Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
MESYUARAT JAWATANKUASA MUZAKARAH KHAS MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL UGAMA ISLAM MALAYSIA (MKI) KALI KE-6
 
 
PUTRAJAYA, 10 Jun 2020 : Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI Kali Ke-6 telah bersidang pada 9 Jun 2020 secara sidang video berpusat di Kompeks Islam Putrajaya. Mesyuarat yang dihoskan oleh Bahagian Penyelidikan itu melibatkan Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia serta Ahli-Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut dijemput hadir ke Muzakarah kali ini.
 
Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri turut menyampaikan kata-kata aluan pada pembukaan Muzakarah. Dalam ucapan, beliau melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana Malaysia sedang memasuki fasa pemulihan dan sangat menantikan saat-saat masjid dan surau dapat diimarahkan semula dengan amalan norma baharu. Di samping itu, beliau juga turut melahirkan rasa kerinduan untuk mengadakan pertemuan rasmi bersama Ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI di Putrajaya memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dikuatkuasakan.
 
Kementerian Kesihatan Malaysia diwakili oleh Datuk Dr. Rohaizat bin Haji Yon, Dr. Hishamshah dan Dr. Khebir Verasahib manakala Tuan Hafiz bin Rahim mewakili Majlis Keselamatan Negara. Dalam sesi pembentangan, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Bin Yusoff mewakiliLembaga Tabung Haji dan Dr. Akma binti Ngah Hamid mewakili Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
 
Dalam perbincangan kali ini, Muzakarah telah meneliti beberapa isu termasuk pelaksanaan Ibadah Haji pada tahun 1441H/ 2020M. Beberapa garis panduan juga turut diperhalusi antaranya aktiviti di masjid dan surau serta pelaksanaan ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengambil kira nasihat dan pandangan dari KKM dan MKN. Hal ini bagi meredakan keresahan setiap rakyat Malaysia dalam menjalani kembali rutin ibadah mengimarahkan masjid dan surau selepas pengumuman PKPP dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 7 Jun yang lalu seterusnya persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
 
Terdahulu, masjid dan surau terpilih seluruh negeri di Malaysia telah dibuka kembali dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menunaikan solat Jumaat secara berperingkat dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Ini berikutan hasil perbincangan yang teliti oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI bersama Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah KKM dalam Muzakarah Khas MKI kali ke-4 dan ke-5 pada bulan April dan Mei lalu.
 
MKI Ke 6 2020 1
 
MKI Ke 6 2020 2
 
MKI Ke 6 2020 3
 
MKI Ke 6 2020 4
 
MKI Ke 6 2020 5
 
MKI Ke 6 2020 6