Senarai Hadith
| Bil | Hadith | Tarikh |
|---|---|---|
| 101 |
Jangan Sakiti Suamimu
Daripada Mu’az bin Jabal RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Tidak menyakiti seseorang perempuan akan suaminya di dunia melainkan bersumpahlah isteri di akhirat (bidadari) celakalah engkau, “Jangan engkau menyakiti”. Sesungguhnya dia hanya sebentar sahaja bersamamu di dunia ini kemudian dia akan berpisah daripadamu untuk kembali kepada kami”. |
Oct 15, 2012 |
| 102 |
Wanita Adalah Ujian Kepada Lelaki
Daripada Usamah bin Zais R.huma dari Nabi SAW sabdanya, “Aku tidak tinggalkan selepas kematianku satu ujian kepada kaum lelaki yang lebih mencabar melainkan ujian dengan perempuan”. |
Oct 12, 2012 |
| 103 |
Redha Suami Membawa Ke Syurga
Daripada Ummu Salamah R.ha katanya, sabda Rasulullah SAW, “Mana-mana wanita yang meninggal dunia sedang suaminya redha terhadapnya nescaya dia akan masuk ke syurga”.
|
Oct 11, 2012 |
| 104 |
Tingginya Darjat Suami Disisi Isteri
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Sekiranya boleh aku menyuruh seorang sujud kepada seorang nescaya akan aku suruh kaum wanita (isteri) supaya sujud kepada suami mereka”. |
Oct 10, 2012 |
| 105 |
Tunai Hajat Suami Ikut Kemampuan
Daripada Abu Ali Thalki bin Ali RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda” Apabila suami memanggil isterinya untuk menunaikan sesuatu hajatnya maka hendaklah dia segera datang sekalipun dia sedang memasak”. |
Oct 09, 2012 |
| 106 |
Kita Semua Adalah Pemimpin
Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.
|
Oct 08, 2012 |
| 107 |
Tanggungjawab Isteri Terhadap Suami
Daripada Abu Hurairah RA juga bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Tidak harus bagi isteri berpuasa semasa suami ada bersamanya, melainkan dengan keizinan dan juga (isteri) tidak boleh membenarkan sesiapapun memasuki rumahnya melainkan dengan izin suaminya”. |
Oct 05, 2012 |
| 108 |
Nikmat dunia yang paling baik
Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Dunia adalah keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan (isteri) yang solehah (baik)”. |
Oct 02, 2012 |
| 109 |
Orang Paling Sempurna Imannya
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kamu ialah mereka yang paling baik (pergaulan) dengan isterinya”. |
Sep 28, 2012 |
| 110 |
Hak Isteri Terhadap Suami
Daripada Mu’awiyah bin Haidah RA katanya aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri terhadap suaminya?“ Jawab baginda, “Hendaklah engkau memberi makan kepadanya apabila engkau makan dan memberi pakaian apabila engkau berpakaian dan jangan engkau memukul muka dan jangan engkau menghinanya dan janganlah engkau asingkan (ketika nusyuz) melainkan di dalam rumah”. |
Sep 27, 2012 |
| 111 |
Kedamaian Asas Kebahagian Rumahtangga
Daripada Abu hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Tidak boleh seseorang mukmin lelaki membenci terhadap seseorang mukminah perempuan. Jika dia tidak suka suatu kelakuannya (boleh jadi) dia suka perbuatan yang lain atau perbuatan yang lain daripada yang dibencinya itu”. |
Sep 26, 2012 |
| 112 |
Jangan ketawa dalam hal yang tidak munasabah
Daripada Abdullah bin Zam’ah RA bahawasanya beliau mendengar Nabi SAW berkhutbah dan baginda menyebut unta (yang menjadi mukjizat Nabi Soleh AS) dan orang yang menyembelihnya, maka Rasulullah SAW bersabda, “(membacakan firman Allah yang bermaksud), “Ketika orang yang paling jahat antara mereka menerima perintah daripada mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat). Seorang lelaki yang gagah lagi jahat dan berpengaruh dalam qabilahnya segera untuk membunuh unta itu. Kemudian baginda menyebut (perihal) orang-orang yang memberi beberapa nasihat tentang mereka”. Lalu kemudian baginda bersabda, “Ada diantara kamu yang sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba abdi kemudian menyetubuhinya pada akhir hari itu”. Kemudia baginda menasihati mereka mengenai ketawa disebabkan kentut lalu baginda bersabda, “Mengapa ada antara kamu yang ketawa dengan perbuatannya sendiri?”. |
Sep 25, 2012 |
| 113 |
Wahai lelaki, lindungilah wanita..
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Hendaklah kamu saling meminta nasihat tentang perkara-perkara kebaikan kepada kaum wanita kerana sesungguhnya kaum wanita dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk ialah yang paling atas. Jika kamu membetulkan dengan kekerasan nescaya ia akan patah, jika ditinggalkan (dibiarkan tanpa nasihat) nescaya kekal ia dalam keadaan bengkok maka saling menasihatilah dengan penuh kesabaran dan berlemah lembut”. |
Sep 24, 2012 |
| 114 |
Kedudukan Yang Istimewa Orang Yang Lemah Dan Tidak Bernasib Baik
Daripada Abu ad-Darda’ ‘Uwaimir RA katanya, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Carilah untukku orang-orang yang lemah, maka sesungguhnya kamu diberi pertolongan dan rezeki dengan (adanya) orang-orang yang lemah (dikalangan kamu)”.
|
Sep 21, 2012 |
| 115 |
Ingatlah Golongan Yang Lemah
Daripada Mus’ab bin Abu Waqas R.huma katanya, “Saad merasakan dirinya mempunyai kelebihan daripada orang lain”. Maka Nabi SAW bersabda, “Kamu tidak ditolong dan diberi rezeki melainkan dengan (sebab) adanya orang yang lemah (dikalangan kamu)”. |
Sep 20, 2012 |
| 116 |
Hak Anak Yatim dan Orang Perempuan
Daripada Abi Syuraih Khuwailid bin Amru RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Ya Allah Sesungguhnya aku sangat mementingkan hak dua orang yang lemah iaitu hak anak yatim dan orang perempuan”. |
Sep 19, 2012 |
| 117 |
Anak Perisai Api Neraka
Daripada Aisyah R.ha katanya, “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya”. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah). Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka”. |
Sep 13, 2012 |
| 118 |
Ganjaran Memelihara Anak Gadis
Daripada Anas RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memelihara dua anak gadis sehingga baligh kedua-duanya nescaya dia datang bersama aku pada hari kiamat seperti ini sambil menunjukkan (merapatkan) dua jarinya”. |
Sep 11, 2012 |
| 119 |
Dua Golongan Wajib Dibantu
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya, “Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin seolah-olah berjuang dijalan Allah” dan aku kira baginda telah bersabda, “Seperti orang yang bersembahyang malam tetapi tidak berasa letih dan seperti orang yang berpuasa yang tidak berbuka (tidak rasa lapar)”. |
Sep 10, 2012 |
| 120 |
Orang Miskin Tidak Perlu Meminta-minta
Daripada Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda “Bukanlah (yang dikatakan) miskin itu seorang yang rela menerima pemberian satu atau dua biji tamar, satu atau dua suap makanan, sesungguhnya orang miskin yang sebenarnya ialah yang tidak meminta-minta daripada orang lain walaupun dia berhak menerima sedekah”.
Di dalam riwayat as-Sohihain, “Bukanlah yang dikatakan miskin itu seorang yang meminta-minta daripada orang lain dan yang menerima sanak atau dua makanan, sebiji atau dua biji tamar diketahui, tetapi orang misin yang sebenarnya ialah yang tidak memperolehi kekayaan untuk memenuhi keperluannya, tidak diketahui pula kemiskinannya untuk diberi kepadanya sedekah dan tidak pula dia pergi meminta-minta kepada orang”.
|
Sep 07, 2012 |







