abu Syuraih al-Khuza’ie RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda, “Sesiapa beriman dengan Allah dan Hari Kiamat maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa beriman dengan Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya, sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia bercakap yang baik ataupun diam”.
Dec 03, 2012
87 Berbaik-baik Sesama Jiran
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah seorang jiran melarang akan jiran tetangganya yang lain memacakkan kayu pada dindingnya”. Kemudian Abu Hurairah berkata, “Mengapa aku lihat kamu berpaling (daripada peraturan atau sunnah Rasulullah)!..Demi Allah, aku akan wajibkan sunnah nabi ini antara kamu (untuk diamalkan)”. 
Nov 20, 2012
88 Berilah Walau Sedikit Pun
Daripada Abu Hurairah (juga) katanya, sabda Rasulullah SAW, “Wahai perempuan-perempuan muslimat janganlah menghina seorang jiran kepada jiran tetangga yang lain, sekalipun (apa yang diberi itu) berupa kaki kambing”. 
Nov 19, 2012
89 Memelihara Ketenteraman Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya nabi SAW bersabda, “Demi Allah, tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman”, lalu ditanya, “Siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah?”, jawab baginda, “Iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya”. 
 
Dalam riwayat muslim “Tidak masuk syurga orang yang tidak mententeramkan jirannya dengan sebab kejahatannya”.
Nov 16, 2012
90 Sebaik-baik Jiran Tetangga
Daripada Abu Dzar RA katanya, sabda Rasululah SAW, “Wahai Abu Dzar Apabila kamu merebus daging (membuat sup) perbanyakkanlah airnya (kuahnya) dan hendaklah engkau ingat jiran engkau”. 
 
Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Dzar juga katanya, “Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah SAW) telah berpesan kepadaku, apabila engkau memasak daging perbanyakkanlah airnya, kemudian lihatlah kaum keluarga jiran engkau dan berilah sebahagian daripadanya dengan cara yang baik”.
Nov 14, 2012
91 Berbuat BaikTerhadap Jiran
Daripada Ibnu Umar dan Aisyah R.huma, kedua-duanya berkata, sabda Rasulullah, “Jibril sentiasa memesan kepada aku supaya berbaik-baik dengan jiran hingga aku menyangka bahawa Jibril akan menetapkan hukum pusaka antara sesama jiran”. 
Nov 12, 2012
92 Perintah Anak Solat
Daripada ‘Amru bin Syu'aib daripada bapanya, daripada datuknya RA katanya, sabda Rasulullah SAW “Perintahkan (ajarlah) anak-anak kamu menunaikan sembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan rotankan ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur mereka”.
Nov 06, 2012
93 Ajari Anak-anak Akhlak Islam
Daripada Abu Hafs ‘Amru bin Abi Salamah  ‘Abdullah bin Abdul Asad anak tiri Rasulullah SAW katanya “Aku seorang kanak-kanak didalam peliharaan Rasulullah SAW dan pada waktu makan tanganku menjemput di sana sini di setiap sudut pinggan maka Rasulullah bersabda, “Wahai anak, bacalah بسم الله  (sebutkan nama Allah ketika hendak makan) dan makanlah dengan tangan kananmu dan hendaklah ambil makanan yang hampir dengan kamu. Selepas itu sentiasalah engkau ikut cara makan (yang ditunjuk oleh Rasulullah)”.
Nov 05, 2012
94 Perkara yang salah mesti ditegur
Daripada Abu Hurairah RA katanya, al-Hasan R.huma telah mengambil sebiji tamar daripada buah-buah tamar yang yang disedekahkan lalu dimasukkan ke dalam mulutnya. Maka Rasulullah SAW bersabda “Buang (luahkan) tamar itu, tidakkah engkau tahu kita tidak dibolehkan memakan pemberian sedekah?”
 
Di dalam riwayat lain: “Kita tidak dihalalkan menerima sedeqah”. 
 
Nov 02, 2012
95 Dermakan Sebahagian Harta Yang Kamu Sayangi
Daripada Anas RA katanya, Abu Thalhah RA ialah orang Ansar yang paling banyak harta daripada kebun-kebun tamar yang luas. Harta yang paling disukainya ialah kebun tamar Bir Ha’ yang menghadap ke arah masjid (Nabawi). Rasulullah SAW pernah masuk ke kebun itu dan minum airnya yang sedap. Anas berkata, apabila turun ayat yang bermasud, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi” Abu Thalhah pergi menemui Rasulullah dan berkata “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah telah berfirman yang maksudnya, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesungguhnya aku sangat sayang kepada kebun tamar Bir Ha’ itu dan aku jadikannya sebagai sedekah pada jalan Allah agar aku mendapat kebaikan (yang dijanjikan Allah) dan sebagai bekalan akhirat disisi Allah SWT. Oleh itu, engkau gunakanlah harta itu mengikut apa yang Allah tunjukkan kepadamu”. Maka jawab Rasulullah SAW, “Ah, harta itu sangat menguntungkan, harta itu sangat menguntungkan, sesungguhnya aku dengar apa yang telah engkau katakan dan aku berpendapat engkau agihkan harta itu kepada kaum kerabat engkau”. Maka Abu Thalhah berkata, “Aku akan lakukan (seperti yang engkau suruh) wahai Rasulullah SAW”. Lalu Abu Thalhah membahagikan harta tersebut kepada kaum keluarga dan sepupunya”.
Oct 23, 2012
96 Tangan Yang Diatas Lebih Baik Dari Tangan Dibawah
Daripadanya (Abu Hurairah RA) daripada Nabi SAW sabdanya,  “Tangan yang di atas (memberi) itu adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta-minta) dan mulakan pemberian itu kepada mereka yang dibawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah adalah daripada orang yang berada (tidak memerlukan bantuan). Sesiapa yang dapat menahan diri daripada meminta-minta (walaupun dia miskin) maka Allah akan mencukupkabn keperluannya dan sesiapa yang merasa cukup untuk diri dan keluarganya maka Allah akan memberi kekayaan kepadanya”. 
Oct 22, 2012
97 Si Pemurah dan Si Bakhil
Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Tidak berpagi-pagi seseorang itu melainkan turun kepadanya 2 malaikat lalu seorang daripada kedua-duanya dengan berkata, “Ya Allah, berikan ganti kepada orang yang berbelanja”, dan seorang lagi pula berdoa dengan katanya, “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil”. 
Oct 19, 2012
98 Jangan Cuai Sara Keluarga
Daripada Abdullah bin ‘Amru al-‘As R.huma katanya, sabda Rasulullah SAW, “Cukuplah dosa seseorang itu dengan mencuaikan tanggungjawabnya menyara keluarganya.
Oct 18, 2012
99 Berbelanja di Jalan Allah
Daripada Abu Abdullah (dikatakan Abu Abdul Rahman) Tsauban bin Bujdad hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW katanya, sanda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik wang yang dibelanjakan oleh seseorang ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara keluarganya, wang yang dibelanjakan untuk binatang tunggangan pada jalan Allah dan wang yang dibelanjakan untuk kawan-kawannya di jalan Allah”. 
Oct 17, 2012
100 Menyara Keluarga Lebih Afdhal
Daripada Abu Hurairah RA katanya, sabda Rasulullah SAW, “Antara wang yang engkau belanjakan ke jalan Allah, wang yang engkau belanjakan untuk hamba sahaya, wang yang engkau sedekahkan kepada orang-orang miskn dan wang yang engkau belanjakan untuk kaum keluargamu, maka pahala yang paling besar ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara kaum keluargamu”. 
Oct 16, 2012