Senarai Hadith

Bil Hadith Tarikh
141 Hasad Dengki Adalah Haram
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Jangan dengki-mendengki, jangan tawar-menawar untuk mengelirukan orang lain, jangan benci-membenci, jangan pulau-memulau dan jangan kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah bersaudara dengan orang Islam yang lain. Tidak boleh menzalimi, merendah-rendah dan menghinanya. Takwa adalah di sini, nabi mengisyarat tiga kali. Cukup seseorang itu dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam. Setiap orang Islam ke atas orang Islam diharamkan darahnya, haratanya dan maruahnya (hak kemuliaannya).”
Jul 31, 2012
142 Haram Mengkhianati Sesama Islam
Daripada Abu Hurairah katanya, sabda Rasulullah SAW, ”Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak harus mengkhianatinya, mendustakan atau mendustainya, tidak juga membiarkannya (tanpa menolong atau melindunginya). Menjadi kewajipan antara orang Islam menjaga kehormatan, harta dan darahnya. Taqwa adalah di sini (sambil mengisyaratkan kedadanya). Sudah cukup seseorang itu untuk dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam.” 
Jul 30, 2012
143 Jangan Mendedahkan Aib Orang lain
Daripada Ibnu Umar R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya dihari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat”. 
Jul 27, 2012
144 Kelebihan Solat Subuh Berjemaah
Daripada Jundub bin Abdullah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bersolat subuh (pada waktunya secara berjemaah) maka dia berada dalam jaminan (keamanan dan perjanjian (Allah denan itu janganlah sampai Allah menuntut sesuatu kepada kamu daripada jaminan (perjanjian). (Jangan sampai kamu meninggalkan solat subuh) kerana sesungguhnya sesiapa yang dituntut oleh Allah daripada suatu jaminannya (perjanjiannya) tentu akan tercapai (berlaku), kemudian Allah menyembahkan mukanya ke dalam api neraka”. 
Jul 26, 2012
145 Tanggungjawab Seorang Pemimpin
Daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rib’iey RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku berdiri untuk mengerjakan solat dan bercadang memanjangkan bacaan, tiba-tiba aku terdengar tangisan anak kecil lalu aku percepatkan solat kerana bimbang menyusahkan ibunya”. 
Jul 25, 2012
146 Kewajipan Menjaga Keamanan
Daripada Abu Musa al-Asy’ariy RA katanya, Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang lalu di dalam kawasan masjid atau pasar kami dengan membawa panah, maka hendaklah ia memegang (menutup) mata panah itu dengan tangannya kerana ditakuti terkena salah seorang daripada muslimin dengan panah itu”. 
Jul 24, 2012
147 Bersatu Padu Asas Kekuatan Islam
Daripada Abu Musa RA katanya, sabda Rasulullah SAW : “Bandingan seseorang mukmin dengan mukmin yang lain seumpama sebuah bangunan yang bahagiannya saling menguatkan antara satu sama lain”. Dan baginda menjalinkan antara jari-jarinya. 
Jul 23, 2012
148 Amalan Baik
Daripada Jabar RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, "Tiap-tiap yang baik itu sedekah."
(Diceritakan juga oleh Muslim daripada riwayat Hazifah RA)
Jul 06, 2012
149 Kelebihan Sembahyang Subuh Dengan Asar
Daripada Abu Musa Al-Asyaari RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang mengerjakan dua waktu sejuk,(subuh dan asar), Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga.”
Jul 05, 2012
150 Amalan Yang Menghapuskan Dosa Serta Mengangkat Darjah
Daripada Abu Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW, “Adakah kamu suka aku tunjukkan suatu amalan yang Allah akan menghapuskan dengannya dosa-dosa serta mengangkatkan dengannya beberapa darjat? “mereka berkata, “Bahkan ya Rasulullah”, sabda Rasululullah, “Menyempurnakan wuduk dalam keadaan susah dan membanyakkan langkah ke masjid serta menunggu sembahyang (untuk berjemaah). Demikian itulah (yang dikatakan) “Al-Ribat” (perjuangan menentang musuh dan bersedia menghadapinya).”
Jul 04, 2012
151 Kelebihan Berwuduk
Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, ”Apabila seorang muslim atau mukmin berwuduk, maka dia membasuh mukanya keluarlah daripada mukanya itu segala dosa yang dilakukan oleh matanya bersama air atau bersama dengan titisan air yang akhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya keluarlah daripada keduanya segala dosa yang dilakukan oleh tangannya bersama air atau bersama titisan air yang akhir. Apabila dia membasuh kedua kakinya keluarlah segala dosa yang dilakukan oleh kedua kakinya bersama air atau bersama titisan air yang akhir sehingga bersihlah dia daripada segala dosa.”
Jul 03, 2012
152 Amalan Yang Paling Afdal
Daripada Abu Zar Jundubi Zar bin Junadah RA, katanya, aku bertanya, “Wahai Rasullullah, apakah amalan yang paling afdal? “Maka dijawab oleh Rasulullah SAW, ”Beriman kepada Allah SWT dan berjihad dijalannya.” Aku bertanya lagi, “Hamba manakah yang paling utama untuk dimerdekakan?” jawab baginda, ”Hamba yang paling disayangi oleh tuannya dan paling tinggi harganya.” Aku bertanya lagi, ”Jika aku tidak berbuat demikian? Rasulullah menjawab, bantulah orang yang berbuat sesuatu pekerjaan atau buatlah sesuatu untuk orang tidak pandai membuatnya.” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah SAW bagaimana pula jika aku lemah, tidak dapat mengerjakan sebahagian kerja-kerja itu?” Jawab Rasulullah SAW, ”Hendaklah kamu menahan perbuatan jahat terhadap manusia, sesungguhnya itu adalah sedekah daripada engkau untuk diri engkau sendiri.”
Jul 02, 2012
153 Orang Mukmin Yang Tenang
Daripada Ibnu Umar R.huma katanya, bersabda Rasulullah SAW, "Orang mukmin sentiasa berada di dalam ketenangan agamanya (dengan mengharapkan rahmat Allah) selagi dia tidak menumpahkan darah secara haram (tidak pernah membunuh melainkan dengan kebenaran yang hak)". 
Jun 29, 2012
154 Menggunakan Harta Dengan Jalan Batil
Daripada Khaulah binti Tsamir Al-Ansoriyah, iaitu perempuan (isteri) Hamzah RA katanya, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya ada beberapa jenis atau golongan lelaki yang membelanjakan harta orang Islam bukan dengan kebenaran. Maka bagi mereka api neraka pada hari kiamat". 
Jun 28, 2012
155 Orang Yang Bankrap disisi Islam
Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, "Tahukah kamu siapa orang yang bankrap?" Para sahabat menjawab, "Orang yang bankrap bagi kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta". Baginda bersabda, "Ssungguhnya orang yang bankrap daripada umatku ialah orang yang datang di hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat dan dia datang dalam hal dia memaki, mencaci si fulan, tuduh-menuduh serta memakan harta kepunyaan orang lain, menumpahkan darah, membunuh orang dan memukul orang. Maka diberi kepada orang yang teraniaya pahala kebajikan orang yang menganiaya mereka. Maka jika kebajikan sebelum terbayar tanggungan kezaliman maka diambil daripada kesalahan mereka (orang yang dianiaya)  dan dibebankan ke atas (yang membuat aniaya) kemudian dicampak dia ke dalam neraka".
Jun 25, 2012
156 Menghukum Atas Yang Benar
Daripada Ummu Salamah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Bahawasanya aku adalah seorang manusia dan sesungguhnya kamu semua telah membawa pertelingkahan kepadaku. Barangkali sesetengah kamu ada yang lebih cerdik mengemukakan hujah serta alasannya daripada sesetengah yang lain. Maka aku akan menghukum mengikut apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang telah aku putuskan untuknya mendapat kemenangan, sedangkan ia mengetahui bahawa itu adalah hak kepunyaan saudaranya, maka sesungguhnya aku tentukan untuknya sepotong daripada api neraka".
Jun 22, 2012
157 Berhutang Menghalang Penyucian Diri dan Keredhaan Allah
Daripada Abu Qatadah al-Harith bin Rib'ie RA, daripada Rasulullah SAW, "Sesungguhnya baginda berkhutbah kepada mereka lalu menyebut kepada mereka, bahawasanya jihad pada jalan Allah dan beriman kepada Allah itu sebaik-baik amalan (pekerjaan)". Kemudian bangun seorang lelaki dan berkata, "Wahai Rasulullah SAW bagaimanakah jika aku terbunuh di dalam jihad pada jalan Allah, apakah semua kesalahanku akan diampunkan?" Baginda menjawab, "Ya, benar jikalau engkau dibunuh dalam masa peperangan jihad pada jalan Allah dengan engkau berkedaan sabar mengharapkan keredhaan Allah, sedangkan engkau menghadapi musuh tidak berpaling lari  kebelakang". Kemudian baginda bertanya, "Bagaimana katamu?" Jawab lelaki tersebut bagaimanakah jika aku terbunuh dalam peperangan pada jalan Allah, apakah akan dihapuskan segala kesalahan-kesalahanku?" Baginda bersabda lagi. "Ya, benar jikalau engkau bersabar, tetap mengharapkan keredhaan Allah ketika menghadapi musuh, tidak berpaling lari kebelakang, melainkan jika engkau ada menanggung hutang dan sesungguhnya Jibril mengatakan hal itu kepadaku".
Jun 21, 2012
158 Jauhi Sifat Bakhil
Daripada Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, "Takutilah (jauhilah) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan di hari kiamat dan takutilah (jauhilah) perangai bakhil kerana bakhil itu telah membinasakan orang yang dahulu daripada kamu iaitu membawa mereka melakukan pertumpahan darah sesama mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan kepada mereka.
Jun 20, 2012
159 Waktu Doa Paling Mustajab
Dari Ibnu Abbas RA katanya: Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.
Jun 19, 2012
160 Tegahan Memperlekeh Pemberian Jiran
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai wanita muslimah janganlah jiran memperkecilkan (pemberian) jirannya walaupun (pemberian) itu hanya berupa kaki kambing.”
Jun 18, 2012