Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah

Eksploitasi kanak-kanak dalam kegiatan kutipan derma serta jualan amal merupakan isu nasional yang sering mendapat perhatian dan liputan oleh pelbagai pihak. Justeru, JAKIM melalui Bahagian Penyelarasan Undang-Undang (BPUU) telah melaksanakan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy) dengan melibatkan inter agensi yang berautoriti secara bersepadu dan berterusan dalam menangani isu ini.

Selaras dengan Startegik 5 iaitu Peningkatan Kempen Pencegahan dan Kesedaran di bawah Pelan Tindakan Penguatkuasaan Menangani Isu Kutipan Derma Di Kalangan Kanak-Kanak, JAKIM melalui Bahagian Penyelarasan Undang-Undang (BPUU) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah melaksanakan Program Fun Ride Bijak Sedekah yang telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM. Program ini bertemakan “Bijak Sedekah Pada Yang Berhak”.

Program ini telah dilaksanakan pada 10 Disember 2016 (Sabtu) bertempat di Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah, Melaka yang melibatkan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan, pelajar institut pengajian tinggi, Badan Bukan Kerajaan (NGO), masyarakat setempat dan lain-lain. Program Fun Ride Bijak Sedekah adalah bertujuan sebagai langkah advokasi bagi menyuntik kesedaran yang lebih menyeluruh dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai penguatkuasaan akta/enakmen di bawah kesalahan undang-undang Syariah yang berkaitan isu kutipan derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta eksploitasi kanak-kanak.

Komitmen yang diberikan oleh semua peserta terhadap program kali ini yang menjadikan acara berbasikal santai beramai-ramai berkonsepkan riadah melambangkan sokongan terhadap agenda transformasi Negara bagi membentuk sistem penyampaian perkhidmatan dalam dunia perundangan syariah yang lebih inovatif lagi. Melalui pertemuan pelbagai pihak dalam program sebegini sudah tentu amat bermakna kerana ianya merupakan peluang dan ruang untuk bertukar-tukar pandangan berkaitan bidang perundangan Syariah dan seterusnya dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan khususnya kepada masyarakat setempat dalam menyertai kempen tersebut.

 

funride 6

 

funride 1

 

funride 2

 

funride 3

 

funride 4

 

funride 7