Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan

Kajian Cerapan Hilal Syaaban 1437H & Kajian Kecerahan Langit dan Pembiasan Cahaya Di Ufuk Selepas Terbenam Matahari

 

Pada 7-8 mei 2016, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan telah melaksanakan Kajian Cerapan Hilal Syaaban 1437H serta Kajian Kecerahan Langit dan Pembiasan Cahaya Di Ufuk Selepas Terbenam Matahari bertempat di tiga tempat berasingan iaitu di Kompleks Baitul Hilal Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan di Pantai Mek Mas, Kota Bharu, Kelantan.

 

Kajian di Kompleks Baitul Hilal Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan diketuai oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Zambri bin Zainuddin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan ahli kajian ini terdiri daripada pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan malaysia (JUPEM), Universiti Malaya, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Turut hadir dalam kajian di lokasi ini ialah Tuan Hj.  Mohamad bin Saari, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan serta Sr Sohaime Bin Hj Rasidi, Pengarah Bahagian Ukur Geodetik, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Namun begitu keadaan cuaca tidak begitu mengizinkan untuk membolehkan peserta kajian melihat hilal Syaaban  1437H pada petang itu.

Syaaban1Tuan Hj.  Mohamad bin Saari, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan turut serta dalam cerapan di Kompleks Baitul Hilal Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Syaaban2

Syaaban3Sesi Kajian Kecerahan Langit waktu subuh di Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri sembilan.

 

Seterusnya kajian cerapan di Wilayah Persekutuan Labuan pula telah diketuai oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Abdul Aziz dari Universiti Sains Malaysia (USM). Kajian ini turut disertai oleh pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Selain dari kajian cerapan hilal, para peserta turut berpeluang melaksanakan kajian fizikal dan ketetapan waktu solat yang dilaksanakan di pesisir pantai Kampung Lubok Temiang bagi Kajian Fizikal Waktu Solat Subuh dan Kampung Sungai Lada bagi Kajian Fizikal Waktu Solat Isya'.

Syaaban4

Gambar yang dirakam sewaktu Kajian Fizikal Waktu Solat Subuh (Cerapan Fajar) di pesisir pantai Kampung Lubok Temiang, Labuan.

Syaaban5

Kajian Cerapan Hilal 1437H di pesisir pantai Kampung Sungai Lada, Labuan pada 29 Rejab 1437H bersamaan 7 Mei 2016.

 

Manakala kajian cerapan di Kota Bharu, Kelantan pula telah dilakukan di Pantai Mek Mas dan Menara SEDC. Selain dari Kajian Cerapan Hilal Syaaban 1437H, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Mufti negeri Kelantan turut melaksanakan latihan cerapan hilal untuk wakil Majlis Agama Islam dan Pegawai Pejabat Daerah Selatan Thailand. Seramai lima orang daripada Majlis Agama Islam Daerah Yala dengan diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ustaz Ahmad bin Toyong, sepuluh orang imam daerah Yala dan 5 orang daripada Pejabat Daerah Wilayah Selatan Thailand dengan diketuai Pegawai Daerah Selatan Thailand Encik Chaichana Kritayand telah hadir dalam sesi latihan ini. Objektif latihan ini dilakukan adalah selaras dengan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bidang Kerjasama: Memperluas Peranan MABIMS ke Dunia Luar yang dipengerusikan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang telah melantik Bahagian Perancangan dan Penyelidikan untuk mengambil tindakan strategi 2: Pembangunan Bidang Sosial dengan menganjurkan aktiviti latihan kemahiran cerapan falak di negera-negara minoriti Islam.

Syaaban6

Sesi latihan dan cerapan di Pantai Mek Mas, Kota Bharu, Kelantan

 

Syaaban7

Sesi latihan dan cerapan di Menara SEDC, Kota Bharu, Kelantan

Syaaban8

Perjumpaan dengan Sahibus Samahah Mufti Negeri Kelantan di Pejabat Mufti Negeri Kelantan

 

Kajian pada kali ini telah memberikan hasil yang sangat baik kerana satu rekod kenampakan hilal termuda telah berjaya dirakamkan.  Para peserta kajian di Wilayah Persekutuan Labuan telah berpeluang menyaksikan hilal Syaaban 1437H dan berjaya merakam imej hilal yang berumur 14.91 jam. Imej hilal tersebut berjaya dirakam pada pada jam 6.45 petang. Rekod termuda sebelum ini adalah 15.7 jam yang dicerap pada 17 Oktober 2001 bersamaan 29 Rejab 1422H di Telok Kemang.

Syaaban9

Imej hilal syaaban 1437H yang berjaya dirakam di pesisir pantai Kampung Sungai Lada, Labuan pada 29 Rejab 1437H